NOTA KAMPUS

INOVASI PERLINDUNGAN TAKAFUL DITAGIH

10/08/2020 09:03 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab Aziz

Dalam persekitaran dunia yang semakin canggih dan mencabar terutama ketika pasca-COVID-19, manusia tidak terlepas daripada sebarang bentuk risiko yang boleh menimpa mereka sama ada dalam bentuk jangkitan penyakit, bencana alam mahupun kemalangan yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Kepelbagaian bentuk risiko dalam kehidupan ini memerlukan institusi khusus bagi memberikan perlindungan yang lengkap bagi semua lapisan masyarakat. Umat Islam di negara ini amat bertuah kerana memiliki akses yang baik bagi perlindungan takaful yang merupakan alternatif kepada perlindungan insurans konvensional.

Perlindungan takaful

Penawaran pelan perlindungan takaful telah mula diperkenalkan di negara ini sejak 1984 dengan adanya akta khusus iaitu Akta Takaful 1984. Melalui akta ini, syarikat pengendali takaful (PT) berupaya membuka peluang kepada umat Islam untuk memperoleh pelan perlindungan berlandaskan syariah menerusi pelbagai produk dan pelan perlindungan yang ditawarkan oleh beberapa syarikat PT.

Dengan wujudnya Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 pula, beberapa penambahbaikan yang lebih positif kepada industri takaful telah dilakukan seiring dengan kehendak dan keperluan industri dan pasaran semasa. Sehingga kini, hampir semua produk dan pelan perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional ada produk alternatif yang ditawar oleh syarikat PT di negara ini. Situasi ini memberi banyak manfaat kepada umat Islam yang ingin bermuamalat dalam transaksi patuh syariah di samping dapat melindungi diri daripada sebarang risiko kemalangan dan bencana yang mungkin dihadapi pada masa hadapan.

Dalam hal ini, perlindungan melalui takaful menggunakan akad-akad yang dibenarkan oleh syariah manakala insurans konvensional yang menggunakan akad jual beli dari pelanggan kepada syarikat insurans adalah tidak sah dan terbatal akadnya kerana tidak memenuhi rukun jual beli dalam muamalat. Walaupun isu kepatuhan ini dapat ditangani dengan baik dengan adanya Penasihat Syariah di setiap pengendali takaful namun, terdapat beberapa aspek yang perlu ditambah baik seperti adanya unsur ketidakpatuhan akad pada dokumen yang dikeluarkan oleh PT yang masih menggunakan konsep jual dan beli yang sama sekali bercanggah dengan akad sebenar dalam takaful.

Lebih penting daripada itu, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa kewujudan PT hanya sekadar menjadi alternatif kepada produk dan pelan perlindungan insurans konvensional tanpa adanya usaha yang jitu untuk mempelbagaikan dan membuka ruang inovasi kepada produk dan perlindungan yang lebih komprehensif kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Tidak semua lapisan masyarakat dapat sama-sama menikmati kelebihan perlindungan yang diberikan oleh PT berdasarkan pelan perlindungan sedia ada. Masih terdapat golongan yang agak dipinggirkan bagi sama-sama menikmati kelebihan perlindungan patuh syariah ini demi kelangsungan kehidupan mereka.

Inovasi pelan takaful

Antara contoh yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan inovasi pelan-pelan yang ditawarkan oleh PT adalah pelan khusus bagi membantu usahawan tani bagi melindungi risiko kegiatan pertanian mereka. Memang kita maklum bahawa risiko dalam bidang pertanian ini amat besar seperti risiko serangan serangga dan penyakit, keadaan cuaca dan bencana yang boleh mempengaruhi hasil tanaman, namun memandangkan sumbangan yang diberikan daripada kegiatan pertanian ini adalah amat penting bagi menjamin rantaian makanan yang berterusan kepada rakyat, skim atau pelan khusus wajar diperkenalkan kepada mereka.

Pertimbangan keuntungan semata-mata daripada pihak PT tidak harus menjadi pertimbangan utama dalam penawaran apa jua bentuk skim perlindungan kepada golongan ini. Hasil tanaman yang dilindungi dengan skim perlindungan takaful yang khusus memungkinkan para usahawan tani lebih berdaya saing dan mampu mengambil risiko yang lebih besar bagi menghasilkan pelbagai tanaman yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat di negara ini. Dengan adanya sumber dan hasil pertanian yang mencukupi, pihak kerajaan tidak perlu mengimport hasil tanaman tersebut dan ini akan menguntungkan banyak pihak seperti membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di samping dapat mengawal kenaikan harga hasil tanaman di dalam negara apabila bekalan pertanian mengalami kekurangan.

Perkongsian risiko dan keuntungan inilah sebenarnya merupakan asas penting dalam akad muamalat dan kewangan Islam yang perlu diberi perhatian oleh PT dan semua pihak yang terlibat. Setakat pengetahuan penulis, belum ada lagi pelan khsusus dalam takaful yang memberikan perlindungan ke atas projek pertanian atau tanaman kepada usahawan tani di samping kurangnya pembiayaan Islam bagi membantu usahawan tani tersebut. Melalui penelitian penulis juga, pihak Agro Bank ada menawarkan pelan takaful kepada orang kurang upaya (OKU) dan kepada kelompok individu tertentu namun, bukannya kepada projek tanaman berkenaan.

Infak dan wakaf

Selain itu, skim takaful dalam bentuk infaq dan wakaf juga merupakan satu idea yang boleh diteliti oleh pengendali takaful memandangkan pelan sebegini boleh dijadikan satu platform baharu bukan hanya untuk melindungi diri sendiri seperti pelan takaful sedia ada malah pelan baharu yang boleh digunakan untuk memberikan perlindungan kepada orang lain yang terdiri daripada OKU atau dalam kalangan B40 atau B20. Semuanya tergantung kepada objektif komprehensif yang ingin dicapai oleh pengendali takaful yang bukan hanya bermatlamatkan keuntungan semata-mata tetapi lebih penting bagi melindungi pelbagai lapisan masyarakat yang menggambarkan produk takaful mampu membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi mencapai Maqasid al-Shariah bagi golongan ini.

Kesimpulannya, penulis merasakan idea untuk membuka ruang berinovasi bagi pengendali takaful amat ditagih memandangkan usaha tersebut boleh membantu industri takaful untuk terus kekal relevan dan berkembang maju seiring dengan kepesatan pasaran dan kehendak dalam industri semasa. Walaupun risiko yang terpaksa dihadapi oleh pengendali takaful amat besar sekiranya pelan perlindungan ditawarkan kepada sesuatu projek pertanian dan keuntungan yang bakal diperoleh tidak sebesar dalam industri lain namun, sumbangan besar kepada industri makanan negara bakal dinikmati bersama. Begitu juga dengan penawaran skim takaful melalui kaedah infak dan wakaf yang belum dipelopori dan diperkenalkan oleh mana-mana pengendali takaful di negara ini sehingga kini. Tentunya, kesediaan syarikat pengendali takaful untuk melakukan inovasi dalam industri ini amat dinanti-nantikan bagi menjamin manfaat perlindungan takaful dapat disebarluaskan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab Aziz ialah Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)