Pada 23 Disember 1994, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memutuskan bahawa Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia disambut pada 9 Ogos setiap tahun.
Mesyuarat itu juga telah mengisytiharkan dua Dekad Antarabangsa bagi Orang Asal Sedunia (International Decades of the World's Indigenous Peoples) iaitu yang pertama bermula 1995-2004 dan yang kedua 2005-2014, bertujuan memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk menyelesaikan masalah dihadapi oleh masyarakat peribumi dalam pelbagai aspek seperti hak asasi manusia, alam sekitar, pembangunan, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial.
Tahun depan akan menjadi permulaan dekad baharu bagi masyarakat peribumi di bawah iaitu perayaan Dekad Bahasa Orang Asal 2022-2032 selari dengan sambutan Tahun Antarabangsa Bahasa Orang Asal (International Year of Indigenous Languages).
Menurut anggaran PBB, terdapat kira-kira 476 juta Orang Asal atau peribumi di seluruh dunia. Walaupun kurang lima peratus populasi global, mereka menyumbang 15 peratus orang termiskin di dunia ini.
Isu masyarakat pribumi
Isu mengenai masyarakat peribumi hampir sama di seluruh dunia termasuk Malaysia iaitu isu kelangsungan budaya, bahasa, tanah adat, alam sekitar, akses kepada pendidikan, kemiskinan, perkhidmatan dan kemudahan asas, Kita perlu sedar bahawa Deklarasi PBB iaitu 'United Nations Declaration of the Rights of Indigenous Peoples' yang mempunyai 46 artikel jika dilaksanakan dan diperakukan serta diserapkan ke dalam sistem undang-undang kerajaan dan dasar kerajaan dapat membantu dan menghormati hak-hak peribumi di negara ini.
Seperti masyarakat lain, masyarakat peribumi juga telah mengalami perubahan, sama ada perubahan itu dirancang atau perubahan itu datang dari komuniti itu sendiri. Isu berkenaan kemunduran dan kemiskinan sering dikaitkan dengan komuniti ini. Namun, dari semasa ke semasa masyarakat ini mengalami perubahan kesan daripada hambatan globalisasi dan kemodenan. Perlu ditegaskan masyarakat peribumi atau Orang Asal di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sudah mula menerima perubahan. Tidak ada masyarakat di dunia ini yang tidak berubah. Semuanya akan melalui proses perubahan sama ada perubahan itu cepat mahupun perlahan. Namun perubahan ini sudah pasti membawa pelbagai cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi. Jika berjaya menempuhinya maka berjayalah sesebuah komuniti itu membangun dan berdaya maju. Jika sebaliknya berlaku, maka komuniti itu akan terus mengalami kemerosotan. Pembangunan itu juga perlu sampai kepada yang menerimanya.
COVID-19 dan masyarakat pribumi
Sambutan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia tahun ini sudah pasti memberikan impak dan cabaran baharu bagi masyarakat peribumi. Pendemik COVID-19 juga memberi kesan kepada masyarakat peribumi global. Ketua Hak Asasi PBB mengatakan lebih daripada 70,000 orang asal telah dijangkiti hingga kini, termasuk hampir 23,000 anggota 190 Orang Asli di lembah Amazon. Masyarakat peribumi adalah antara yang paling terdedah dan berisiko kepada pandemik ini kerana beberapa sebab.
Pertama, ciri-ciri geografi dan komuniti masyarakat peribumi di pedalaman dan terpencil mengakibatkan kesukaran untuk mengakses penjagaan kesihatan. Kedua, adalah biologikal masyarakat peribumi. Ketiga adalah peranan masyarakat peribumi dalam keluarga dan komuniti dan keempat adalah budaya iaitu warga tua sering memainkan peranan utama dalam perhimpunan komuniti, sama ada tarian, upacara penyembuhan, atau tadbir urus hal ehwal budaya seperti kematian dan perkahwinan.
Bagaimanapun, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil dalam usaha membendung penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat peribumi antaranya :
i. Seluruh sektor kesihatan di peringkat global, serantau dan kebangsaan boleh menyediakan maklumat sebaran dan bahan audiovisual kepada masyarakat peribumi melalui bahasa-bahasa peribumi. Mesej kebersihan, kuarantin dan sebagainya yang berkaitan COVID-19 harus dikongsi dengan ketua komuniti dan pemimpin belia serta golongan muda. Melibatkan belia peribumi dalam penyebaran mesej COVID-19 dalam masyarakat adalah langkah yang baik kerana golongan ini sangat rapat dengan media sosial.
ii. Pengasingan geografi (geographical isolation) juga adalah penting bagi membendung dan membantu masyarakat peribumi daripada COVID-19
iii. Dicadangkan juga agar negara-negara yang terlibat untuk melibatkan sama wakil masyarakat peribumi yang terdiri daripada ketua komuniti, Tok Batin, pemimpin setempat dalam jawatankuasa bertindak atau entiti yang khusus untuk pandemik COVID-19. Jawatankuasa kesihatan ini melibatkan penyertaan aktif pemimpin masyarakat dan masyarakat peribumi itu sendiri untuk pencegahan dan rawatan pesakit dengan COVID-19. Perkara ini boleh dilaksanakan baik semasa wabak mahupun selepas ini. Menyediakan bekalan dan transit makanan sihat percuma, untuk menjaga dan sebagai kaedah pencegahan dalam kalangan masyarakat peribumi.
iv. Bantuan makanan ini banyak dilaksanakan oleh negara-negara yang terlibat. Di Malaysia penyaluran bantuan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli bagi fasa pertama dan kedua dilaksana sejak 2 April lalu hingga kini, membabitkan 104,670 ketua isi rumah di 853 perkampungan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM11 juta. Bantuan makanan ini banyak dilakukan oleh negara-negara lain seperti Australia, Kanada, Mexico, Latin Amerika, Columbia dan Brazil.
v. Menyediakan dan meningkatkan infrastruktur dan keperluan untuk penjagaan dan rawatan kesihatan di kawasan masyarakat peribumi. Ini termasuk bekalan air bersih dan keperluan asas yang lain. Disarankan juga pihak kerajaan dan organisasi kesihatan untuk membantu masyarakat peribumi dari segi penyediaan barangan seperti pelitup hidung dan mulut (facemask), sarung tangan, bahan pembasmi kuman dan lain-lain barangan bagi membendung virus ini. Di Kanada, bekalan sarung tangan, cecair pembasmi kuman, ubatan, kit pencegahan dan pelitup muka diberikan kepada komuniti peribumi di sana sebagai langkah pencegahan.
Memperkasa masyarakat Orang Asal
Agenda pembangunan untuk memperkasa masyarakat peribumi perlu diteruskan oleh pelbagai pemegang taruh. Usaha untuk memajukan masyarakat pribumi untuk terus menikmati kesejahteraan merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh kerajaan. Realitinya, masyarakat peribumi masih mengalami pelbagai cabaran dalam mengurus kehidupan mereka dari aspek sosial, ekonomi dan politik.
Perlu ditegaskan bahawa segala pembangunan yang ingin dibawa oleh pemegang taruh perlulah mengambil kira pandangan masyarakat peribumi terlebih dahulu. Penentuan nasib sendiri (self-determination) dalam kalangan masyarakat peribumi adalah penting bagi memastikan masyarakat ini menikmati pembangunan berdasarkan landskap dan pemikiran mereka sendiri. Selamat menyambut Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia kepada semua Orang Asal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA
Dr Mohd Roslan Rosnon merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Bidang kepakaran beliau adalah Antropologi dan Sosiologi (Pengajian Peribumi).