“Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Ungkapan ini menggambarkan keperluan usaha yang kuat bagi mencapai sesuatu matlamat, begitu juga untuk menjadi pendidik yang cemerlang. Pendidik yang bergelumang dengan ilmu perlu sentiasa berusaha berkongsi ilmu kepada anak-anak didik dengan pelbagai kaedah dan inovasi serta kreativiti di sebalik kekangan semasa iaitu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19.
Aplikasi pembelajaran secara maya
Situasi normal baharu bukan sahaja memberi cabaran baharu bahkan ruang kepada pendidik untuk menggunakan segala kemahiran dan kreativiti yang ada melalui pelbagai platform komunikasi dan internet untuk membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat terus dijalankan.
Apabila berlakunya wabak COVID-19, sesi kelas dan kuliah tidak boleh dilaksanakan seperti biasa. Namun, proses pengajaran dan pembelajaran perlu diteruskan iaitu menggunakan aplikasi pembelajaran dalam talian. Ini cabaran baharu kepada warga pendidik. Sudah tentu persiapan daripada segi mental, emosi dan persiapan kandungan perlu disediakan dengan komprehensif mengikut objektif kandungan sesuatu kursus dan subjek. Pendidik perlu berusaha menyesuaikan diri dengan aplikasi tersebut bagi meningkatkan mutu pengajaran. Pendidik juga perlu memperbaiki kaedah pengajaran sesuai dengan platform dalam talian ini. Tanggungjawab perlu digalas, usaha perlu dibuat untuk memastikan pelajar kekal aktif di rumah untuk belajar.
Kemahiran pendidik
Dalam situasi ini, pendidik perlu ada kemahiran mengguna aplikasi pembelajaran secara maya dalam pelbagai mod seperti aplikasi Cisco Webex, Zoom, Google Classroom, Google Meet, WhatsApp sebagai saluran pelajar mendapatkan ilmu. Selain itu, pendidik perlu tahu aplikasi berkaitan penilaian kefahaman pelajar dalam aktiviti pengajaran supaya penilaian berterusan dapat dilakukan setaraf dengan penilaian yang dilakukan dalam keadaan biasa. Ini bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan juga kaedah penilaian tetap sama seperti biasa walaupun dilaksanakan secara dalam talian.
Pendidik juga perlu menambah kemahiran daripada segi penyampaian dan komunikasi supaya keberkesanan penyampaian PdP dalam ruang lingkup PKP dapat dilaksanakan dengan berkesan dan objektif pembelajaran dapat dicapai. Maklum balas rakan setugas atau pelajar menjadi komponen penting. Segala kelemahan perlu diperbaiki segera. Kejayaan PdP secara dalam talian perlu perancangan yang baik agar keberkesanan penyampaian dan matlamat tercapai. Perancangan yang strategik, penggunaan sumber untuk mencapai objektif perlu disesuaikan dengan tindakan untuk mengatasi cabaran dalam keadaan PKP ini.
Menurut Albert Bandura “sesuatu tindakan terhasil daripada interaksi tiga faktor iaitu manusia, persekitaran dan tabiat manusia”. Dalam keadaan PKP, pelajar berada dalam persekitaran yang terhad, kawalan pergerakan tidak seperti biasa dan ini menghalang pelajar contohnya untuk bermain bola, berekreasi dan sebagainya. Dalam konteks ini, pendidik berperanan menjana minda positif, mencari sesuatu yang dapat memberikan keseronokan kepada pelajar. Ia boleh dilakukan dengan bereksplorasi perkara baru bersama pelajar dalam PdP dengan menerapkan aktiviti gamifikasi dalam pembelajaran yang diajar.
Gamifikasi dalam pendidikan sebagai alat bantu mengajar memberikan keseronokan kepada pelajar dan menggalakkan mereka untuk memaksimumkan potensi diri dengan inovasi pendidikan. Tayangan video berdasarkan pelajaran yang diajar dan soalan quiz boleh diberikan sebelum murid belajar contohnya dalam aplikasi Google Meet. Melalui kaedah Flipping Class Methode, pelajar diberi tugasan tentang sesuatu subjek sebelum mereka belajar perihal subjek tersebut. Teknik ini meningkatkan kemahiran berfikir pelajar dan mempengaruhi mereka untuk mengumpulkan fakta atau apa sahaja perkara berkaitan subjek tersebut.
Pengalaman baharu pendidik
COVID-19 dan PKP memberi pengalaman baharu bagi pendidik menambah kemahiran secara kreatif dan inovatif. Kemahiran ini penting dalam mengurus pelajar, PdP dan tanggungjawab lain yang ada. Minda yang positif, kreatif serta inovatif, merupakan satu kemahiran sedia ada dalam diri setiap individu maka terpulang kepada pendidik untuk mengaplikasi kemahiran ini dalam tugas mereka. Suasana berubah dan permasalahan berbeza memerlukan cara penyelesaian yang berbeza. Perancangan yang sesuai dan pengaturan masa yang sistematik amat perlu bagi pendidik mempersiapkan diri bagi pengendalian kelas atau kuliah dalam talian.
Justeru, pendidik perlu berperanan menjana cara berfikir dan menanam minda positif untuk menjana kecemerlangan. Keupayaaan berfikir penting dalam musim PKP ini bagi memahami, menjelaskan, dan menjangka fikiran, perasaan, dan tindakan seseorang pelajar. Oleh itu dalam konteks membina minda positif, kreatif dan inovatif, warga pendidik perlu keluar daripada zon selesa sedia ada.
Pendidik yang kreatif akan seronok meneroka sesuatu yang baharu namun bagi segelintir pendidik yang melihat sesuatu daripada sudut yang negatif akan buntu dalam menyelesaikan masalah dan menunaikan tugas. Pendidik yang positif, kreatif dan inovatif pula perlu istiqamah kerana pembaharuan tidak mudah diterima oleh semua pihak.
-- BERNAMA
Dr Sakinah Salleh merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.