PENA WANITA

MERANGSANG SEKTOR PELANCONGAN DOMESTIK PASCA PKP, KEPERLUAN MELESTARI KHAZANAH ALAM

28/08/2020 09:37 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Aktiviti pelancongan domestik negara dijangka berkembang 30 peratus bagi tempoh enam bulan hingga setahun dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pelancong tempatan dilihat mula beralih arah kepada pelancongan domestik iaitu melancong dalam negara semasa tempoh tersebut. Sebaik sahaja Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sektor pelancongan domestik dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun, dapat dilihat rakyat mula melancong dalam negara selepas tarikh itu setelah lebih tiga bulan terperap dalam rumah masing-masing ketika PKP.

Malah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut mengumumkan pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan bagi membolehkan ekonomi negara pulih dengan segera akibat pandemik COVID-19. Bagi memastikan keselamatan, pembukaan kembali sektor pelancongan domestik turut melibatkan beberapa perkara yang dilarang dan dibenarkan dengan syarat pematuhan kepada semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Antara sektor pelancongan yang berpotensi menarik kedatangan pelancong domestik semasa pasca PKP adalah ekopelancongan khususnya dalam meredakan tekanan, kebimbangan dan kerunsingan yang dialami akibat kesan pandemik COVID-19.

Ekopelancongan adalah percutian yang merangkumi aspek pemuliharaan alam sekitar dan menghormati budaya penduduk setempat, iaitu suatu bentuk pelancongan alam semula jadi untuk menikmati keindahan alam. Persatuan Ekopelancongan Antarabangsa mentakrifkan ekopelancongan sebagai perjalanan yang bertanggungjawab ke kawasan semula jadi yang memelihara alam sekitar, mengekalkan kesejahteraan penduduk tempatan, dan melibatkan tafsiran dan pendidikan.

Tarikan alam semula jadi

Malaysia dianugerahkan dengan tarikan alam semula jadi dan kekayaan pelbagai biologi sehingga sering menjadi destinasi pilihan bagi pelancong tempatan dan asing, menyebabkan ekopelancongan menjadi antara produk pelancongan yang semakin popular dewasa ini. Ekopelancongan telah diberi perhatian dan mula dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK ke-7) dan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK ke-8) dan dilaksanakan secara serius melalui penubuhan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (2016-2025) pada tahun 2015. Ekopelancongan memberi penekanan terhadap mempromosikan dan membangunkan destinasi pelancongan dengan mengambil kira penjagaan dan kelestarian alam sekitar. Antara tarikan semula jadi yang berpotensi menarik pelancong domestik mengunjungi alam semula jadi adalah kehijauan persekitaran seperti kawasan hutan, deruan air sungai, keindahan pantai, keunikan gua serta kecantikan flora dan fauna yang unik. Ini bermakna, khazanah alam semula jadi kini bukan sahaja boleh dinikmati oleh penduduk setempat tetapi ia sebagai satu sumber yang boleh dimajukan untuk sektor seperti ekopelancongan. Pulau Sipadan misalnya terkenal dengan spesis ikan yang menghuni perairan pulau tersebut seperti ikan Barracuda yang berpotensi menarik kedatangan pelancong.

Tuntasnya, ekopelancongan adalah pelancongan berkonsepkan alam semula jadi dan melibatkan elemen pendidikan dan pembelajaran kepada pelancong dan penduduk tempatan melalui kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi serta menyumbang faedah kepada ekonomi setempat disamping mereka boleh berhibur, merasai keseronokan dan menikmati keindahan alam. Pelancong dan penduduk setempat juga akan didedahkan tentang bagaimana mereka perlu menghargai alam sekitar di samping menikmati keindahannya pada masa yang sama. Sumberjaya semula jadi tidak hanya merangkumi ciri-ciri tanah, udara, air, flora dan fauna; tetapi ianya turut merangkumi aspek sejarah, kebudayan dan warisan manusia. Alam sekitar merupakan teras bagi produk ekopelancongan kerana keuntungan dalam pelancongan jenis ini adalah bergantung kepada usaha dan aspek pengekalan daya tarikan sesuatu destinasi yang pelancong atau pelawat yang ingin menyaksikan dan mengalami sendiri keunikan dan tarikan tersendiri alam semula jadi.

Pelancongan berasaskan alam semula jadi merupakan sektor yang paling cepat berkembang. Menurut Cooper dan Wanhill (1996), terdapat trend ke arah pelancongan yang berasaskan minat khas yang secara eksklusif memfokuskan kepada alam semula jadi. Ekopelancongan telah menjadi semakin popular dan ia bukan sahaja menjana pendapatan negara, tetapi juga menimbulkan kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan akan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan (Jafar Jafari, 2000) alam sekitar.

Di Malaysia terdapat banyak destinasi ekopelancongan yang telah diwujudkan untuk memberi pengalaman kepada pelancong domestik menikmati keindahan di kawasan semula jadi. Antara destinasi ekopelancongan yang popular adalah Taman Rekreasi Gunung Lang (Perak), Taman Negara Kuala Koh (Kelantan), Taman Eco Rimba (Kuala Lumpur), Pulau Kapas dan Pulau Redang, (Terengganu), Taman Negara Gua Mulu (Sarawak), Maliau Basin (Sabah), Gunung Ledang (Johor), Tasik Kenyir (Terengganu), Santuari Gajah Kuala Gandah (Pahang), Taman Geo Kilim Karst, Langkawi (Kedah), Pulau Sipadan dan Pulau Mabul (Sabah), Firefly Park Kuala Selangor serta pelbagai lagi destinasi ekopelancongan di seluruh negara. Taman Negara Kuala Koh misalnya terkenal dengan keunikan dan keindahan flora dan faunanya menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan serta penyelidikan. Malah, terdapat lebih 300 spesis burung di sini dan pengunjung berpeluang mencuba pelbagai aktiviti menarik seperti merentas hutan, berkayak, menaiki titian kanopi dan perkhemahan.

Hal ini membuktikan kewujudan ekopelancongan membolehkan usaha pengekalan serta perkongsian mengenai budaya warisan tempatan untuk jangka masa panjang kepada pelancong. Di samping itu, pada masa yang sama ekopelancongan dapat mendedahkan perspektif sejarah mengenai penduduk orang asli, flora dan fauna kepada pelancong dan dapat menggalakkan komuniti setempat menghargai dan menerima faedah daripada aset budaya dan sumber semula jadi. Justeru, aktiviti ekopelancongan dapat digunakan untuk melindungi alam semula jadi, hidupan liar, dan pelbagai jenis spesis di samping dapat membantu penduduk tempatan menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun dan berpendidikan dengan menyedari akan kepentingan memelihara sumber yang ada.

Walaupun tujuan asal melancong adalah untuk berehat, beriadah, melepaskan tekanan dan ketegangan yang dialami dalam pasca PKP, pelancong dinasihatkan mengamalkan etika dan bersusila ketika berinteraksi dengan alam semula jadi di kawasan yang dikunjungi bagi mengekalkan kelestariannya. Adalah sangat penting menggunakan kemudahan dengan berhemah dan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Antaranya, jangan membuang sampah merata-rata; ikut laluan yang dikhaskan dan jangan mengusik habitat semula jadi haiwan atau tumbuhan serta tidak dibenarkan mengambil sebarang jenis flora dan fauna.

Keperluan melestari alam semula jadi

Ternyata banyak ciri alam sekitar semula jadi yang berpotensi menjadi tarikan kepada pelancong domestik pasca PKP. Namun, dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara pasca PKP melalui sektor pelancongan domestik, adalah amat penting untuk memahami hubungan dan interaksi manusia-alam ini sepenuhnya dalam usaha merancang, membangun dan seterusnya menguruskan sumber ini dengan sewajarnya agar kelestarian alam terus terpelihara. Lantaran itu, adalah sangat penting mewujudkan strategi pengurusan ekopelancongan yang lestari kerana alam semula jadi bersifat rapuh “fragile environment”. Hal ini kerana, kaedah pengurusan yang tidak cekap untuk melindungi alam sekitar boleh menyebabkan matlamat utama ekopelancongan sebagai langkah konservasi akan terhalang sekiranya tidak diiuruskan dengan baik kerana ia merupakan antara sistem sokongan yang penting untuk kelestarian sumber alam sekitar. Oleh itu, menjadi keperluan utama untuk membangunkan industri ekopelancongan yang maju dan lestari serta tidak mengorbankan kepelbagaian biologi melalui "penjagaan, pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar serta keindahan alam semula jadi dan warisan budaya negara.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)