DIARI MEDIA

NANYANG SIANG PAU GEMBIRA TERIMA HADIAH KEK DARI AGONG SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUNNYA

10/09/2020 01:52 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Para petugas Nanyang Siang Pau langsung tidak menyangka sambutan ulang tahun ke-97 semalam akan menampilkan satu kejutan yang amat mengujakan.

Hadirin, termasuk barisan petugas jabatan pengarangnya, jelas terkejut dan teruja apabila menerima hadiah berupa kek sempena ulang tahun penerbitan akhbar berkenaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agung Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut Ketua Pengarangnya Chan Aun Kuang, beliau dan barisan petugas editorial menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terhadap keprihatinan baginda berdua menyampaikan pemberian berkenaan, yang menurutnya satu penghormatan pertama kali dinikmati oleh akhbar berbahasa Cina dalam negara.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa ketua unit komunikasi Istana Negara Muzli Mohd Zin dan pegawai perhubungan media Mohd Husni Yusop menyampaikan hadiah berkenaan bagi pihak Al-Sultan Abdullah.

"Al-Sultan Abdullah sering mengambil berat serta prihatin, di samping amat menghargai hubungan baik dengan media,” menurut Muzli.

Beliau berkata baginda telah berkenan menubuhkan unit komunikasi media khusus bagi mengekalkan interaksi dan hubungan baik dengan media.

Akhbar Nanyang Siang Pau diasaskan oleh usahawan, dermawan, Tan Kah Kee pada 6 Sept 1923 di Singapura, dan merupakan antara akhbar berbahasa Cina tertua yang kini masih diedar di Malaysia.

-- BERNAMA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)