Oleh: Prof Madya Dr Norlin Khalid
Bermula dengan perang oleh penjajah Israel ke atas Palestin sejak Oktober 2023, konflik di rantau Asia Barat semakin meruncing apabila Iran melepaskan serangan dron kepada Israel sebagai tindak balas serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di Damsyik sehingga engorbankan tujuh anggota termasuk jeneral tertinggi mereka. Keadaan ini menyebabkan situasi yang lebih tegang di Asia Barat, sekali gus menimbulkan suasana ketidakpastian ekonomi yang tinggi.
Walaupun impak ke atas ekonomi global masih sederhana namun sekiranya keadaan bergejolak itu berterusan berlaku, ia akan akan memburukkan lagi keadaan ekonomi dan kewangan dunia. Timbul kebimbangan sekiranya pergolakan ini mencetuskan perang yang lebih berskala besar di Asia Barat dan akan menyebabkan lebih banyak krisis kemanusiaan.
Kesan negatif ekonomi
Umumnya, berapa besar kesan limpahan negatif kepada ekonomi akibat konflik ini bergantung kepada berapa lama pergolakan berlaku dan berapa banyak negara-negara yang terlibat.
Ketidakstabilan ekonomi di rantau Asia Barat dijangka memperlihatkan pertumbuhan ekonomi yang negatif di rantau negara terlibat terutamanya di negara-negara MENA (Asia Barat dan Utara Afrika) pada tahun ini.
Ini dapat dilihat dari kesan konflik perang Gaza-Israel yang telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi serantau di negara MENA. Berdasarkan Laporan IMF pada awal Januari 2024, kesan konflik Gaza-Israel mengunjurkan pertumbuhan ekonomi di rantau MENA pada tahun ini jatuh sebanyak 0.5 peratus kepada 2.9 peratus berbanding pencapaian Oktober 2023 tahun lepas.
Pun begitu, MENA ini telah pun menghadapi pertumbuhan ekonomi yang perlahan iaitu sekitar dua peratus pada tahun 2023. Akibat ketidakstabilan di Laut Merah, banyak laluan perdagangan terpaksa dihentikan dan ini mengganggu rantaian pengeluaran barangan di kebanyakan negara.
Kenaikan kos pengeluaran
Kesannya akan meningkatkan kos pengeluaran barangan terutamanya kos logistik pengangkutan dan penyimpanan yang akhirnya akan meningkatkan lagi tingkat harga barang.
Kebanyakan negara di Asia Barat juga merupakan negara pengeluar utama minyak dunia. Iran misalnya, adalah anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ketiga terbesar pengeluar minyak dan merupakan negara pengeluar minyak ketujuh terbesar dunia.
Walaupun pergolakan belum menunjukkan kesan ketara kepada harga minyak dunia setakat ini, tetapi sekiranya konflik berterusan untuk satu jangkamasa yang lebih panjang atau berlaku serangan ke atas fasiliti minyak mahupun sekatan perjalanan yang menjejaskan pengeluaran akan menyebabkan harga minyak meningkat.
Kesan kenaikan harga minyak akan meningkatkan lagi kadar inflasi kerana adanya korelasi yang positif antara kedua-dua pembolehubah.
Pelaburan dan permintaan terjejas
Ekonomi yang saling bergantung menyebabkan sebarang ketidakpastian akan menyebabkan pelaburan luar dan permintaan domestik juga terjejas. Malah, dengan ketegangan geopolitik Asia Barat, sektor pelancongan turut terjejas. Bilangan pelancong ke Asia Barat juga terjejas berikutan ruang udara yang terpaksa ditutup dan penerbangan yang dihentikan akibat laluan yang tidak selamat di negara-negara Asia Barat. Negara terdekat seperti Mesir, Jordan dan Lubnan adalah antara negara yang akan terjejas teruk akibat konflik ini.
Kesan ekonomi akibat ketidakstabilan dan konflik di Asia Barat akan menyebabkan negara lain juga mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan inflasi yang meningkat kerana ekonomi global yang saling berkait.
Walaupun setakat ini kedudukan Malaysia masih lagi stabil, namun sebagai sebuah negara kecil yang mengamalkan ekonomi terbuka, konflik yang melibatkan Asia Barat boleh memberi kesan. Justeru, pemantauan dari masa ke semasa adalah penting untuk kerajaan dan pembuat dasar memastikan sektor yang terjejas dan cuba untuk meminimumkan risiko berkenaan.
Strategi
Perlu juga difikirkan beberapa strategi jangka pendek dan jangka panjang dalam mengurangkan kesan dari ketegangan geopolitik di Asia Barat tersebut. Antara strategi yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan kebergantungan serta mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan. Justeru, perlu pembuat dasar monetari melalui alat instrumen dasar untuk pastikan pasaran kewangan dan inflasi kekal stabil.
Begitu juga, peranan dasar fiskal yang perlu memastikan pasaran kewangan dan perdagangan tidak terjejas teruk akibat konflik Asia Barat. Dasar fiskal seperti perbelanjaan kerajaan dan pencukaian yang dapat membantu memudahkan pelaburan serta mengurangkan risiko daripada pelaburan dapat mengurangkan impak konflik sekiranya berterusan. Insentif boleh diberikan kepada syarikat atau individu yang terjejas akibat pergolakan politik Asia Barat. Jelasnya, pengurusan risiko yang berhemat adalah perlu untuk mengurangkan impak kemeruapan dari ketidakstabilan geopolitik.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Norlin Khalid merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjurus dalam bidang Makroekonomi Gunaan dan Ekonomi Monetari serta Fiskal. Sepanjang berkhidmat sebagai pensyarah, Dr Norlin sering dirujuk oleh agensi kerajaan dan swasta untuk penggubalan dasar berkaitan ekonomi.