SALAM DARI BEIJING

NYAWA POLITIK VS NYAWA RAKYAT

12/10/2020 12:59 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Syed Azwan Syed Ali

Tujuh hari telah berlalu tanpa penulis menulis sebarang artikel kecuali membuat ‘posting’ ringkas di media sosial pada Jumaat lalu ketika Donald Trump dan isterinya disahkan positif COVID-19.

Hari yang sama, penulis menerima keputusan saringan negatif (ujian swab dilakukan di KLIA sebaik kami tiba dari Sabah pada 28 September lalu) ketika menjalani kuarantin di sebuah hotel di ibu negara.

Lima hari sebelum itu, segalanya tidak kena. Perasaan terasa berat. Proses kuarantin sama ada di stesen kuarantin seperti hotel atau kurantin di rumah, sebenarnya memerlukan kekuatan mental yang tinggi.

Buktinya, rakan setugas yang juga jurukamera di bilik sebelah, seakan-akan terkena sawan dengan ‘nyanyian karaoke’ sumbang yang penulis dengar saban hari sejak hari kedua kami dikuarantin di sebuah hotel di berdekatan dengan Plaza Sungai Wang.

Barangkali, data telefonnya sudah habis atau kualiti ‘video call’ dengan anak isteri yang kurang baik menyebabkan mengapa proses kuarantin itu semakin menggusarkan dan memenatkan.

Di saat genting menunggu itu, tikar sejadah dan Al-Quran menjadi peneman setiap masa. Hanya pada Dia yang menjadi penyebab kepada semua sebab, mampu kita memohon pertolongan dan berserah.

Saringan dan kuarantin wajib ini perlu penulis penuhi selepas pulang dari tugasan liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selepas ia dikuatkuasakan kerajaan bermula 27 September lalu, sehari selepas tamatnya PRN Sabah.

Jika diikutkan, penulis hanya berada di Kota Kinabalu iaitu kawasan berisiko rendah dan bukannya di kawasan empat zon merah di Sabah (Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna).

ELAKKAN API COVID-19 MEREBAK KE SEMENANJUNG?

Namun atas dasar mengelakkan api penularan COVID-19 merebak ke Semenanjung, semua pengunjung ke Sabah diwajibkan menjalani proses saringan dan kuarantin wajib selama 14 hari di rumah.

Ini satu langkah tepat dilakukan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), cuma alangkah lebih baik sekiranya api yang sedang marak atau “gelombang ketiga” COVID-19 ini dicegah lebih awal.

Alangkah baiknya, jika musuh utama kita, COVID-19 dapat dikekang lebih ketat daripada menular di dalam komuniti di Sabah hanya kerana pilihan raya negeri yang terpaksa diadakan. Kini Sabah adalah bom COVID-19 yang telah meletup!

Catatan penulis hari ini bukan untuk menunding jari atau menyalahkan mana-mana pihak. Ia adalah luahan seorang warganegara yang sayangkan negaranya selepas salah seorang dari kami (wartawan) menjadi mangsa COVID-19.

Ya, kami kelompok wartawan, tidak pernah menyalahkan perihal tugasan liputan tetapi kami juga punya perasaan. Apabila mendengar perkhabaran salah seorang dari kami (rakan setugas di NSTP) yang dilaporkan positif COVID-19 semalam, emosi kami goyah dan bercampur baur.

Moga rakan setugas kami cepat sembuh dan kebajikan ahli keluarganya dijaga pihak majikan selepas beliau menjalani kuarantin di rumah.

Penulis berterima kasih kepada Bernama kerana menjaga kebajikan kami dengan membenarkan petugasnya menjalani kuarantin di hotel sehinggalah keputusan saringan pertama diperolehi.

Hanya yang negatif dibenarkan pulang ke rumah. Mereka yang positif akan terus diasingkan untuk rawatan.

Pihak pengurusan juga mengarahkan kami menyambung kuarantin dan bekerja dari rumah bagi melengkapkan kuarantin 14 hari dengan kos penginapan di hotel dan kos saringan kali kedua, ditanggung sepenuhnya oleh Bernama.

POLITIKUS YANG BERSALAH?

Berbalik kepada kegusaran umum, penulis memahami kenapa rata-rata sentimen rakyat ketika ini seakan-akan menyalahkan kelompok politikus sebagai antara penyebab kenapa berlakunya gelombang ketiga ini?

Adakah dakwaan ini berasas atau tidak? Buat politikus, usah cepat melenting kerana rakyat (pengundi) mempunyai kuasa untuk meletakkan kalian di atas atau di bawah bila tiba waktunya.

Buat politikus, penulis merayu, jika kalian benar-benar mementingkan nyawa rakyat berbanding nyawa politik, maka tunjukkanlah contoh teladan yang baik melalui tindakan kalian.

Politikus tidak dapat mengenepikan dakwaan ketidakpatuhan kepada SOP apabila ada dalam kalangan mereka yang tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak semasa berkempen di Sabah sebelum ini.

Cuba kekang diri kalian daripada bercakap soal mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat, termasuklah perihal siapa yang seharusnya layak mengemudi negara yang sudah terjejas teruk dengan impak COVID-19.

Hakikatnya, ramai ketua keluarga yang kehilangan pekerjaan dan keadaan semakin menekan selepas tamatnya moratarium dilaksanakan kerajaan. Ribuan dibuang kerja masih berhempas pulas hanya untuk memastikan ada makanan di atas meja setiap hari. Ini keluh kesah rakyat kebanyakkan di bawah!

Cuba elakkan resam paku dulang paku serpih atau resam dua kali lima, mengata orang dia pun sama. Apakah politikus ini soal hidup dan matinya adalah untuk berkuasa semata-mata?

Tidakkah kalian tertanya-tanya, adakah sentimen #rakyatjagarakyat yang mula menggantikan sentimen #kitajagakita sesuatu yang hanya tular di media sosial atau ia sebenarnya mewakili suara hati golongan marhaen di bawah.

SABAH TANGGUNG AKIBAT?

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa penularan kes COVID-19 dalam komuniti di Sabah (bukan hanya dalam kawasan tertutup seperti di penjara bagi Kluster Benteng LD) menyemarakkan lagi api penularan pandemik ini sejak dua minggu lalu.

Ketika itu, kerajaan negeri Sabah hanyalah sebuah kerajaan “caretaker” yang sibuk berdepan dengan pilihan raya negeri sehingga langkah pencegahan COVID-19 tidak dilakukan dengan optimum.

Kampung Bangau-Bangau (Kluster Bangau-Bangau) di Semporna dan perkampungan air di sekitarnya yang padat dengan penduduk, termasuk pendatang tanpa izin dan kelompok ‘stateless’, tidak dipantau sepenuhnya sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar dikuatkuasakan selepas PRN Sabah.

Pengurusan dan pencegahan di kawasan seperti di Kampung Bangau-Bangau tidak seharusnya diletakkan di bahu KKM sahaja.

Ia perlu melibatkan kerjasama agensi lain seperti polis, tentera, imigresen dan ESSCOM ekoran 'complexity' di lokaliti itu. Ini tidak bermakna penulis mendakwa bahawa pihak berwajib tidak melakukan tugasnya.

Apakah kita perlu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat dan membahayakan nyawa rakyat? Tidak bolehkan semua pihak bekerja dan berlapang dada untuk memulihkan keadaan negara ketika ini?

Semalam, penulis menerima khabar dari kumpulan doktor dan petugas ‘frontliner’ di Sabah mengenai betapa seriusnya keadaan di negeri itu.

Difahamkan, wad-wad di hospital-hospital utama, termasuk wad ICU kini sesak dengan pesakit COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini (6 Okt) menyatakan kapasiti penggunaan katil di fasiliti kesihatan yang menangani COVID-19 di Sabah adalah pada kadar 75 peratus, jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

Bermula 12.01 malam 7 Oktober 2020, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasakan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan selepas PKPD Bersasar dilaksanakan di empat zon merah di Sabah. Pergerakan keluar masuk ke kawasan itu adalah tidak dibenarkan.

Bermula 12 Oktober pula, kemasukan ke Sabah adalah tidak dibenarkan, kecuali kelompok tertentu.

Sejak enam hari lalu, angka kes COVID-19 baharu mencatat tiga digit bermula 260 kes pada 1 Oktober, 287 (2 Okt), 317 (3 Okt), 293 (4 Okt), 432 kes (5 Okt) dan terkini 691 kes (6 Okt). Angka jangkitan ini dijangka terus meningkat.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 13,504 kes COVID-19 dengan 141 kes kematian. Daripada jumlah itu, sebanyak 2,936 kes masih aktif dan menerima rawatan di hospital.

HARAPAN PADA RAKYAT

Penulis tidak akan meletakkan harapan sepenuhnya kepada sebilangan politikus tetapi ada sebahagian daripada mereka telah menjalankan tugas yang baik.

Mereka ini tidak hanya sekadar omong-omong politik sebaliknya bertindak cepat dengan membantu kelompok pelajar IPT yang terjejas dengan menyediakan perkhidmatan bas dan bantuan kemanusiaan lain.

Badan-badan bukan kerajaan seperti Mercy Malaysia dan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) juga telah mengagihkan bantuan perubatan dan non-medikal selain menghantar sukarelawan bagi membantu kelompok ‘frontliner’ di Sabah.

Persoalannya, apa yang boleh kita lakukan di waktu-waktu yang mencabar ini? Apakah pilihan yang kita ada walaupun PKP tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.

Penulis bersetuju dengan pandangan Dr Noor Hisham supaya semua pihak perlu memainkan peranan dalam memutuskan rantaian pandemik global ini.

Tanggungjawab kini di bahu kita, bukan hanya petugas barisan hadapan yang sedia berkorban untuk kita. Elakkan tempat ramai, tertutup dan 'close contact' dengan mana-mana pihak. Langkah terbaik adalah hadkan pergerakan kita!

Tidak perlu tunggu sekolah ditutup kerana ibu bapa mempunyai hak untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah jika merasakan situasi tidak selamat. Ini ‘kuasa’ yang diberikan kerajaan kepada kita.

Apa yang berlaku di Malaysia adalah selari dengan perkembangan di peringkat antarabangsa, namun itu tidak bermakna kita seharusnya menjadi mangsa atau lebih ramai lagi menjadi korban kepada virus maut ini.

Moga negara ini aman daripada politikus tidak bertanggungjawab, apatah lagi yang bersikap memecahbelahkan seperti Trump yang memperlekehkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam, sekalipun sains menyatakan pemakaian pelitup separuh muka mampu mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Pendirian Trump menyebabkan warga Amerika Syarikat berpecah kepada dua kelompok dan meletakkan Amerika Syarikat sebagai negara paling terjejas teruk akibat wabak COVID-19 dengan lebih 210,000 rakyatnya maut.

Atau mungkin pendirian politikus yang tidak bertanggungjawab itu akan berubah selepas beliau sendiri positif COVID-19? Antara nyawa politik dan nyawa rakyat, yang mana lebih utama? -- BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan liputan di zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis tentang isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)