PENA WANITA

Perdagangan Global Semakin Kompleks, PMKS Malaysia Jangan Terus Alpa

27/01/2026 11:14 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Zurina Samsudin

Menjelang tahun 2026, perdagangan global tidak lagi boleh dianggap sebagai medan peluang yang mudah dimasuki.

Dunia kini berdepan ketidaktentuan geopolitik, konflik serantau, gangguan rantaian bekalan serta kos perdagangan yang terus meningkat.

Dalam realiti baharu ini, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia tidak lagi bersaing dalam padang yang sama rata.

Persoalannya, adakah PMKS kita benar-benar bersedia, atau sekadar berharap nasib masih menyebelahi mereka?

PMKS sering diangkat sebagai tulang belakang ekonomi negara, menyumbang lebih 97 peratus kepada keseluruhan perniagaan dan menyediakan sebahagian besar peluang pekerjaan.

Namun, apabila bercakap tentang perdagangan luar, sumbangan PMKS kepada eksport negara masih kecil dan tidak seimbang.

Kita sering berbangga dengan bilangan PMKS yang banyak, tetapi jarang bertanya berapa ramai yang benar-benar mampu menembusi pasaran antarabangsa secara mampan.

Hakikatnya, perdagangan global hari ini bukan sekadar menjual produk ke luar negara.

Ia menuntut keupayaan memahami peraturan antarabangsa, pematuhan piawaian kualiti, pengurusan risiko mata wang, kos logistik yang tinggi serta kecekapan mengurus rantaian bekalan merentas sempadan.

PMKS yang masih berniaga dengan mentaliti ‘asal boleh jual’ sedang bergerak menuju jalan buntu. Dalam dunia yang semakin kompleks, strategi lama bukan lagi kelebihan, malah menjadi beban yang mengekang daya saing.

Lebih membimbangkan, ramai PMKS masih bergantung kepada satu atau dua pasaran tradisional.

Kebergantungan ini menjadikan perniagaan terdedah kepada risiko luar jangka seperti perubahan dasar perdagangan, turun naik permintaan atau krisis geopolitik.

Apabila satu pasaran terjejas, keseluruhan operasi turut terganggu. Inilah realiti yang semakin ketara menjelang 2026, apabila pasaran global menjadi lebih tidak menentu dan tidak memihak kepada pemain yang tidak bersedia.

Persaingan pula tidak lagi datang daripada negara maju semata-mata. Vietnam, Indonesia dan India semakin agresif menawan pasaran dunia.

Dengan kos pengeluaran yang lebih rendah, sokongan dasar yang konsisten serta strategi eksport yang tersusun, negara-negara ini bergerak pantas mengisi ruang pasaran.

Jika PMKS Malaysia masih leka dengan pasaran sedia ada dan enggan meningkatkan keupayaan, jangan terkejut jika kita akhirnya menjadi penonton di halaman sendiri.

Malaysia sebenarnya mempunyai akses kepada pelbagai perjanjian perdagangan bebas.

Antaranya ialah RCEP, iaitu perjanjian perdagangan serantau Asia-Pasifik yang bertujuan memudahkan akses pasaran dan mengurangkan halangan perdagangan.

Selain itu, CPTPP pula membuka peluang ke pasaran seperti Jepun, Kanada dan Australia. Namun, perjanjian di atas kertas tidak membawa makna jika PMKS tidak tahu cara menggunakannya.

Realitinya, masih ramai usahawan kecil yang melihat RCEP dan CPTPP sebagai jargon elit, bukan sebagai alat strategik untuk berkembang.

PMKS Perlu Berani Keluar Dari Zon Selesa

Dalam masa sama, perdagangan global kini semakin dipengaruhi oleh tuntutan ESG, iaitu alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Pasaran antarabangsa bukan sahaja menilai harga dan kualiti produk, tetapi juga bagaimana produk itu dihasilkan. Isu seperti kelestarian, penggunaan tenaga, amalan buruh dan tadbir urus semakin menjadi penentu akses pasaran.

PMKS yang menganggap isu ini sebagai beban kos, bukan pelaburan masa depan, sebenarnya sedang menutup pintu pasaran mereka sendiri.

Namun cabaran paling besar bukan terletak pada peraturan atau pasaran luar, sebaliknya pada sikap. Masih terdapat PMKS yang melihat eksport sebagai aktiviti sampingan, bukan sebagai strategi kelangsungan perniagaan.

Tanpa pelan eksport yang jelas, tanpa pelaburan dalam inovasi dan peningkatan keupayaan dalaman, penyertaan PMKS dalam perdagangan global akan kekal bersifat reaktif dan rapuh.

Kerajaan dan agensi berkaitan telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan, termasuk latihan, pembiayaan, promosi perdagangan dan fasilitasi pasaran.

Namun, bantuan semata-mata tidak akan membawa perubahan jika PMKS sendiri enggan berubah.

Tidak semua kegagalan boleh disalahkan kepada dasar atau keadaan global. Ada kalanya, kegagalan berpunca daripada keengganan keluar dari zon selesa dan keberanian untuk mencuba pendekatan baharu.

Menjelang 2026, PMKS Malaysia tidak boleh lagi bergerak secara bersendirian dan berfikir secara terasing.

Kolaborasi, penggunaan teknologi digital, perkongsian maklumat pasaran dan penyertaan dalam rantaian nilai serantau bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.

Dalam perdagangan global, siapa yang lambat bertindak tidak akan diberi simpati.

Persoalan akhirnya jelas dan tidak selesa untuk dijawab.

Adakah PMKS Malaysia bersedia melakukan perubahan sebenar, atau akan terus berharap keadaan kembali seperti dahulu?

Dunia perdagangan tidak menunggu pemain yang ragu-ragu. Tahun 2026 bukan masa untuk berfikir panjang, tetapi masa untuk membuat keputusan berani.

Jika tidak, PMKS Malaysia mungkin terus wujud, tetapi semakin tidak relevan dalam ekonomi global yang semakin mencabar.

-- BERNAMA

Dr Zurina Samsudin ialah Pensyarah Kanan Johor Business School (JBS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)