TINTA MINDA

Pengakap Malaysia Dalam Era Pendidikan AI

26/01/2026 09:13 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Ts Dr Manivannan Rethinam

Dalam era kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) dan perubahan global yang pesat, landskap pendidikan negara sedang mengalami anjakan yang mendalam.

Cabaran pendidikan kini bukan sekadar penguasaan maklumat.

Fokus kini adalah membentuk insan yang berfikir kritis, membuat pertimbangan beretika, dan bertindak secara bertanggungjawab, dari maklumat ke tindakan berasaskan pengalaman, dalam dunia kompleks yang dipacu teknologi.

Apabila maklumat boleh dicapai dalam sekelip mata melalui teknologi digital dan AI generatif, kelebihan daya hafalan semakin berkurangan nilainya.

Negara kini memerlukan generasi yang mempunyai kebijaksanaan menilai maklumat, keupayaan membuat keputusan dan kekuatan nilai kemanusiaan.

Seiring aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan insan seimbang dan holistik, pendekatan pendidikan perlu melangkaui bilik darjah dan peperiksaan.

Pengakap: Pendidikan Tidak Formal, Pelengkap Strategik Sistem Pendidikan

Diasaskan di United Kingdom pada 1907 dan berkembang ke Tanah Melayu sejak 1908, Gerakan Pengakap Malaysia membina generasi belia beretika, berdaya saing dan berkemahiran hidup, memainkan peranan penting dalam transformasi pendidikan negara melalui pendidikan nilai, etika dan mempunyai kemahiran kehidupan.

Sistem pendidikan formal kekal sebagai tunjang pembangunan ilmu dan asas akademik.

Namun, cabaran masa hadapan menuntut pendekatan pembelajaran lebih menyeluruh, berasaskan pengalaman dan nilai.

Pendidikan tidak formal, khususnya melalui Gerakan Pengakap, mempunyai kapasiti untuk berperanan sebagai pelengkap strategik kepada sistem pendidikan yang diterajui oleh KPM dan KPT.

Pendekatan learning by doing membolehkan belia belajar melalui pengalaman sebenar.

Aktiviti seperti perkhemahan, kem kelangsungan hidup, pengurusan projek komuniti, latihan kepimpinan, kerja berpasukan, penyelesaian masalah dunia nyata serta aktiviti berasaskan SDGs dan alam sekitar memberi ruang kepada belia belajar dalam situasi sebenar.

Pendekatan ini selari dengan penekanan KPM dan KPT terhadap pembelajaran bermakna, pembelajaran berasaskan projek serta pembangunan kemahiran insaniah dan pemikiran aras tinggi.

Lebih penting, pengalaman ini membantu belia membina keyakinan diri, daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri, yang menjadi asas kukuh untuk menghadapi dunia masa depan yang kompleks dan sentiasa berubah.

Sistem Pembelajaran Berstruktur Merentasi Usia, Tahap Perkembangan

Gerakan Pengakap di Malaysia dijalankan melalui sistem pendidikan belia yang tersusun, berperingkat dan progresif, menyokong pembangunan insan dari kanak-kanak hingga dewasa muda.

Laluan pendidikan bermula dengan Pengakap Lebah (5–8 tahun), diikuti Pengakap Kanak-kanak (9–12 tahun), Pengakap Muda (13–15 tahun), Pengakap Remaja (16–17 tahun) dan Pengakap Kelana (18–25 tahun).

Setiap peringkat disesuaikan dengan tahap perkembangan fizikal, emosi, sosial dan kognitif.

Kurikulumnya berasaskan pembelajaran berpengalaman melalui sistem lencana, latihan kemahiran, khidmat masyarakat, aktiviti luar dan pembangunan kepimpinan progresif.

Struktur ini memastikan pembelajaran berlaku secara berperingkat, konsisten dan bermakna, sambil melengkapkan sistem pendidikan formal negara, terutamanya dalam pembentukan sahsiah, kewarganegaraan dan kepimpinan.

Kemuncak pencapaian Pengakap Remaja ialah Anugerah Pengakap Raja, dicapai antara usia 16½ hingga 21 tahun.

Anugerah ini dianugerahkan kepada ahli yang memenuhi keperluan lencana, khidmat masyarakat, kepimpinan serta lulus penilaian melalui kem dan ujian yang ditetapkan.

Sijilnya diperkenankan atas nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan ditandatangani oleh Baginda serta sembilan Raja Melayu, menjadikannya simbol kecemerlangan sahsiah, disiplin diri, integriti dan khidmat kepada negara.

Bagi Pengakap Kelana, pencapaian tertinggi ialah Anugerah Baden-Powell, yang mengiktiraf kematangan kepimpinan, keupayaan berdikari, pelaksanaan khidmat berimpak serta komitmen jangka panjang terhadap nilai dan prinsip kepengakapan.

Laluan ini mencerminkan pembelajaran sepanjang hayat yang relevan dalam membina insan beretika dan berdaya tahan dalam era AI.

Membina Pemikiran Kritis dalam Dunia Dipacu AI

Dalam dunia di mana AI mampu menjana jawapan dengan pantas, nilai sebenar pendidikan terletak pada keupayaan manusia untuk berfikir secara kritis, menilai kesahihan maklumat dan membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Transformasi pendidikan menuntut peralihan daripada budaya hafalan kepada pembelajaran yang membina kebijaksanaan.

Dalam Gerakan Pengakap, pembelajaran tidak berhenti pada teori sahaja.

Belia bukan sahaja mempelajari konsep, tetapi juga mengamalkan dan menguji kemahiran melalui pengalaman praktikal.

Mereka diberi peluang memimpin, merancang, melaksanakan dan menilai aktiviti, membentuk kemahiran membuat keputusan, pengurusan risiko dan refleksi kendiri.

Keupayaan ini tidak boleh digantikan oleh AI.

Pendekatan ini selari dengan aspirasi KPM dan KPT untuk melahirkan pelajar dan graduan yang berupaya berfikir aras tinggi, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran teknologi yang sentiasa berubah.

Pendidikan Berasaskan Nilai sebagai Teras Kemanusiaan

Kemajuan teknologi dan AI membuka peluang pembangunan negara, namun turut membawa cabaran etika dan kemanusiaan.

Isu seperti kebergantungan melampau kepada teknologi, penyebaran maklumat palsu dan kemerosotan empati memerlukan perhatian serius.

Sejak penubuhannya, Gerakan Pengakap merupakan gerakan pendidikan berasaskan nilai.

Melalui Persetiaan dan Undang-undang Pengakap, belia dididik mengamalkan integriti, disiplin diri, empati, tanggungjawab sosial dan khidmat masyarakat.

Nilai ini tidak boleh diprogramkan atau digantikan oleh AI, sebaliknya dipupuk melalui interaksi manusia, pengalaman sosial dan teladan kepimpinan.

Pendedahan Serantau dan Global melalui World Scouting

Sebagai ahli WOSM, PPM menyediakan peluang pendedahan kepada belia melalui penglibatan aktif di peringkat Asia Pasifik dan global.

Belia menyertai program global seperti World Scout Jamboree, World Scout Moot dan World Scout Youth Forum, serta platform serantau seperti Asia-Pacific Regional Scout Jamboree, Youth Forum dan Regional Conference.

Mereka berinteraksi dengan rakan sebaya daripada pelbagai budaya, latar belakang sosial dan kepercayaan, memperkukuh kefahaman lintas budaya, toleransi dan jaringan kepimpinan global.

Selain acara berskala besar, belia turut terlibat dalam latihan kepimpinan, bengkel pembangunan kapasiti dan forum kepimpinan, dengan penekanan kepada kemahiran strategik, komunikasi berkesan, pengurusan projek, kerja berpasukan, tadbir urus belia serta keupayaan membuat keputusan dalam konteks global dan pelbagai budaya.

Belia juga diberi peluang memimpin projek, mengambil keputusan strategik dan menyumbang kepada inisiatif serantau dan global, membina kompetensi kepimpinan dan keyakinan diri sebagai warganegara global yang bertindak secara beretika dan berimpak.

Pendedahan ini diperkaya melalui penglibatan dalam inisiatif seperti Messengers of Peace, Dialogue for Peace dan Dialog Antara Agama.

Aktiviti Pengakap diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs) melalui Better World Framework, yang membahagikan pendidikan kepada empat bidang tematik utama iaitu Environment and Sustainability (Alam Sekitar dan Kelestarian), Peace and Community Engagement (Keamanan dan Penglibatan Komuniti), Skills for Life (Kemahiran Hidup) serta Health and Well-Being (Kesihatan dan Kesejahteraan).

Inisiatif seperti Earth Tribe berada dalam bidang Alam Sekitar dan Kelestarian, manakala Messengers of Peace termasuk dalam bidang Keamanan dan Penglibatan Komuniti.

Pendekatan ini membolehkan Pengakap menggabungkan pengalaman pembelajaran dengan tindakan berasaskan pengalaman, membentuk belia berpengetahuan, bertanggungjawab dan berupaya memimpin dalam skala serantau dan global.

Pemerkasaan Kepimpinan Belia melalui SWA

Belia digalakkan menyertai Scout of the World Award (SWA), pengiktirafan global yang menekankan pembangunan kepimpinan melalui khidmat bermakna dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

SWA terbuka kepada belia berusia 15 hingga 26 tahun, sama ada ahli atau bukan ahli Pengakap, dengan semua keperluan mesti disempurnakan sebelum umur 26 tahun.

Program SWA merangkumi, Discovery Phase - membina kefahaman isu global termasuk keamanan, keadilan sosial, kelestarian alam sekitar, hak asasi manusia dan SDGs - Service Phase - peserta merancang, melaksanakan dan menilai projek khidmat komuniti secara individu atau berkumpulan, dengan setiap peserta menyumbang secara aktif dan bertanggungjawab

SWA memperkasakan belia mengambil peranan kepimpinan aktif, memimpin program, menyertai struktur pengurusan dan bertindak sebagai penasihat belia di peringkat serantau dan global.

Melalui SWA, belia Malaysia membangunkan keupayaan sebagai global citizens, menghubungkan isu tempatan dengan cabaran global dan menterjemahkan nilai Pengakap dalam tindakan berasaskan pengalaman.

Gabungan pendedahan serantau, Better World Framework dan SWA memastikan pembangunan belia holistik, berimpak tinggi, berdaya saing, beretika dan berwawasan global, sejajar aspirasi negara melahirkan generasi muda bersedia memimpin dan memberi sumbangan positif dalam dunia yang kompleks dan saling bergantung.

Diplomasi Belia sebagai Modal Insan Masa Hadapan

Dalam dunia yang menghadapi konflik, perpecahan dan ketidaksamaan, diplomasi belia menjadi elemen penting dalam pembangunan modal insan.

Melalui rangkaian global WOSM, Pengakap Malaysia membentuk belia sebagai duta nilai keamanan, dialog dan toleransi.

Penglibatan dalam program global dan platform dialog membolehkan belia mengasah kepekaan budaya, kemahiran komunikasi antara bangsa serta keupayaan menyelesaikan perbezaan secara aman.

Mereka diberi peluang memegang posisi kepimpinan aktif, merancang, melaksanakan dan menilai inisiatif, membina keyakinan diri serta kompetensi kepimpinan, seterusnya berperanan sebagai global citizens dan agen perubahan di peringkat serantau dan global.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zin bin Bidin, menekankan bahawa pendidikan dalam era AI harus membentuk insan global yang beretika, berdaya tahan dan berwawasan, selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan warganegara berfikiran global, bertanggungjawab serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau dan global.

Safeguarding sebagai Asas Kepercayaan dan Kesejahteraan

Dalam memperluas peranan belia, keselamatan dan kesejahteraan tetap menjadi keutamaan. WOSM mengamalkan dasar Safe from Harm, sebuah kerangka global yang melindungi belia dan sukarelawan daripada penderaan, eksploitasi, keganasan serta salah laku.

Sebagai gerakan belia terbesar di dunia dengan lebih 60 juta ahli di 224 negara dan wilayah, usaha safeguarding WOSM antara yang paling menyeluruh.

Persekutuan Pengakap Malaysia mengamalkan prinsip dan piawaian ini bagi memastikan setiap pengalaman pembelajaran berlaku dalam persekitaran selamat, beretika dan berasaskan kepercayaan, sekali gus memperkukuh keyakinan ibu bapa, masyarakat dan negara.

Dalam era AI, Gerakan Pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum, tetapi boleh dilihat sebagai rakan strategik kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam pembangunan modal insan negara.

Kerjasama yang tersusun antara sekolah, institusi pendidikan dan PPM dapat memperkukuh ekosistem pembelajaran negara dengan menggabungkan pendidikan formal, teknologi serta pendidikan tidak formal berasaskan nilai.

Melalui pendidikan tidak formal, nilai teras, pengalaman global dan rangka kerja WOSM, Pengakap menyumbang kepada pembentukan generasi celik teknologi, beretika, bertanggungjawab dan berwawasan, bersedia memimpin Malaysia ke hadapan sambil mengekalkan nilai kemanusiaan.

-- BERNAMA

Ts. Dr. Manivannan Rethinam ialah Pesuruhjaya Kebangsaan, Program - Inisiatif Global dan Kerjasama Strategik, PPM, serta Ahli Panel Global - Safe from Harm bagi WOSM di peringkat global.

Beliau juga adalah Pengerusi Majlis Gagasan Malaysia merupakan Teknologis Profesional (Ts.) dan technocrat, pemegang Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dengan pengkhususan dalam pemasaran dan pengurusan teknologi.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)