TINTA MINDA

PEMBANGUNAN MAMPAN PERLU SANTUNI NILAI ORANG ASAL

07/12/2020 09:49 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Oswald Timothy Edward

Pembangunan mampan seharusnya mengambil kira penglibatan dan kerjasama Orang Asal atau masyarakat peribumi dalam isu yang membabitkan persekitaran seperti hutan dan sungai.

"Sungai merupakan salah satu urat alam, jika anda meracuninya, anda akan diracuni". Bunyinya terlalu karut dan menakutkan, tetapi inilah salah satu contoh nilai yang kita boleh pelajari daripada budaya masyarakat peribumi.

Menurut kepercayaan peribumi lagi, sungai adalah unsur hidup serta rantai an penting dalam kehidupan dan bukanlah semata-mata satu sistem pengairan yang berpotensi untuk dieksploitasi. Justeru, hentikan perbuatan yang suka mencemarinya.

Nyawa manusia terdedah kepada rikiso bahaya yang berkaitan dengan alam sekitar akibat sungai tercemar, udara beracun, potensi penyebaran wabak kanser akibat aktiviti perlombongan – dan banyak lagi musibah lain. Jika kita ikhlas menghormati sungai, mungkin tidak akan berlaku kejadian yang membawa bencana seperti kes pencemaran sungai Kim-Kim tahun 2019.

Nilai peribumi dan pengurusan sumber negara

Nilai-nilai peribumi perlu dipertahankan dan diambil kira dalam pengurusan sumber di peringkat kebangsaan. Walaupun tidak mempunyai budaya peribumi yang tunggal, namun terdapat nilai-nilai murni dalam tradisi masyarakat peribumi Malaysia yang patut diingati dan disepadukan dalam pengurusan sumber negara.

Kita percaya bahawa nilai-nilai peribumi boleh membantu kita menyelesaikan masalah sosial dan ekologi asasi terkini. Namun, ianya memerlukan kesedian kita untuk mempertimbangkan nilai peribumi ini dalam agenda pembangunan mampan negara.

Sebagai contoh, nilai peribumi bagi masyarakat Kadazandusun di Sabah, meletakkan penghormatan tertinggi terhadap alam sekitar dan kewujudan biologinya.

Secara analisisnya, inait atau mentera nyanyian yang diulang-ulang oleh Bobohizan (penjaga alam) dalam upacara tertantu, mengandungi tiga nilai peribumi yang cukup signifikan dalam misi pembangunan lestari kita.

Pertama, inait (mentera) tersebut mengingatkan manusia bahawa kita patut membuat keputusan mengenai gaya hidup kita pada hari ini berdasarkan impak bahawa tingkah laku kita akan memberi kesan kepada tujuh generasi kita pada masa hadapan.

Ini bermakna, kita haruslah menjadi penjaga bumi ini, bukan sahaja untuk kepentingan kita, tetapi juga bagi mereka yang akan mewarisi bumi ini. Kita percaya bahawa prinsip ini merupakan sebuah prinsip yang kukuh yang memberi panduan dalam menjalankan polisi dan amalan kita dalam penjagaan alam sekitar.

Seterusnya, inait ini juga menyifatkan alam sebagai benda hidup. Bahawa setiap benda hidup, bernafas dan hidup seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan termasuk batu, tanah dan air (sungai) – semuanya berdoa untuk kita (manusia) juga.

Lama sebelum istilah kontemporari seperti “ekonomi hijau” dan “kemampanan” merupakan istilah yang digunakan dengan biasa, masyarakat peribumi lebih awal percaya dalam kehidupan seimbang dengan seluruh alam.

Dengan itu, kita harus memahami hubungan kita dengan seluruh kehidupan dan cuba dengan sedaya upaya kita untuk hidup seimbang dengannya. Sebelum melibatkan diri dalam aktiviti yang berpotensi membawa bahaya, kita haruslah pertimbangkan implikasi jangka panjang kepada bumi, air, udara, flora dan fauna, dan bertindak sewajarnya.

Aspek ketiga yang terkandung dalam inait tersebut melihatkan nilai hormat-menghormati, rendah diri dan toleransi sebagai nilai-nilai yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian. Walaupun nilai hormat, rendah diri dan toleransi bukanlah nilai yang ekslusif kepada masyarakat peribumi sahaja, namun dalam konteks pembangunan lestari, nilai-nilai ini amat berguna.

Dalam undang-undang asas atau prinsip kebanyakan masyarakat peribumi, aspek hormat amatlah perlu untuk melengkapkan hubungan lengkap dan seimbang. Justeru, adat ‘sogit’ (penebusan) adalah teras kepada nilai hormat-menghormati ini. Adat yang termaktub dalam Undang-undang Anak Negeri ini, bukan sahaja terpakai untuk hubungan sesama manusia tetapi juga dengan alam.

Dalam hubungan kita dengan alam sekitar, dalam masyarakat, ataupun dalam kehidupan peribadi kita, tanpa maruah diri dan rasa hormat terhadap orang lain, kita akan membawa diri kita kepada perasaan ketidakseimbangan, ketidakpercayaan dan kebencian.

Dengan nilai hormat, kita menghargai semua benda hidup dan peranan kita yang tidak boleh diketepikan dalam lingkungan kehidupan. Dengan nilai rendah diri dan toleransi, kita menghargai bahawa kita semua adalah dalam sebuah pencarian yang berterusan dalam mencari kefahaman, kebijaksanaan dan kepuasan yang lebih besar dengan diri kita dan dengan kehidupan sekeliling.

Nilai Peribumi Berteraskan Alam Sekitar

Sememangnya, cara masyarakat mendekati pengurusan sumber alam merupakan refleksi nilai, etika dan cara mereka mendefinisi serta mengukur kualiti kehidupan mereka. Jika nilai masyarakat ini telah disemai dengan nilai-nilai egoistik, etika antroposentris dan kefahaman kualiti kehidupan yang berasaskan keinginan materialistik – perspektif sebegini telah menyebabkan sumber alam untuk dieksploitasi dengan tidak bertanggungjawab.

Budaya peribumi mungkin mewakili sumber alternatif nilai alam sekitar kepada orang-orang materialistik yang dominan. Para penyelidik telah menyatakan bahawa dari segi sejarah, budaya peribumi didorong oleh nilai-nilai yang berteraskan alam sekitar serta holistik, dan pandangan yang tidak bersifat materialistik terhadap dunia.

Untuk menangani konseptualisasi nilai-nilai alam sekitar sebagai atribut biofisikal alam sekitar, telah dicadangkan bahawa nilai-nilai yang berkaitan dengan alam sekitar, haruslah dipertimbangkan sebagai nilai-nilai manusia, dan seterusnya nilai perseorangan dan dikongsi dalam masyarakat atau kepercayaan masyarakat terhadap signifikan, kepentingan dan kesejahteraan alam sekitar dan bagaimana alam semula jadi harus dipandang dan dianggap oleh manusia.

Nilai telah dikaitkan dengan ‘environmentalisme’. Teori nilai-kepercayaan-norma berkaitan dengan alam sekitar dan perlakuan mencadangkan bahawa nilai mempengaruhi pandangan dunia kita terhadap alam sekitar (kepercayaan umum). Ini seterusnya mempengaruhi kepercayaan mengenai akibat perubahan alam sekitar atas perkara-perkara yang dihargai, yang seterusnya mempengaruhi persepsi kita terhadap keupayaan kita untuk mengurangkan acaman terhadap perkara-perkara yang kita hargai. Dengan demikian, ianya mempengaruhi norma kita dalam mengambil tindakan.

Prinsip alam sekitar peribumi

Dapatan daripada analisa kami terhadap nilai-nilai orang peribumi, telah menemukan lima prinsip yang mendorong cara kita harus berfikir mengenai alam sekitar dan bertindak ke atasnya dan sumbernya. Prinsip tersebut adalah:

  1. Alam sekitar penting disebabkan oleh kaitannya dengan manusia, kini dan masa lampau serta hadapan;
  2. Adalah penting untuk mengikuti ajaran yang telah dikurniakan oleh nenek moyang sebagai cara menghormati tradisi dan mengambil tindakan yang mencukupi untuk memelihara alam sekitar;
  3. Kita adalah alam dan alam adalah kita: kita bersatu dan kenal dengannya;
  4. Kesihatan dan kesejahteraan berkait rapat dengan alam sekitar dan kebergantungan kepadanya;
  5. Alam sekitar menyediakan rezeki, dari segi sara hidup dan aktiviti-aktiviti berasaskan upah, namun kita perlu menggunakannya dengan sewajarnya dalam cara mampan.

Pengajaran ini membolehkan kita untuk lebih mengintegrasi nilai-nilai peribumi dalam kehidupan kita dan ke dalam agenda pembangunan mampan. Ianya lahir dari alam di sekitar kita dan dari pengalaman dan wawasan masyarakat orang peribumi kita.

Cara kita melihat dunia membentuk cara kita memperlakukannya. Jika gunung merupakan dewa, bukan tumpukan batu; jika sungai merupakan salah satu nadi bumi, bukan air pengairan yang berpotensi; jika hutan merupakan gugusan pokok yang suci, bukan balak; jika spesis lain adalah sanak saudara biologi, bukan sumber; ataupun jika bumi ini ibu kita, bukan peluang ekploitasi semata-mata – maka kita akan melayani satu sama lain dengan hormatnya.

-- BERNAMA

Oswald Timothy Edward merupakan pensyarah kanan (Pengurusan Risiko), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA, Johor

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)