TINTA MINDA

ISLAMIC RELIEF TERUS MENABUR BAKTI PADA 2020

04/01/2021 10:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Zairulshahfuddin Zainal Abidin

Tahun 2020 mencatatkan sejarahnya yang tersendiri di mata dunia. Ia menjadi tahun yang penuh duka dan derita bagi seluruh penghuni dunia. Bermula dengan kebakaran hutan di Australia, kita kemudian digemparkan dengan penularan koronavirus (COVID-19) yang merebak dengan begitu cepat menjangkiti satu negara ke negara yang lain. Tidak cukup dengan itu, bencana alam dan bencana buatan manusia di beberapa tempat di dunia turut menjadikan 2020 sebagai tahun yang sukar dilupakan.

Ternyata, pandemik COVID-19 memberi kesan yang amat besar dan berterusan kepada sistem ekonomi dan sosial kehidupan manusia terutama pada awal penularannya. Penduduk dunia terpaksa berkurung, kota-kota dan bandar-bandar dikuarantin, sektor kesihatan berdepan cabaran dan tekanan yang amat tinggi, tempat-tempat ibadah ditutup, syarikat-syarikat ada yang gulung tikar, ramai yang kehilangan pekerjaan, malah ada antara ahli keluarga dan rakan-rakan terpaksa diasingkan demi mengekang penularan penyakit.

Selain itu, bencana banjir besar di Afrika dan Asia, kebakaran hutan di Australia, angin taufan di Samudera Hindi dan Pasifik, serta gempa bumi di Turki dan Asia Tengah, tumpahan minyak di Mauritius, dan letupan di Beirut semakin memburukkan penderitaan rakyat.

Komitmen Islamic Relief dalam misi kemanusiaan

Dalam keadaan yang mencabar ini, mereka yang terjejas dengan impak peperangan, bencana alam, perubahan iklim, dan kemiskinan lebih merasai kesannya pada tahun 2020 berbanding tahun-tahun yang lalu. Golongan rentan terutamanya pelarian, keluarga berpendapatan rendah, anak yatim dan ibu tunggal terus menghadapi kesukaran untuk meneruskan hidup.

Melihat kepada situasi tersebut, Islamic Relief terus komited dalam membantu golongan yang terjejas dan memerlukan. Sepanjang tahun 2020, Islamic Relief secara global telah membantu lebih daripada 11 juta orang di 43 negara melalui pelaksanaan lebih daripada 500 projek kemanusiaan.

Daripada jumlah tersebut, lebih 72,000 anak yatim telah ditaja, hampir satu juta orang menerima sumbangan pek makanan Ramadan, manakala lebih daripada 3.3 juta orang menerima bantuan daging korban.

Islamic Relief juga memberi bantuan menerusi sektor air, sanitasi dan kebersihan kepada lebih daripada setengah juta orang dan menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan kepada hampir sejuta orang di seluruh dunia.

Pencapaian Islamic Relief Malaysia

Bagi Islamic Relief Malaysia (IRM) pula, biarpun berdepan cabaran dalam mengumpulkan dana, ia tidak mematahkan semangat pejabat cawangan itu untuk terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia dan juga penduduk di beberapa buah negara yang lain.

Untuk tahun 2020 sahaja, IRM telah membantu sebanyak 50,349 penerima manfaat di seluruh Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 6,450 orang penerima manfaat telah menerima bantuan akibat COVID-19. Sebanyak 694 pelajar di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak pula telah menerima bantuan Pendidikan menerusi projek Rohingya Intellectual Skills & Excellence (RISE), Holistic Education for Youth (HEY) dan Cheer To School (CTS). Sebanyak 10 keluarga dari Pangsapuri Rebana, Klang dan 30 keluarga di Sarawak telah menerima bantuan kehidupan mampan manakala 19 keluarga menerima bantuan kecemasan akibat banjir.

Pada Ramadan 2020, IRM telah memberi bantuan kepada 28,610 orang manakala pada hari raya Aidiladha , lebih daripada 815 orang telah menerima sumbangan daging korban.

IRM juga tidak melupakan bantuan kepada penerima manfaat daripada kaum Cina dengan 140 orang telah menerima sumbangan menerusi program Share The Joy.

Misi global IRM

Di peringkat antarabangsa pula, daripada dana sumbangan orang ramai melalui IRM, pejabat IRM berjaya membantu lebih daripada 24,180 orang pada bulan Ramadan di 30 buah negara manakala lebih daripada 69,230 orang di 30 negara menerima sumbangan daging korban. Sebanyak 6,613 orang telah menerima bantuan kecemasan di Idlib, Syria dan Mirpur, Pakistan.

Bagi sektor air, sanitasi dan kebersihan pula, IRM telah membantu 14,258 orang penduduk di Palu dan Sigi, Indonesia serta penduduk di Chikwawa, Malawi. Selain itu, 570 orang di Bosnia & Herzegovina, Rangpur, Bangladesh dan Marawi, Filipina telah dibantu menerusi sektor kehidupan mampan.

Sebanyak 309 anak yatim di 24 buah negara telah menerima tajaan daripada penyumbang Malaysia. Secara keseluruhannya, menerusi pejabat IRM, sebanyak 115,160 orang penerima manfaat di luar negara telah dibantu.

Selama 36 tahun beroperasi, walaupun menghadapi cabaran dan kesulitan, biarpun jarak bantuan jauh beribu batu, walau apapun bentuk kecemasan yang berlaku, Islamic Relief terus menabur khidmat dan tetap bersedia menghulurkan bantuan demi memastikan bantuan kemanusiaan tiba kepada mereka yang memerlukan. Terima kasih kepada para penyumbang, anda telah mengubah hidup mereka dan anda telah membantu menyelamatkan nyawa mereka.

-- BERNAMA

Zairulshahfuddin Zainal Abidin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)