TINTA MINDA

SISTEM PENGANGKUTAN AWAM TERKESAN AKIBAT COVID-19

28/06/2021 10:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Munzilah Md Rohani

Sejak penularan pandemik COVID-19 pada tahun lepas, bandar-bandar di seluruh dunia menguatkuasakan sekatan perjalanan rakyatnya bagi memutuskan rantaian virus itu. Malaysia juga tidak ketinggalan mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi membendung risiko jangkitan. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pengendali dan keseluruhan operasi sistem pengangkutan negara.

Selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemerosotan permintaan terhadap pengangkutan awam juga disebabkan oleh kebimbangan rakyat mengenai risiko jangkitan. Penetapan norma baharu seperti penjarakan sosial juga telah mengehadkan jumlah penumpang bagi setiap perjalanan.

Bagaimanapun, selepas PKP dilonggarkan, jumlah pengguna pengangkutan awam mula menunjukkan peningkatan, namun pada kadar yang masih rendah. Hanya sebahagian masyarakat kembali kepada norma lama iaitu bekerja di pejabat atau tempat kerja sedia ada dan belajar secara fizikal.

Perubahan ketara juga dapat dilihat daripada peralihan pemilihan pengangkutan awam sebagai mod utama pergerakan kepada kenderaan persendirian di seluruh dunia. Selain itu, penangguhan sesi persekolahan juga memberikan kesan besar kepada pengusaha bas sekolah.

Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) menjangkakan, sebahagian besar pengusaha bas di seluruh negara mungkin akan gulung tikar, sekiranya penularan COVID-19 berterusan dan PKP dilaksanakan dalam tempoh lebih lama.

Dalam tempoh lebih setahun ini, pandemik COVID-19 menjadi krisis ekonomi terbesar bagi perkhidmatan pengangkutan awam negara. Penurunan permintaan yang ketara diparahkan lagi dengan peningkatan kos standard pembersihan baharu.

Berikutan itu, beberapa syarikat terpaksa berjuang bagi mengelakkan kerugian kewangan lebih besar. Sebahagiannya pula terpaksa menjual aset atau memberhentikan pekerja serta perkhidmatan mereka.

Kesan Peralihan Mod Pengangkutan

Realitinya, usaha memulihkan keyakinan orang ramai menggunakan semula pengangkutan awam ketika pelaksanaan langkah keselamatan yang ketat, bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan dalam tempoh singkat.

Sebelum penularan COVID-19, majoriti masyarakat lebih gemar menggunakan kenderaan persendirian yang menjanjikan keselesaan, cepat dan privasi. Situasi ini lebih ketara sejak COVID-19 melanda negara. Ia perlu diberi perhatian terutamanya dalam kawasan bandar agar tidak terbeban dengan pertambahan aliran trafik. Ini secara tidak langsung memberi kesan peningkatan pelepasan gas rumah hijau, pencemaran udara dan bunyi serta mengurangkan produktiviti ekonomi, selain menyebabkan bandar menjadi tepu.

Gangguan terhadap rangkaian perkhidmatan awam pastinya mengganggu usaha kerajaan yang ingin menggalakkan rakyat melakukan perjalanan aktif yang mampan tanpa kenderaan bermotor seperti berjalan kaki.

Selain itu, jurang ketidakadilan dalam menawarkan akses yang lebih luas kepada rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah atau golongan kurang berkemampuan untuk memandu kenderaan akan menjadi lebih besar. Ini akan membataskan peluang mereka untuk mendapat akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan sebagainya.

Pulihkan Keyakinan Pengguna Terhadap Pengangkutan Awam

Keadaan hari ini mendesak masyarakat belajar untuk 'hidup' dengan COVID-19 dan amalan norma baharu. Selepas PKP dilonggarkan, sesetengah sektor menjalankan aktiviti seperti biasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), manakala sebahagian lain memilih terus kekal bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, terdapat sektor yang membuat penggiliran waktu kerja bagi mengimbangi tempoh bekerja di rumah dan hadir ke tempat kerja. Ini memerlukan perancangan logistik strategik bagi memudahkan dan menggalakkan pekerja menyesuaikan diri dengan norma baharu. Paling penting ialah memastikan pekerja sampai ke tempat kerja seperti dijadualkan dengan selamat.

Seiring pembukaan semula sebahagian sektor, jumlah permintaan perjalanan juga meningkat. Pelbagai inisiatif boleh dilakukan bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada kenderaan persendirian, serta membantu industri pengangkutan awam yang kian tersepit.

Selain skim bantuan daripada kerajaan kepada pengusaha pengangkutan awam, pihak yang terlibat turut berperanan dalam usaha mengembalikan keyakinan masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan. Setiap pengusaha perlu membuktikan mereka mampu mengendalikan SOP yang disesuaikan dengan amalan norma baharu. Ini termasuklah meningkatkan kekerapan sanitasi, penyediaan cecair pembasmi kuman, memastikan pekerja dan penumpang memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal.

Perancangan jadual baharu dan kekerapan perjalanan juga sangat praktikal untuk dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kerugian serta memaksimumkan jumlah penumpang. Setiap maklumat terkini boleh disampaikan kepada pengguna untuk mendorong mereka menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Selain itu, penyediaan maklumat waktu puncak membolehkan pengguna membuat perancangan awal, sekali gus mengelakkan kesesakan dalam kenderaan awam dan stesen. Promosi berkaitan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam juga perlu dilakukan dengan giat agar dapat menarik lebih ramai pengguna, seiring dengan maklumat berkaitan keselamatan yang ditawarkan. Sebagai rakyat Malaysia, wajarlah kita menyokong industri pengangkutan awam negara.

— BERNAMA

Prof Madya Dr Munzilah Md Rohani merupakan penyelidik dan ahli Smart Driving Research Center, UTHM Transportation Science Society Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)