TINTA MINDA

PERKASAKAN BELIA SEBAGAI AGEN WKB 2030

16/07/2021 09:32 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Kamaruzaman Mohamad

Statistik menunjukkan sehingga akhir tahun 2020 kadar pengangguran di Malaysia adalah sebanyak 4.8 peratus. Kadar ini dijangka meningkat pada suku kedua 2021 ini disebabkan kesan pandemik COVID-19 di seluruh negara. Keadaan ini akan menyebabkan belia di seluruh negara khususnya belia Bumiputera semakin terkesan daripada segi ekonomi dan sosial. Ini ditambah pula dengan hampir 170,000 graduan yang keluar dari universiti awam dan swasta dan institut latihan kemahiran awam belum mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Status pendidikan belia

Setiap tahun hampir 40,000 murid yang melalui pendidikan wajib 11 tahun di sekolah tamat tingkatan 5 tanpa mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini menyebabkan mereka tiada sijil kelulusan langsung untuk memohon pekerjaan. Ya betul, mereka memang boleh bekerja walaupun tanpa sijil tetapi ruang lingkup terhad berbanding mereka yang mempunyai sijil.

Selain itu, terdapat golongan belia khususnya Bumiputera Islam melanjutkan pengajian di sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama lain yang menawarkan pensijilan yang pelbagai. Jika mereka memilih melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau hibrid antara TVET-Tahfiz atau Tahfiz-TVET maka wujud ruang untuk mendapat pekerjaan disebabkan kemahiran mereka namun bagaimana pula lepasan sekolah ini yang tidak menyambung pengajian dan tiada apa-apa sijil? Maka di sini wujudnya lompang dan bercambah lah pelbagai isu berkaitan dengan belia di Malaysia.

Sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan belia Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan negara khususnya belia tanpa pekerjaan, pendidikan dan latihan (NEET). Ia akan menjadi kerugian besar kepada modal insan belia di Malaysia.

Antara strategi yang boleh dilakukan adalah:

1. Pembangunan watak belia dan kompetensi futureproof (Kalis masa depan)

Laporan Jobstreet terkini masih menunjukkan antara kekurangan graduan semasa sesi temu duga ialah kemahiran komunikasi dan sikap yang negatif. Ini ditambah pula dengan pelbagai laporan daripada industri yang menyatakan bahawa remaja dan belia Malaysia kurang ketahanan diri untuk bekerja dalam suasana mencabar. Justeru, sesuatu perlu dilakukan di peringkat pendidikan sekolah sehingga ke universiti bagi mewujudkan belia yang mempunyai daya tahan diri dan disiplin yang tinggi. Sebagai contoh Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan elemen pembangunan diri secara holistik dan pengembangan potensi diri setiap murid di Malaysia. Subjek-subjek di sekolah boleh digunakan sebagai elemen merentas kurikulum untuk membangunkan karakter dan jati diri belia Malaysia khususnya melalui mata pelajaran Pendidikan Islam, dan moral sebagai contoh. Ikon belia khususnya belia Bumiputera wajar ditonjolkan.

Penekanan proses pembelajaran yang berpusatkan pelajar berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, dan kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika melalui aktiviti pembelajaran abad ke-21 (Dokumen Pembelajaran Abad Ke 21 KPM) di sekolah juga bersifat pendekatan strategik dalam menyediakan modal insan dalam kalangan belia dengan kompetensi yang bersifat futureproof . Menurut Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, pembelajaran abad ke-21 bukan setakat merujuk kepada penggunaan gajet, perkakasan dan perisian terkini teknologi ICT dalam bilik darjah. Sebenarnya pembelajaran abad ke-21 bermaksud guru menggunakan kaedah PdP (pembelajaran dan pengajaran) berpusatkan murid (student-centred) serta menekankan elemen membina Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam diri pelajar.

2. Bank data status pekerjaan belia

Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) menggariskan beberapa strategi ekonomi untuk membangunkan negara khususnya mengenai keperluan tenaga kerja mahir. Melalui bank data belia Malaysia kerajaan dapat menganggarkan bilangan belia yang tidak bekerja, tidak mempunyai kelayakan akademik yang sesuai, tidak mempunyai langsung latihan kemahiran supaya dengan semua data yang dikumpulkan ini dapat membantu pelan tindakan yang bersesuaian. Sebagai contoh melalui maklumat pendidikan, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dapat menyediakan peluang melalui Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) supaya dapat memadankan belia dengan bidang kemahiran yang diperlukan negara dan bidang yang diminati oleh belia Malaysia. Dengan peningkatan tahap kemahiran maka bilangan tenaga kerja mahir di Malaysia akan bertambah. Pemadanan juga boleh dilakukan dengan agensi pekerjaan, majikan serta industri yang memerlukan pekerja supaya mereka mendapat maklumat pemohon pekerjaan daripada bank data belia.

3. Belia agen pembangunan luar bandar

Suatu ketika dahulu Malaysia telah mewujudkan Bandar Belia Malaysia dan beberapa lokasi telah dipilih antaranya adalah Tanjung Malim di Perak. Bandar belia ini boleh digerakkan semula dan diaktifkan dengan pelan strategik yang lebih baik. Sebagai contoh program My Kampung My Future antara program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) boleh memacu bandar belia dengan menyediakan bantuan kepada belia di luar bandar. Belia dilatih untuk membangunkan kampung mereka melalui pelbagai projek keusahawanan pertanian seterusnya meningkat status sosial ekonomi setempat yang dijana melalui pelbagai projek. Pelbagai projek keusahawanan lain boleh diwujudkan untuk menjadikan belia sebagai agen pembangunan kampung mereka.

4. Belia dan kewujudan peluang pekerjaan melalui TVET

Belia dan bidang pendidikan, latihan teknikal dan vokasional memang tidak dapat dipisahkan. Dalam konteks pendidikan hari ini, tidak semua belia mempunyai kecenderungan akademik. Dalam konteks Malaysia, kerangka kelayakan Malaysia memberi dua pilihan utama iaitu laluan akademik dan laluan TVET. Jika memilih laluan TVET tidak bermakna pelajar tersebut tidak pandai tetapi ia adalah pilihan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal untuk keperluan pembangunan negara. Ianya akan mampu untuk mengantikan pekerja asing tanpa kemahiran dan menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi keperluan industri dalam dan luar negara.

-- BERNAMA

Kamaruzaman Mohamad merupakan Pengerusi Pertubuhan Media Harakah Prihatin Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)