TINTA MINDA

KIBARAN BENDERA PUTIH DAN WARNA KEHIDUPAN

30/07/2021 08:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh:Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee

Akhir-akhir ini hangat di media sosial dan media elektronik tentang kempen menghulurkan bantuan terhadap kibaran bendera putih. Reaksi berbeza diperoleh atas inisiatif yang diberikan untuk individu yang mengibarkan bendera ini. Walaupun ada segelintir yang kurang senang dengan inisiatif tersebut, tidak dinafikan ia mendapat perhatian secara meluas dalam kalangan masyarakat dan NGO di negara ini. Kibaran bendera putih di kediaman masing-masing mula diperkenalkan sebagai salah satu cara untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan makanan asas terutamanya makanan, wang ringgit dan antaranya turut memerlukan perhatian serta sokongan emosi akibat terkesan dengan pandemik COVID-19.

Tujuan kempen ini adalah untuk memudahkan bantuan disalurkan kepada mana-mana pihak yang memerlukan dan ia dilihat sebagai salah satu mekanisme terbaik untuk memudahkan urusan bantuan disalurkan dengan cepat dan pantas. Saban hari peningkatan kibaran bendera ini semakin bertambah ibarat ‘cendawan yang tumbuh selepas hujan’ yang membuktikan lebih ramai telah terkesan dan memerlukan perhatian. Ia sejajar dengan tindakan pihak kerajaan melancarkan total lock down di beberapa kawasan yang menyebabkan sebahagian masyarakat terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk keluar mencari rezeki demi menyara kaum keluarga.

Kebanyakan yang terkesan adalah mereka yang bergantung sepenuhnya dengan pendapatan harian kerana hidup mereka ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Agak menyedihkan apabila kebanyakan yang terkesan adalah akibat hilang pekerjaan, perniagaan terpaksa ditutup dan ada di antaranya hilang tempat bergantung akibat kematian ahli keluarga disebabkan COVID-19. Di sebalik kibaran bendera putih membawa seribu satu warna yang sukar untuk dilakarkan untuk dikongsi nilai seninya.

Bendera putih lambang keberanian?

Rakyat yang terkesan dan menghadapi masalah serta memerlukan bantuan demi meneruskan hidup tidak perlu malu dan segan untuk meminta bantuan kerana tindakan ini sewajarnya dilakukan bagi menunjukkan mereka tidak mudah mengaku kalah dan bangun berdepan dengan realiti cabaran. Sekiranya tidak dimaklumkan tiada sapa akan sedar tentang kesukaran yang dihadapi tambahan lagi negara berdepan dengan tempoh kawalan pergerakan dan pematuhan SOP. Kibaran bendera di tingkap, pagar dan kawasan rumah akan menarik perhatian masyarakat setempat untuk memberi respons dan maklum balas terpantas kepada yang memerlukan. Pelbagai pihak menyambut baik inisiatif kibaran bendera putih yang dilancarkan. Krisis ekonomi dan kesihatan yang dihadapi akan ditangani dengan baik tanpa rasa takut dan malu. Setiap wakil keluarga perlu bangkit untuk memastikan ahli keluarga mampu berdepan dengan keadaan semasa bersama-sama. Kepada rakyat Malaysia, kibarkan bendera putih agar kami tahu keadaan anda dan kami akan memberikan bantuan seberapa segera setakat termampu. Ikhtiarkan selagi berdaya dengan apa cara sekali pun untuk terus berdepan dengan dugaan agar jalan mudah seperti tindakan yang merugikan diri sendiri dan keluarga tidak menjadi pilihan.

Tambahan lagi kesempitan kehidupan bakal membawa tindakan tidak waras seperti mencederakan diri dan ada yang mengambil keputusan mudah untuk lari daripada masalah dengan membunuh diri. Tindakan tergesa-gesa ini kan merugikan diri sendiri keluarga dan negara. Pada saat sukar ini, kita perlu bersifat terbuka untuk menerima dugaan dan bersedia berkongsi dengan masyarakat setempat. Rakyat Malaysia mempunyai semangat bantu membantu, mengambil berat dan nilai tanggungjawab yang tinggi antara satu sama lain. Oleh itu, bagi ruang untuk kita saling membantu. Kempen bendera putih adalah satu usaha dan ikhtiar terbaik untuk meneruskan kehidupan.

Kesediaan masyarakat untuk membantu

Dalam hal ini, masyarakat yang berkemampuan, individu dan jiran tetangga wajar memberi maklum balas dan bersedia menghulurkan bantuan dalam apa cara sekalipun. Jika tidak mampu jiran tetangga boleh menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan. Tindakan pantas akan menyelamatkan individu terbabit untuk meneruskan hari-hari yang sukar malahan mungkin dapat menyelamatkan nyawa.

Semakin hari semakin ramai individu berisiko tinggi untuk mengalami tekanan mental, kemurungan dan depresi akibat tekanan semasa yang dihadapi. Bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung individu dan keluarga yang terlibat. Setiap lakaran kehidupan kita mempunyai lakaran warna yang berbeza ibarat kita memancarkan cahaya putih ke prisma akan berpecah dan membentuk tujuh lakaran warna berbeza iaitu pelangi.

Jika kita dapat melihat warna warni dari kibaran bendera putih itu, kita akan dapat memahami keadaan orang lain. Setiap kehidupan kita mewakili warna yang berbeza, ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang suka dan ada yang sedih. Peranan masyarakat untuk membantu menunjukkan semangat keprihatinan yang tidak berbelah bagi memastikan bantuan yang diterima sama rata tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa. Selain daripada masyarakat, jiran tetangga dan penduduk setempat, wakil-wakil rakyat turut sama-sama turun padang untuk memberi bantuan segera kepada rakyat yang terkesan akibat penularan wabak ini selari dengan #rakyatjagarakyat dan #kitajagakita yang dilaungkan.

Setakat ini hanya enam negeri yang telah memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun, bagi negeri-negeri yang tidak terlibat masih lagi berusaha menuju ke arah yang sama. Ia hanya akan dapat dicapai apabila memenuhi tiga penanda aras yang digariskan iaitu keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. Dalam proses peralihan ini semakin ramai rakyat bakal menghadapi situasi-situasi yang sukar.

Justeru itu, hingga ke hari ini masih banyak sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi sekali gus mengakibatkan kehidupan rakyat terkesan dan akibatnya ramai keluarga mengambil keputusan untuk mengibarkan bendera putih meminta bantuan. Terdapat beberapa senarai bantuan yang telah diusahakan dan dibentuk untuk menyokong kempen bendera putih yang dilancarkan misalnya Foodbank.Digital, terbuka kepada keluarga di Semenanjung Malaysia dan boleh memohon bantuan sekali sebulan, #OpsHarapan 2.1 yang dikendalikan oleh kumpulan sukarelawan untuk membantu keluarga miskin di beberapa negeri dan banyak lagi. Diharapkan agar usaha-usaha murni yang dijalankan oleh pelbagai pihak berterusan dan mampu meringankan beban yang ditanggung.

-- BERNAMA

Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)