TINTA MINDA

BAP: Antara Perbelanjaan Dengan Pelaburan Strategik Negara

27/01/2026 11:12 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Setiap kali sesi persekolahan baharu bermula, kebimbangan yang sama akan menghantui golongan ibu bapa di negara kita, iaitu memikirkan soal perbelanjaan persekolahan.

Ironinya, pakaian seragam, kasut, beg sekolah, buku, alat tulis dan pelbagai keperluan lain memerlukan kos yang tinggi apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup tidak menentu dan harga barangan melambung tinggi.

Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) pastinya berhadapan dengan cabaran getir untuk menyediakan setiap keperluan anak pada awal sesi persekolahan.

Bantuan Awal Persekolahan

Dalam konteks ini, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) muncul sebagai satu inisiatif kerajaan yang amat signifikan dan dirasai secara langsung oleh rakyat.

Bagi tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM800 juta dalam Belanjawan Negara bagi menyalurkan RM150 secara one-off kepada kira-kira 5.2 juta murid daripada Tahun 1 hingga Tingkatan Enam.

Bantuan tunai ini disambut baik oleh ibu bapa kerana mula memberikan kelegaan jangka pendek sekali gus menceriakan anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan baharu.

Secara prinsipnya, melalui bantuan ini, ibu bapa dapat menyediakan kelengkapan asas anak-anak seperti pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis tanpa perlu terlalu bergantung kepada hutang atau menangguhkan pembelian.

Dari sudut sosial pula, ia membantu memastikan murid hadir ke sekolah dengan lebih yakin dan bermaruah, tanpa rasa rendah diri akibat kekurangan keperluan asas.

Namun, persoalan yang wajar diketengahkan ialah, adakah BAP sekadar bantuan kelegaan jangka pendek melalui peruntukan belanjawan tahunan, atau sebenarnya satu bentuk pelaburan strategik jangka panjang negara?

Jika dilihat secara lebih mendalam, BAP tidak seharusnya dinilai hanya sebagai perbelanjaan tahunan kerajaan, sebaliknya sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negara.

Justifikasi dan Pelaburan Jangka Panjang

Terdapat sekurang-kurangnya empat justifikasi utama mengapa bantuan ini wajar dilihat dari sudut pelaburan jangka panjang.

Pertama, BAP menyokong akses pendidikan yang lebih inklusif dan saksama. Apabila kekangan kewangan ibu bapa dapat dikurangkan, risiko murid tercicir daripada sistem pendidikan akibat kemiskinan juga dapat diminimumkan.

Anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah berpeluang memulakan sesi persekolahan dengan keperluan asas yang mencukupi, sekali gus meningkatkan kehadiran dan penyertaan mereka di sekolah.

Akses pendidikan yang saksama merupakan asas penting dalam pembinaan masyarakat yang adil, berdaya tahan dan berdaya saing.

Kedua, pelaburan awal dalam pendidikan memberi pulangan sosial dan ekonomi jangka panjang.

Pelbagai kajian menunjukkan bahawa pelaburan dalam pendidikan awal memberi kesan positif terhadap pencapaian akademik, kebolehpasaran tenaga kerja dan produktiviti ekonomi pada masa hadapan.

Murid yang mendapat sokongan mencukupi sejak awal persekolahan lebih berpotensi untuk berjaya, melanjutkan pelajaran dan akhirnya menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.

Dalam konteks ini, RM150 mungkin kelihatan kecil dari sudut fiskal, tetapi impaknya boleh menjadi besar apabila dilihat dalam rantaian pembangunan insan jangka panjang.

Ketiga, BAP membantu membina kestabilan emosi dan psikologi murid. Keupayaan untuk hadir ke sekolah dengan kelengkapan yang lengkap bukan sahaja berkaitan aspek fizikal, malah memberi kesan kepada keyakinan diri dan motivasi murid.

Murid yang tidak merasa tersisih atau ketinggalan lebih cenderung untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran.

Kesejahteraan emosi ini merupakan elemen penting dalam melahirkan generasi yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan daya tahan mental.

Keempat, BAP berperanan mengurangkan kadar keciciran pelajar sekolah. Kekangan kewangan sering menjadi faktor senyap yang mendorong keciciran murid, khususnya dalam kalangan keluarga rentan.

Ketidakmampuan menyediakan kelengkapan asas persekolahan boleh menjejaskan motivasi dan semangat anak-anak untuk hadir ke sekolah.

Melalui BAP, murid dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersedia dan yakin, sekali gus meningkatkan motivasi serta rasa dihargai.

Kehadiran yang konsisten bukan sahaja mengurangkan risiko keciciran, malah membuka ruang pembelajaran yang lebih berterusan dan bermakna, yang akhirnya menyumbang kepada pembentukan modal insan berkualiti.

Cadangan Penambahbaikan BAP

Bagaimanapun, seperti mana-mana dasar awam, BAP wajar ditambah baik agar impaknya lebih optimum dan benar-benar mencapai matlamat asalnya.

Antara cadangan penambahbaikan yang boleh kerajaan pertimbangkan ialah, bantuan ini wajar disalurkan lebih awal.

Penyaluran dana sebelum sesi persekolahan bermula akan memudahkan ibu bapa merancang perbelanjaan dan membuat pembelian kelengkapan sekolah tanpa tekanan masa.

Langkah ini juga dapat mengelakkan situasi ibu bapa terpaksa mendahulukan wang sendiri atau berhutang sementara menunggu bantuan diterima.

Pihak kerajaan juga wajar mewujudkan kaedah pemantauan perbelanjaan yang bersesuaian.

Walaupun BAP berbentuk bantuan tunai, mekanisme pemantauan yang minimum dan berhemah boleh membantu memastikan bantuan digunakan untuk tujuan pendidikan.

Pendekatan seperti baucar bersasar, kerjasama dengan pembekal barangan sekolah atau garis panduan perbelanjaan boleh dipertimbangkan tanpa menafikan fleksibiliti yang diperlukan oleh keluarga.

Literasi Kewangan Ibu Bapa

Selain itu, literasi kewangan ibu bapa juga perlu diperkukuh. Penyediaan panduan ringkas atau kempen kesedaran berkaitan pengurusan kewangan dapat membantu ibu bapa membelanjakan bantuan secara bijak dan berhemah.

Literasi kewangan bukan sahaja memastikan bantuan dimanfaatkan secara optimum, malah memberi kesan jangka panjang kepada kesejahteraan kewangan keluarga.

Jika keadaan ekonomi negara terus memberangsangkan, jumlah bantuan RM150 yang disalurkan pada ketika ini wajar disemak secara berkala.

Berdasarkan fenomena kenaikan harga barang dan kos sara hidup, pihak kerajaan wajar mempertimbangkan peningkatan jumlah bantuan kepada RM200 atau RM250.

Tuntasnya, Bantuan Awal Persekolahan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai angka perbelanjaan dalam belanjawan tahunan kerajaan.

Sebaliknya, ia merupakan satu pelaburan strategik negara dalam membina asas pendidikan, kesejahteraan sosial dan masa depan generasi muda.

Dengan penambahbaikan yang berterusan dan pendekatan yang lebih strategik, BAP berpotensi menjadi instrumen dasar yang bukan sahaja meringankan beban hari ini, tetapi memperkukuh kekuatan negara untuk jangka panjang.

-- BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)