Oleh : Ts. Dr Ismaniza Ismail dan Hj. Muhammad Shukri Nor Mokles
Pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia telah mengubah cara hidup dan meninggalkan kesan kepada banyak pihak termasuklah kanak-kanak. Di Malaysia, institusi pendidikan pelbagai peringkat ditutup dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran coronavirus. Bukan sahaja pembelajaran di universiti dan sekolah menjadi perlahan, malah tadika serta taska turut terjejas sekali gus membantutkan segala usaha kerajaan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada dunia luar melalui pembelajaran.
Setakat ini, peratusan pemberian vaksin di negara kita sudah mula meningkat dan ia membawa sinar harapan bahawa penutupan taska hanya sementara dan sekarang telahpun dibenarkan beroperasi semula walaupun hanya untuk anak-anak petugas barisan hadapan. Namun, usaha-usaha yang lebih serius diperlukan sebagai pelan sokongan ekoran ketidak tentuan bilakah situasi akan kembali seperti keadaan sebelumnya. Limitasi pembukaan taska menunjukkan kerugian dalam pembangunan modal insan dengan implikasi ekonomi dan sosial jangka panjang yang signifikan.
Hak Mendapatkan Pendidikan
Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan, seperti yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) lebih tiga dekad lalu di Geneva. Penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001, hak yang sekarang tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh kebanyakan mereka, disebabkan beberapa faktor seperti kekangan ekonomi dan akses.
Masalah sosial sebenar yang dihadapi dalam isu ini adalah ketidaksetaraan. Dalam sesetengah kelas masyarakat, ketinggalan pendidikan awal pada usia muda dipandang enteng, kerana dilihat sebagai mengisi masa dengan bermain. Selagi bukan di bangku persekolahan secara rasmi, pendidikan di tadika atau taska dianggap sekadar mengisi masa dan belajar untuk suka-suka.
Hakikatnya, pada awal usia muda inilah harus diisi dengan pembentukan kemahiran kognitif asas (seperti berfikir, menaakul dan pemahaman konsep), kemahiran afektif yang baik (seperti prihatin dan membuat pertimbangan) serta kemahiran psikomotor (seperti pergerakan fizikal dan koordinasi). Menerusi konsep belajar sambil bermain yang diamalkan di tadika dan taska ia mampu membentuk kemahiran sosial seperti berkongsi dan bekerjasama, mematuhi arahan dan berkomunikasi. Ia penting dan perlu dititikberatkan untuk perkembangan sahsiah, sosio-emosi dan kerohanian.
Ketika inilah ibu bapa perlu mengambil peluang mendalami ilmu pendidikan awal kanak-kanak. Teori dan konsep asas pembelajaran kanak-kanak mengikut peringkat umur, mengenal potensi dan temperamen anak. Selain itu, menangani tingkahlaku boleh diterapkan di rumah sekali gus menyokong perkembangan kanak-kanak.
Pelaksanaan PdPR Untuk Tadika Dan Taska
Di saat masih ada segelintir masyarakat yang mahu anak-anak terus mengikuti pembelajaran seperti biasa, ada pula sebahagiannya yang tidak dapat meneruskan pendidikan secara konsisten kerana kekangan digital seperti capaian internet dengan kelajuan yang baik dan data yang mencukupi. Walau apapun halangannya, objektif untuk menyediakan anak-anak tadika dan taska dengan asas pendidikan awal yang kukuh perlu diteruskan sebelum mereka melangkah ke peringkat seterusnya. Oleh itu, persediaan untuk ekosistem pembelajaran seperti penyediaan peranti, capaian internet dan kandungan pembelajaran yang sesuai serta bahan-bahan kendiri perlu diambil serius.
Ibu bapa juga berperanan dalam pemilihan video, menonton bersama anak-anak dan memantau screen time untuk sama-sama merasai pengalaman teknologi anak-anak. Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada ibu bapa untuk memeriksa kandungan bahan yang diakses disamping mengeratkan hubungan kekeluargaan menerusi interaksi bersama tentang dunia siber. Cara ini juga dapat melatih anak-anak untuk lebih yakin memberi penerangan mengenai topik pembelajaran mereka kepada ibu bapa.
Melihat kepada fitrah anak kecil, mereka lebih suka sesuatu yang interaktif seperti televisyen. Kebergantungan kepada peranti boleh diganti dengan rancangan televisyen yang mempunyai unsur keseronokan seperti nyanyian, tarian, kerja seni dan kraf seperti Sesame Street, The Wiggles dan Mister Maker. Maka sudah tiba masanya untuk mengembalikan rancangan seperti Cumi dan Ciki, A.L.O.N.G, atau Krayon yang satu ketika dahulu pernah mewarnai dunia pembelajaran kanak-kanak.
Bagi mencapai objektif Falsafah Pendidikan Negara, guru tadika dan taska juga perlu menyiapkan diri dengan kemahiran pengajaran secara dalam talian dan pengendalian teknologi agar proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar. Komitmen dan fleksibiliti pendidik adalah penting dalam menjamin kesinambungan pendidikan semasa taska beroperasi dalam keadaan terhad.
Tidak dinafikan banyak juga taska dan tadika telah mula menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), malah ada yang menyediakan kit aktiviti kanak-kanak setiap minggu untuk dihantar ke rumah. Ini membuka peluang kepada kumpulan masyarakat yang masih terbatas dengan teknologi tetapi pada masa sama latihan masih boleh diteruskan di atas kertas bercetak.
Pendidikan Kanak-Kanak Pasca Pandemik
Tidak dinafikan bahawa pedagogi dan kaedah pembelajaran dan pengajaran akan berubah secara keseluruhannya pada pasca-pandemik. Kanak-kanak kini sudah terbiasa dengan suasana dan disiplin di rumah. Pihak pengusaha taska dan tadika perlu bersedia dan mula merancang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang lebih mesra serta sesuai dengan situasi.
Selain memastikan anak-anak mengikuti kelas, mereka juga perlu berperanan dalam menunjukkan contoh terbaik dan menyokong setiap inisiatif dilaksanakan pihak taska. Sudah tentu pengubahsuaian dan fleksibiliti perlu diambil kira mengikut tahap umur dan keupayaan kanak-kanak secara individu. Hal ini memerlukan ibu bapa dan pendidik membuat cross-reference ke atas penanda aras perkembangan kanak-kanak yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada setiap bulan. Ia bagi membolehkan kanak-kanak yang ketinggalan dapat kembali belajar dan mempunyai tahap perkembangan yang sama dengan rakan sebaya mereka.
Penutupan taska mempunyai kesan yang lebih signifikan terhadap kesejahteraan banyak pihak, khususnya kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas dan mereka yang bergantung kepada perkhidmatan sokongan sosial dan emosi yang disediakan oleh taska dan tadika. Walaupun Malaysia dikira terkedepan berbanding banyak negara lain dalam aspek tertentu, tetapi banyak yang perlu diusahakan untuk PdPR generasi muda ini.
COVID-19 yang muncul secara mendadak dan masih terus menular membuktikan bahawa sistem pengajaran dan pembelajaran kita masih konvensional. Membuat anjakan paradigma sememangnya sukar, apa tah lagi dengan pelbagai kekangan melibatkan teknologi dan kemahiran dalam keadaan tergesa-gesa. Namun begitu, jika kita tidak mengikut arus semasa, kita dibimbangi lelah menongkah arus dan akan kekal berada di takuk sama.
—BERNAMA
Ts. Dr. Ismaniza Ismail merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Faluti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Hj. Muhammad Shukri Nor Mokles merupakan Pengerusi, Persatuan Cakna Anak Malaysia dan Pakar Industri, Bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak