TINTA MINDA

Nyawa Kecil Di Persimpangan Bahaya

11/05/2026 09:54 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff dan Ir Dr Muhamad Razuhanafi Mat Yazid

Kemalangan atau kecelakaan jalan raya yang melibatkan kanak-kanak sekolah semakin membimbangkan di Malaysia.

Pelbagai laporan dipaparkan di media massa tentang murid sekolah yang cedera atau maut akibat dilanggar kenderaan, termasuklah ketika melintas jalan, menunggang basikal, menaiki motosikal atau semasa berada di kawasan sekolah.

Beberapa hari yang lepas, kita dikejutkan dengan berita seorang murid perempuan berusia lapan tahun telah dilaporkan maut akibat dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar sekolah rendah.

Beliau disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Golongan kanak-kanak merupakan aset penting negara kerana mereka bakal menjadi pemimpin dan tenaga kerja masa hadapan.

Oleh itu, keselamatan mereka perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah, kerajaan dan masyarakat.

Isu kemalangan ini bukan sahaja menyebabkan penderitaan yang besar, malah turut memberi kesan sosial yang ketara kepada komuniti terlibat serta menghadkan potensi pendidikan dan ekonomi golongan muda.

Trend dan statistik kemalangan

Laporan Protecting Young Lives: Global Status Report on Child and Adolescent Road Safety mengetengahkan isu kritikal kemalangan jalan raya sebagai antara punca utama kematian dan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak serta remaja di seluruh dunia.

Setiap tahun, dianggarkan seramai 181,453 kanak-kanak dan remaja berusia dari 0 hingga 19 tahun maut akibat kecederaan berkaitan kemalangan jalan raya, dengan lebih 90 peratus daripada beban tersebut melibatkan negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Di negara kita, statistik menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya melibatkan kanak-kanak masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Menurut laporan dan kajian yang telah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kemalangan melibatkan kanak-kanak meningkat dari tahun ke tahun.

Pada tahun 2007, sebanyak 855 kes kemalangan melibatkan kanak-kanak direkodkan dan angka tersebut meningkat kepada 990 kes pada tahun 2008 sebelum mencecah 1,048 kes pada tahun 2009.

Selain itu, laporan media pada tahun 2022 menyatakan bahawa lebih 1,000 kematian kanak-kanak akibat kemalangan jalan raya direkodkan sejak tahun 2019.

Statistik ini menunjukkan bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan untuk masalah keselamatan jalan raya yang melibatkan kanak-kanak walaupun pelbagai kempen keselamatan telah dijalankan oleh pelbagai pihak.

Terdapat banyak kes kemalangan yang mendapat perhatian masyarakat di negara kita.

Antaranya ialah kes murid sekolah rendah yang maut ketika melintas jalan di hadapan sekolah akibat dirempuh kenderaan yang dipandu laju.

Selain itu, terdapat juga kes murid yang menaiki motosikal tanpa lesen dan topi keledar lalu terlibat dalam kemalangan maut.

Di beberapa kawasan luar bandar, murid sekolah menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama untuk ke sekolah.

Namun, kekurangan laluan khas berbasikal menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kemalangan.

Kawasan sekolah yang sibuk dengan kenderaan ibu bapa dan bas sekolah turut menjadi lokasi berbahaya kepada kanak-kanak terutama pada waktu puncak pagi dan petang.

Kemalangan kanak-kanak juga sering berlaku di kawasan perumahan dan berhampiran sekolah.

Kajian mendapati bahawa lebih 30 peratus kemalangan jalan raya melibatkan kanak-kanak berlaku dalam lingkungan 200 meter dari kawasan sekolah.

Situasi ini berlaku kerana kanak-kanak sukar menilai kelajuan kenderaan dan sering bertindak secara spontan tanpa memikirkan bahaya di sekeliling mereka.

Pada usia sebegini, mereka cenderung untuk terus melintas jalan tanpa melihat ke kiri dan ke kanan, bermain di tepi jalan atau berlari secara tiba-tiba ketika menunggu ibu bapa.

Semua keadaan ini meningkatkan risiko kemalangan itu sendiri.

Analisis faktor-faktor penyumbang

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kemalangan melibatkan kanak-kanak sekolah.

Faktor utama ialah sikap cuai pengguna jalan raya. Ramai pemandu memandu melebihi had laju terutama di kawasan sekolah dan kawasan perumahan.

Ada juga pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu sehingga hilang fokus terhadap keadaan jalan raya.

Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan kemalangan serius terhadap kanak-kanak yang sedang melintas jalan atau berjalan kaki ke sekolah.

Menurut pakar keselamatan jalan raya, pemanduan laju merupakan antara penyumbang utama kepada kematian kanak-kanak di jalan raya.

Selain itu, faktor kelemahan infrastruktur jalan raya turut menyumbang kepada masalah ini.

Banyak sekolah tidak mempunyai jejantas, lampu isyarat pejalan kaki, lintasan zebra atau pengawal lalu lintas yang mencukupi.

Kawasan sekolah yang sempit dan sesak dengan kenderaan juga meningkatkan risiko kemalangan.

Di sesetengah kawasan luar bandar, keadaan jalan yang gelap dan tiada laluan pejalan kaki menyebabkan murid sekolah terpaksa berjalan di bahu jalan yang berbahaya.

Kekurangan kemudahan keselamatan ini menjadikan kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada kemalangan.

Impak sosial dan emosi

Faktor seterusnya ialah kurangnya pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak.

Walaupun terdapat kempen keselamatan jalan raya di sekolah, masih ramai murid yang tidak memahami cara melintas jalan dengan selamat atau kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.

Kajian mendapati bahawa pengetahuan tentang keselamatan melintas jalan dapat mengurangkan risiko kemalangan dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

Kanak-kanak juga mudah leka dan sukar memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di jalan raya.

Mereka cenderung bermain, berlari atau menggunakan telefon bimbit semasa berjalan sehingga gagal menyedari kehadiran kenderaan.

Di samping itu, faktor pengawasan ibu bapa juga memainkan peranan penting.

Sesetengah ibu bapa membenarkan anak-anak kecil berjalan atau menunggang basikal ke sekolah tanpa pemantauan.

Ada juga ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen. Sikap sambil lewa ini boleh mengundang tragedi.

Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak memahami asas keselamatan jalan raya sebelum membenarkan mereka bergerak sendiri ke sekolah.

Pengawasan yang baik mampu mengurangkan risiko kemalangan dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

Cadangan pencegahan dan penambahbaikan

Bagi mengatasi masalah ini, pelbagai langkah pencegahan perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

Antaranya ialah memperketat penguatkuasaan undang-undang jalan raya terutama di kawasan sekolah.

Pihak berkuasa perlu memastikan pemandu mematuhi had laju dan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang memandu secara berbahaya.

Cadangan had laju 30 kilometer per jam di zon sekolah, berserta dengan penandaan keselamatan jalan raya yang jelas dan mencukupi dilihat mampu mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan murid sekolah.

Langkah ini amat penting kerana kelajuan rendah memberi lebih masa kepada pemandu untuk membrek dan mengelakkan pelanggaran.

Selain itu, kemudahan keselamatan jalan raya perlu dipertingkatkan di semua kawasan sekolah.

Pembinaan jejantas, lintasan zebra, lampu isyarat dan laluan pejalan kaki yang selamat mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan.

Kehadiran pengawal lalu lintas pada waktu puncak juga penting untuk membantu murid melintas jalan dengan selamat.

Pihak sekolah dan pihak berkuasa tempatan perlu bekerjasama memastikan kawasan sekolah sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Langkah seterusnya ialah meningkatkan pendidikan keselamatan jalan raya sejak peringkat awal persekolahan.

Pendidikan keselamatan jalan raya perlu dijadikan sebahagian daripada pembelajaran di sekolah secara berterusan.

Murid perlu diajar cara melintas jalan dengan betul, penggunaan topi keledar, kepentingan mematuhi lampu isyarat dan bahaya bermain di jalan raya.

Kempen kesedaran melalui ceramah, simulasi dan program bersama polis trafik juga perlu diperbanyakkan supaya murid lebih memahami risiko kemalangan jalan raya.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anak-anak.

Mereka sendiri perlu menjadi contoh yang baik dengan mematuhi peraturan jalan raya ketika memandu.

Selain itu, ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak tentang langkah keselamatan sebelum keluar rumah.

Penggunaan pakaian cerah, topi keledar dan beg sekolah dengan pemantul cahaya juga boleh membantu meningkatkan keselamatan murid terutama ketika cuaca gelap atau hujan.

Harapan masa hadapan

Kesimpulannya, kemalangan yang melibatkan kanak-kanak sekolah merupakan isu serius yang memerlukan perhatian semua pihak.

Statistik kemalangan yang tinggi menunjukkan bahawa usaha sedia ada masih belum mencukupi untuk melindungi golongan ini.

Pelbagai faktor seperti kecuaian pengguna jalan raya, kelemahan infrastruktur, kurangnya pendidikan keselamatan dan pengawasan ibu bapa telah menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan.

Oleh itu, langkah pencegahan yang berkesan perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui kerjasama kerajaan, sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Keselamatan kanak-kanak harus menjadi keutamaan kerana mereka merupakan harapan dan masa depan negara.

Jika semua pihak memainkan peranan dengan baik, sudah pasti jumlah kemalangan melibatkan kanak-kanak sekolah dapat dikurangkan demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi muda.

-- BERNAMA

Prof Madya Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff dan Ir Dr Muhamad Razuhanafi Mat Yazid ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)