Oleh: Dr Adibah Amir dan Prof Madya Dr Khairul Azami Sidek
Hampir dua tahun, pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah memberikan pelbagai kesan langsung kepada rakyat di Malaysia. Antara implikasi besar yang dibawa oleh wabak COVID-19 ialah kemerosotan ekonomi yang mengganggu proses kelangsungan hidup. Ramai yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan ketika tempoh yang sukar ini. Bagi penduduk di bandar, mereka lebih terkesan lagi kerana kos hidup di bandar yang tinggi.
Menurut kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), lebih daripada dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di bandar. Tambahan pula, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan penduduk telah meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada tahun lepas akibat pandemik COVID-19.
Kos sara hidup yang tinggi dan kemiskinan bandar semakin menekan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Jalin kerjasama, kongsi ilmu perkasa masyarakat
Menyedari cabaran kehidupan masyarakat yang semakin menghimpit, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan rakan industri, My Iqra PLT mengambil inisiatif untuk membantu dengan melaksanakan program penternakan kelulut bersama Pertubuhan Khairat Kematian Taman Melewar, Kuala Lumpur melalui Program Pemindahan Ilmu Skim Geran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Program ini bertujuan untuk memindahkan ilmu dan kemahiran pensyarah dan industri kepada pihak komuniti. Inisiatif ini juga sebagai langkah alternatif untuk menjana pendapatan komuniti tempatan selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan kesihatan diri.
Peserta program telah diberikan kursus asas penternakan kelulut agar mereka mengenali spesis kelulut yang sesuai untuk diternak di persekitaran bandar, jenis-jenis pokok yang menjadi sumber untuk kelulut mendapatkan nektar, debunga dan resin dan seterusnya penyelenggaraan sarang kelulut agar koloni tidak mudah lemah diserang musuh.
Kesan daripada wabak COVID-19 juga menyebabkan masyarakat seluruh dunia lebih peka untuk meningkatkan antibodi tubuh dan mengamalkan pemakanan sihat. Melalui program ini, ahli komuniti telah mengetahui tentang penemuan saintifik terkini bahawa madu kelulut terbukti berkesan dalam menguatkan antibodi tubuh.
Di sinilah keuntungan masyarakat di Taman Melewar kerana mereka kini boleh menikmati madu kelulut asli hasil tuaian tangan mereka sendiri. Kelak, komuniti di sini bakal menuai madu kelulut yang amat istimewa kerana sarang kelulut dipasang di bawah dua buah pohon bidara yang rendang.
Kelulut akan menghisap nektar dari pohon bidara yang seterusnya akan diproses di dalam perut kelulut dan dikeluarkan sebagai madu. Program ini akan diteruskan dengan demonstrasi tuaian untuk menunjuk ajar peserta program teknik tuaian, teknik memproses madu kelulut dan seterusnya teknik penyimpanan.
Daripada prespektif berbeza, penternakan kelulut juga dilihat sebagai elemen yang mampu melengkapi ekosistem kebun bandar yang sedang popular sejak kebelakangan ini dengan menjadikan tanam-tanaman tertentu sebagai sumber nektar bagi kelulut.
Dijangkakan program ini akan mampu meningkatkan kapasiti, termasuk keupayaan mendatar dan menegak, seterusnya meningkatkan mobilisasi sumber daya untuk pemerkasaan ekonomi dan kesihatan masyarakat setempat.
Potensi kelulut
Kelulut bukan sekadar menghasilkan madu yang lazat dan berkhasiat, malah dapat mendatangkan hasil yang lumayan. Telah ada banyak contoh kejayaan anak tempatan sebagai penternak kelulut yang berjaya, sehingga mampu meraih pendapatan RM5,000 sebulan dengan mengusahakan 200 koloni lebah kelulut.
Malaysia sangat bertuah kerana kelulut hanya ditemui di negara-negara beriklim tropika dan subtropika. Kelulut tidak dapat hidup membiak di negara beriklim empat musim seperti negara Jepun mahupun yang beriklim monsun seperti negara China. Di tambah dengan kedudukan strategik Malaysia sebagai hab halal, madu kelulut tempatan berpotensi besar untuk menembusi pasaran industri halal pada masa ini yang dianggarkan bernilai AS$3 trilion.
Kesedaran tanggungjawab sosial juga penting untuk dikongsi agar penternak kelulut bukan sekadar memenuhi kehendak komersil, malahan, memenuhi matlamat pembangunan lestari. Kelulut yang merupakan ajen pendebungaan terbaik di atas muka bumi ini memainkan peranan memastikan kelangsungan ekosistem dan sistem rantaian makanan.
-- BERNAMA
Dr Adibah Amir merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Pembuatan dan Bahan, Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Prof Madya Dr Khairul Azami Sidek merupakan Pengarah di Pejabat Jaringan Industri, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).