TINTA MINDA

ADAB BERSOSIAL MELALUI MEDIA KETIKA PANDEMIK COVID-19

27/10/2021 09:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Dr. Roshima Haji Said, Noor Hidayah Kasim dan Nurul Mazrah Manshor

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang bukan sedikit kepada masyarakat dari aspek fizikal, emosi, sosial, dan ekonomi. Pelbagai bentuk informasi disalurkan melalui media sosial bagi perkongsian tentang situasi semasa. Justeru, rangkaian penyebaran maklumat ini memainkan peranan yang sangat penting dan mampu mempengaruhi minda orang awam semasa tempoh krisis.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan bahawa ketika ini masyarakat bukan sahaja sedang memerangi wabak antarabangsa tetapi juga berhadapan dengan infodemik media sosial. Infodemik merujuk kepada maklumat dalam dan luar talian. Ia termasuk percubaan menyebarkan maklumat yang salah atau palsu yang disengajakan sehingga mampu mencetuskan panik dan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Menurut laporan Digital 2021 Malaysia, sehingga Januari 2021, seramai 28 juta rakyat negara ini yang mewakili 86 peratus daripada jumlah penduduk merupakan pengguna media sosial. Namun kesan negatif infodemik ini boleh menjejaskan respons kesihatan awam dan pada masa sama membuka ruang kepada agenda alternatif kumpulan atau individu tertentu.

Ambil kira elemen empati dan sensitiviti

Masyarakat Malaysia perlu menonjolkan sikap empati yang mencerminkan norma kehidupan penuh sopan santun dan tutur kata yang baik menerusi etika bersosial melalui media ketika negara dilanda krisis. Masyarakat perlu mengambil kira elemen empati dan sensitiviti yang tinggi dalam berfikir, berkata-kata bahkan dalam menulis sesuatu.

Islam telah memberi tunjuk ajar yang jelas mengenai tatacara bersosial melalui media. Antaranya, dengan melatih diri untuk sentiasa memeriksa kesahihan sesuatu perkara atau berita melalui etika tabayyun (Surah al-Hujurat: 6). Konsep tabayyun ini perlu diaplikasikan oleh kedua-dua pihak penyampai dan penerima berita.

Di samping itu, al-Quran turut menggariskan banyak panduan berkomunikasi sama ada secara verbal atau bukan verbal. Dalam surah al-Nisa’ ayat 9, kita diajar supaya bercakap kata-kata yang benar dan baik-baik sahaja. Menyampaikan berita yang benar memerlukan informan yang berani menonjolkan diri.

Maklumat komunikasi perlu berstruktur dan jelas

Peribahasa Melayu “baling batu sembunyi tangan” tidak memberi gambaran yang selari dalam hal ini. Maklumat dalam berkomunikasi juga perlu disusun secara berstruktur dan jelas (surah al-Nur ayat 54). Sekiranya penyampaian itu berbentuk fakta, ia memerlukan rangka maklumat yang tepat. Sebaliknya, maklumat palsu atau tidak benar tidak akan melalui proses penyusunan data yang boleh dipercayai. Justeru maklumat tersebut perlu ditolak dan tidak boleh diguna pakai.

Dalam surah al-Isra ayat 28, Allah SWT mengajar kita supaya menggunakan perkataan yang menyenangkan hati pendengar. Kata-kata yang disenangi sudah semestinya bebas daripada unsur penghinaan, hasutan, dan sebagainya. Ayat 44 daripada surah Taha pula menyarankan percakapan secara lemah lembut. Maksud yang lunak dalam sesuatu penyampaian tidak boleh disampaikan melalui nada yang buruk.

Selain itu, kita juga dilarang menggunakan nada penuh sindiran dalam berkomunikasi sehingga menimbulkan rasa kurang senang pada orang di sekeliling kita. Ia selaras dengan ajaran Islam sebagaimana maksud ayat 12 daripada surah al-Hujurat yang menekankan supaya kita sentiasa menyebut perkara yang baik-baik sahaja mengenai orang lain.

Masyarakat perlu peka perihal perundangan

Dari perspektif undang-undang, masyarakat seharusnya peka dan celik undang-undang serta mampu mengawal setiap tutur kata yang dilontarkan di media sosial, terutamanya ketika krisis COVID-19. Undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan media sosial tidak hanya terbatas untuk mengawal selia penggunaan medium ini, malah ia juga berperanan untuk menjaga hak-hak pengguna. CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara agensi kerajaan yang terlibat dalam membanteras salah laku siber.

Sebagai langkah pengawalan penggunaan komunikasi dan multimedia di Malaysia, Parlimen telah meluluskan Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Kanun Keseksaan, serta Akta Keterangan 1950. Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 juga telah dipinda bagi membantu proses pembuktian jenayah siber. Ia juga diwujudkan bagi mendepani perkembangan dunia siber, khususnya media baru seperti Facebook, Instagram, Twitter, dan lain-lain.

Seksyen ini juga mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap ‘bertanggungjawab’ menyiarkan atau mengulang siar kandungan yang terdapat di rangkaian, laman web atau peralatan terbabit. Seksyen 211 dan 233 (1) (a) & (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua padanan wahyu dan penguatkuasaan undang-undang ini menjadi garis panduan penting bagi penyebaran maklumat yang matang dan berfakta. Jika kaedah yang baik digunakan, maka hasilnya akan memanfaatkan semua pihak. Ia mesti berlandaskan kebenaran, mendatangkan manfaat, adil dalam berkata dan bertindak serta jauh daripada kezaliman, dusta, dan fitnah.

-- BERNAMA

Prof. Dr. Roshima Haji Said merupakan Felo Penyelidik Bersekutu, Accounting Research Institute (ARI) dan Profesor, Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Noor Hidayah Kasim merupakan Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah

Nurul Mazrah Manshor merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Undang-Undang

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)