Sektor pertanian di Malaysia berfungsi sebagai pembekal sumber makanan kepada seluruh penduduk negara. Pengeluaran padi dan beras sebagai makanan ruji misalnya berupaya memenuhi 70 peratus keperluan negara. Selain itu, sektor seperti kelapa sawit merupakan antara sektor yang menjadi penyumbang terbesar pertanian kepada Malaysia dengan nilai billion ringgit.
Oleh itu, tarikh 6 Ogos setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan sebagai tanda pengiktirafan dan penghormatan kepada mereka. Pengiktirafan itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap usaha mereka memainkan peranan dlam memacu pelbagai aktiviti demi pengeluaran bahan makanan serta memudahkan sektor pertanian.
Sektor pertanian harus lebih moden dan kompetetif
Merujuk sektor pertanian, banyak isu perlu dilihat semula termasuk kekurangan tanah, pengurusan tanah, kualiti benih dan baja, serangan penyakit, kekurangan sumber air, dan umur majoriti pesawah. Selain itu, isu dalam pelaksanaan subsidi dan insentif kerajaan, masalah kekurangan data serta isu lain pada peringkat rantaian pengeluaran. Oleh itu, sektor pertanian harus dibangunkan sebagai sektor moden, berdaya saing dan komersial. Justeru, imej sektor pertanian harus diubah dengan menjadikannya sebagai sektor moden dan kompetitif sehingga memberi pulangan lumayan kepada pengusaha tanaman, ternakan dan perikanan.
Kemajuan sesebuah negara kini dinilai dari segi kecukupan dan keselamatan makanan sebagai asas kepada negara maju. Maka, kerajaan melalui agensi berkaitan sewajarnya melihat keperluan untuk menerajui industri makanan secara keseluruhan, bukan sahaja daripada konteks pengeluaran atau pembekal makanan, tetapi keseluruhan rantaian nilai makanan. Sudah tentu ini perlu dilakukan melalui pendekatan baharu dan luar kebiasaan bagi memastikan kementerian dapat menghadapi cabaran sekuriti makanan.
Inisiatif ini dapat dilihat ketika pembentangan Belanjawan 2020 apabila RM43 juta diperuntukkan ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka berkualiti dan berproduktiviti tinggi, seterusnya memacu ekonomi negara melalui sektor agromakanan. Malah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sentiasa ke hadapan bagi memastikan sektor pertanian menjadi sektor yang lebih dinamik, inovatif, kompetitif dan menyumbang secara positif kepada ekonomi negara.
Perkembangan teknologi pertanian bantu tingkat pengeluaran makanan
Ketika ini, sektor pertanian dipacu oleh Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) (2021-2025) dengan tumpuan khusus diberi kepada transformasi sektor ini melalui Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). Di bawah RMK12, kerajaan berusaha mempersiapkan negara ke arah pembangunan sektor pertanian lebih maju, moden dan mampan selaras Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030).
Sasarannya adalah untuk memberi suntikan lebih moden. Antaranya dengan menumpukan kepada teknologi seperti penggunaan dron, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dengan dibantu peningkatan penggunaan mekanisasi. Selain itu, benih bermutu yang rintang penyakit serta berdaya tahan tinggi daripada kesan perubahan iklim serta amalan agronomik lestari, akan dapat mengubah landskap sektor agromakanan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Sesungguhnya, penggunaan teknologi menjadikan pertanian lebih mudah, meningkatkan kecekapan dan seterusnya dapat meningkatkan hasil. Malah, penggunaan teknologi juga menjadikan bidang pertanian bukan lagi pekerjaan yang dikategorikan sebagai sukar, berbahaya, kotor (3D). Perubahan daripada pertanian konvensional kepada kaedah pertanian berteknologi tinggi amat perlu bagi menampung bekalan makanan sejajar dengan pertambahan penduduk negara yang dijangka mencecah 50 juta orang pada 2050.
Remajakan sektor pertanian, tingkat penyertaan golongan muda
Tidak dinafikan, terdapat segelintir masyarakat masih tidak peduli tentang sektor pertanian, walhal sektor ini mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan. Golongan muda seperti golongan belia misalnya kurang berminat untuk mempelajari dan menceburi bidang pertanian ini kerana mereka lebih mementingkan ruang lingkup kerja yang selesa dan lebih berminat untuk kerja makan gaji. Sektor pertanian masih terus dianggap sumber pekerjaan terakhir dan terpaksa, termasuk kalangan graduan berkaitan pertanian yang seharusnya secara sukarela menceburkan diri secara aktif dalam aktiviti asas sektor pertanian.
Sebagai pendekatan jangka panjang, pertanian sara diri intensif wajar diterokai dan dijuarai generasi muda supaya industri tersebut bergerak seiring dengan kemajuan dan pertambahan penduduk dalam negara. Pada 2021, hanya sekitar 15 peratus sahaja daripada 1.4 juta belia di negara ini terlibat dalam bidang pertanian dan hanya sekitar empat peratus sahaja pelajar di universiti yang akan mempertimbangkan kerjaya mereka dalam bidang pertanian. Ini memberi gambaran seolah-olah golongan muda masih kurang berminat dalam sektor tersebut.
Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan harus berusaha lebih giat lagi bagi meremajakan sektor pertanian dan menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan belia dalam bidang berkenaan. Persepsi golongan belia terhadap bidang pertanian perlu terus diperbaiki bagi meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam bidang itu, sekali gus berupaya untuk 'meremajakan' sektor berkenaan. Penglibatan belia dalam bidang pertanian juga boleh mengurangkan pengangguran, mengatasi kemiskinan, serta meningkatkan bekalan makanan dalam negara sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan di masa akan datang.
Ubah persepsi terhadap sektor pertanian
Persepsi dalam kalangan belia bahawa bidang pertanian tidak memberi jaminan kehidupan berkualiti serta dikelaskan sebagai 3D menyebabkan sektor pertanian terus bergantung kepada buruh asing. Ia disebabkan wujud persepsi bahawa sektor pertanian dianggap sebagai pekerjaan pilihan terakhir dan pekerjaan untuk pelajar tercicir atau untuk orang tidak bersekolah sahaja, khususnya bagi mereka yang tinggal di luar bandar.
Justeru, hampir 40 peratus pekerja dalam industri ini dipelopori oleh tenaga kerja asing. Faktor lain yang menyebabkan generasi muda perlu melibatkan diri dalam industri pertanian moden adalah supaya industri berkenaan tidak hanya terhad dalam kalangan generasi tua sahaja. Kesemua halangan ini boleh diatasi dengan penggunaan teknologi digital menerusi pertanian pintar, kecekapan serta produktiviti agar pendapatan petani dapat dipertingkatkan selain ‘meremajakan’ sektor ini dengan penyertaan lebih ramai golongan belia.
Antara langkah berkaitan adalah dengan pemerkasaan program pendidikan melalui program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pertanian turut dilihat sangat signifikan bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara dan pembentukan budaya pertanian dalam kalangan masyarakat. Pembelajaran secara peer-to-peer juga boleh dilakukan untuk mengubah pemikiran belia tentang kebaikan sektor pertanian dengan menunjukkan dan menceritakan kejayaan petani muda sebagai sumber inspirasi dan pengajaran untuk golongan muda.
Ibu bapa juga boleh menyemai sikap cintakan pertanian dalam diri anak-anak dengan melibatkan mereka secara langsung mempraktikkan pertanian skala kecil di sekitar rumah untuk menyemai minat awal terhadap sektor pertanian.
Malah, ibu bapa juga boleh membawa mereka ke pameran pertanian seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) yang dijalankan setiap dua tahun untuk memdedahkan anak-anak dalam dunia pertanian yang menguntungkan.
MAHA berupaya menjadi medan membekalkan pengetahuan kepada anak-anak kecil mengenai sektor pertanian, kepelbagaian tanaman dan makanan negara, satu unsur yang amat penting dalam memupuk kesedaran berhubung kepentingan pertanian di masa kini dan masa depan dalam usaha mengubah persepsi masyarakat bahawa bidang pertanian ini amat menguntungkan dan bukannya sektor terkesamping.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman merupakan Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.