TINTA MINDA

TAMPARAN DI MUKA : ISU, HUKUM DAN BAHAYANYA

10/02/2023 05:54 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Atriza Umar

Wajah adalah simbol ekspresi kecantikan, maruah juga reputasi seseorang dan pada muka itu juga terdapatnya pancaindera yang paling penting bagi manusia iaitu mata. Oleh yang demikian, Islam sangat menekankan untuk memelihara wajah dengan sebaiknya.

Dalam sebuah hadis, Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang memukul muka kerana wajah itu lembut dan menggabungkan kebaikan, ia adalah bahagian pertama badan untuk bertemu dan bercakap, dan kerana bahagian-bahagiannya berharga dan unik.

Tahun lalu, tepatnya awal April 2022, seantero dunia pernah kecoh berikutan insiden seorang bintang Hollywood ditampar secara langsung di kaca televisyen. Will Smith telah dianugerahkan Anugerah Academy kerana memainkan watak bapa kepada bintang tenis Venus dan Serena Williams dalam King Richard, dalam program Akademi Seni dan Sains Filem (Oscar). Ia dinobatkan demikian tidak sampai sejam tragedi kontroversi menampar muka pelawak Chris Rock. Namun, itu adalah tragedi yang berlaku di luar negara dan disaksikan ramai penonton di seluruh dunia.

Pembukaan 2023, tular pula di negara kita, insiden ‘tampar’ melibatkan seorang jurulatih yang menampar muka dua pemain pasukannya. Video kejadian itu yang tular menaikkan kemarahan ramai pihak kerana dianggap tidak sewajarnya dilakukan, apatah lagi terhadap seorang wanita.

Walaupun ia bukanlah melibatkan artis dalam rancangan televisyen, tetapi ia tetap memberi kesan yang tidak baik kepada mereka yang menjadi mangsanya apalagi masyarakat. Hakikatnya, ia adalah sesuatu yang tidak layak berlaku.

Ketegasan Islam

Dari sudut agama, memang jelas Islam melarang umatnya melakukan kekasaran dan menyakiti orang lain. Walaupun ketika berperang, melaksanakan hukuman hudud, ketika mendidik anak sekalipun, adalah wajib untuk mengelak daripada melakukan perkara yang boleh mencederakan di bahagian muka.

Terdapat beberapa hadis Nabi SAW berkenaan larangan menampar muka ini;

1) Nabi SAW bersabda:

إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ

“Apabila seseorang kamu memukul, maka jauhilah muka.” [HR Ahmad (7323)]

2) Sabda Nabi SAW:

إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبْ الْوَجْهَ

“Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah daripada (mencederakan) muka.” [HR Bukhari (2559) dan Muslim (6817)]

Fenomena Kolektif?

Tahukah anda bahawa perbuatan menampar itu boleh memberi kecederaan yang serius dalam jangka masa panjang terutama ke atas kanak-kanak dan pelajar?

Menurut Pakar Perunding Kanser Ginekologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dato Dr Mohd Rushdan Md Noor, dari sudut perubatan, kanak-kanak mempunyai organ-organ yang masih berkembang dan menjalani proses kematangan, yang juga merupakan organ yang rapuh, mudah tercedera dan berpotensi mendatangkan kesan negatif jangka masa panjang.

Organ-organ di bahagian muka seperti mata, telinga, mulut, lidah, saraf tunjang di leher dan juga otak merupakan organ-organ penting yang berpotensi tercedera jika bahagian muka dan kepala dijadikan tempat membuat pukulan atau tamparan, demikian kata beliau.

Mohd Rushdan menjelaskan apabila melakukan tamparan terutama dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, seseorang itu tidak dapat mengawal dan menentukan dengan tepat bahagian muka yang akan terkena tamparan.

Itu menyebabkan tamparan bahagian muka kadangkala boleh terkena leher, mata dan telinga. Tamparan yang dilakukan berulang kali tentu sekali memberi kesan yang lebih serius. Tamparan yang kuat di bahagian kepala boleh mencederakan tulang leher (cervical spine) dan saraf tunjang kerana anjakan kepala yang mendadak dan cepat, katanya.

Tambahnya lagi, otot-otot leher kanak-kanak belum cukup kuat untuk mempertahankan diri daripada pergerakan kepala yang seumpama itu. Anjakan cepat bahagian kepala ini juga boleh menggoncang otak dan ini boleh memecahkan salur darah, mengoyak selaput otak dan boleh berlaku pendarahan di dalam otak.

Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi itu berkata pada waktu sama, jika kepala terhentak ke dinding atau apa-apa sahaja benda keras akibat momentum pergerakan kepala semasa ditampar, kecederaan yang berlaku boleh menjadi lebih serius dan mungkin boleh mengancam nyawa.

Beliau yang juga berkata, tamparan juga boleh mencederakan mata dan telinga.

Jika tamparan ditujukan tepat pada cuping telinga dan menutup lubang telinga, maka tekanan kuat akan disalurkan ke dalam rongga telinga hingga sampai ke gegendang. Gegendang telinga boleh pecah dan ini akan menyebabkan gangguan pendengaran yang mungkin kekal jika rawatan tidak diberikan, bahagian dalam telinga dijangkiti kuman. Pesakit yang mengalami pecah gegendang telinga perlu menjalani rawatan susulan untuk memantau perkembangan dan pendengaran, katanya.

Melihat kepada situasi ini, ia adalah fenomena kolektif yang sering berulang yang berlaku di banyak rumah dan keluarga, kadang-kadang sebagai disiplin dan sebagai jenaka, tanpa menyedari bahawa ia membawa bahaya yang serius.

Bahaya dan Merosakkan

Kekasaran fizikal atau pembulian sedemikian disifatkan sebagai tindakan keterlaluan yang mampu memberikan kesan negatif berpanjangan terhadap mangsa. Pakar telah memberi amaran tegas terhadap tingkah laku ini, sama ada pukul di muka adalah cara mendisiplinkan dan menakut-nakutkan, sebagai jenaka atau main-main, kerana ia menyebabkan kerosakan psikologi dan kesihatan yang serius kepada kanak-kanak.

Hakikatnya, banyak lagi kesan fizikal akibat tamparan yang dilakukan. Apa yang penting adalah menampar bukan sesuatu perbuatan yang boleh dipandang ringan, apatah lagi jika ia digunakan sebagai kaedah untuk menghukum. Kesan fizikal yang diakibatkan oleh perbuatan menampar ini mungkin hanya akan dikesan atau dialami beberapa ketika selepas perbuatan itu dilakukan. Di samping kesan fizikal yang dialami oleh sesiapa yang ditampar, kesan psikologi merupakan salah satu implikasi yang tidak kurang seriusnya.

Dalam pada itu, menampar juga adalah antara kaedah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di hadapan khalayak ramai. Kanak-kanak atau pelajar-pelajar yang ditampar akan merasa terhina dan seringkali menaruh perasaan dendam ke atas orang yang menampar. Tidak hairanlah jika kajian menunjukkan bahawa kesan psikologi dan ingatan akibat menerima tamparan ini boleh kekal lama dalam ingatan seseorang.

Oleh itu, ketika hendak menghukum terutama ke atas kanak-kanak atau pelajar, hukumlah dengan kaedah sesuai serta berhikmah bersesuaian tujuan mendidik dan penuh kasih sayang.

Ini penting supaya ia dapat menjadi pengajaran berguna serta bertujuan menjadikan mereka seorang insan yang lebih baik pada masa hadapan. Maka, hukum memukul muka adalah haram walau dengan apa tujuan sekalipun, sama ada dalam hudud, takzir, denda anak, denda anak murid atau tujuan-tujuan yang lainnya. Berhati-hatilah kita dalam membuat tindakan walaupun dalam keadaan marah atau tidak bersetuju dengan tindakan orang lain.

-- BERNAMA

Atriza Umar ialah Pegawai Jabatan Komunikasi dan Multimedia di Pertubuhan IKRAM Malaysia Beliau juga sebagai Timbalan Setiausaha Pertubuhan Ilmuawan dan Cendiakawan Islam Malaysia (ILMAN)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)