SALAM DARI BEIJING

IKAN TERMAHAL MALAYSIA, EMPURAU, POPULAR DI HONG KONG 

22/02/2023 10:48 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid

Masih segar di ingatan penulis ketika merasai keenakan ikan empurau, ikan termahal di Malaysia dengan harganya boleh mencecah RM800 hingga RM2,000 sekilogram ketika membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sarawak di Kapit, Sarawak pada Disember 2021.

Ketika itu, penulis tidak menyangka sama sekali dapat menjamah ikan ‘kayangan’ dengan rasa berlemak, manis dengan tekstur berkrim itu yang hanya boleh ditemui di beberapa kawasan utama di Kapit dan Hulu Rajang dan kebiasaanya memakan buah-buahan yang tumbuh di tebing sungai seperti engkabang.

Namun mungkin ramai tidak mengetahui, rupanya ikan berkenaan yang juga dikenali sebagai wang bu liao dalam bahasa Cina dan kebiasaanya dibeli pemilik restoran mewah, golongan berada dan VIP, juga cukup popular di Hong Kong.

Disebabkan itu, pada 2014, media turut melaporkan seorang jutawan Hong Kong, Peter Lam, sanggup terbang ke Malaysia menggunakan jet peribadinya bagi merasai sendiri keenakan ikan berkenaan yang selalu dihidangkan secara kukus itu.

Penulis sendiri, yang berkesempatan mengunjungi Ekspo Import Antarbangsa China (CIIE) edisi kelima yang berlangsung dari 5 hingga 10 Nov lepas di Shanghai turut berkesempatan mengunjungi reruai sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti penternakan ikan, termasuk ikan empurau di Hong Kong.

Syarikat Swasta Ternak Ikan Empurau Di Hong Kong

Pengurus Komuniti dan Kelestarian Smart Farming Hong Kong, Sonia Wong yang ditemui penulis pada ekspo berkenaan berkata ikan berkenaan mendapat permintaan yang tinggi dan mereka kadangkala tidak menang tangan menguruskan tempahan.


Wakil daripada syarikatnya telah ke Sarawak sejak 2018 bagi mendapatkan benih ikan berkenaan untuk diternak di ladang ikannya di Hong Kong yang memiliki 75 tangki ternakan ikan ketika ini dan diberi makan buah-buahan seperti avokado.

Katanya, empurau yang dijual pada harga RM500 hingga 1,200 di Malaysia itu, dijual hampir RM2,000 per kilogram di pasar basah dan restoran-restoran mewah di Hong Kong bermula 2020.

Sonia menjelaskan, harga empurau mahal kerana tidak mudah untuk memelihara ikan berkenaan dan ia mengambil masa 18 bulan untuk matang sebelum boleh dijual.

Kini, penduduk Hong Kong tidak perlu lagi ke Malaysia semata-mata untuk merasai keenakan ikan empurau, kata Sonia.

“Kami akan membiakkan empurau di Hong Kong dan membangunkan pasaran China terutamanya Greater Bay Area,” katanya.


Sonia turut melahirkan keyakinan mampu memenuhi permintaan pelanggan terhadap ikan berkenaan melalui penggunaan pelbagai teknologi terkini.

-- BERNAMA

Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)