TINTA MINDA

Memperkasa Perlindungan Sosial Wanita Demi Kemakmuran Malaysia

18/03/2026 06:34 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Suhaimi Abd Samad dan Dr Shamshimah Samsuddin

Setiap hari, jutaan wanita di Malaysia, samada di dalam sektor fomal atau tidak formal akan bangun seawal subuh untuk menguruskan keluarga, bekerja mencari rezeki dan memastikan kehidupan orang di sekeliling mereka berjalan dengan baik.

Mereka menjaga anak, menyokong pasangan, membantu ibu bapa dan dalam masa sama menyumbang kepada ekonomi negara.

Namun di sebalik semua peranan besar ini, jarang kita bertanya satu soalan penting: siapakah yang melindungi kesejahteraan wanita itu sendiri?

Soalan ini menjadi semakin relevan apabila dunia menyambut Hari Wanita Sedunia pada setiap 8 Mac.

Sambutan ini bukan sekadar simbol penghargaan terhadap wanita, tetapi juga satu peringatan bahawa kesejahteraan wanita perlu diperkukuh melalui sistem perlindungan sosial yang benar-benar inklusif dan berkesan.

Hakikatnya, wanita bukan sekadar sebahagian daripada statistik penduduk negara.

Mereka adalah ibu yang membesarkan generasi masa depan, pekerja yang menyumbang kepada ekonomi, usahawan yang mencipta peluang pekerjaan dan pemimpin komuniti yang menggerakkan perubahan sosial.

Justeru, memastikan kesejahteraan mereka bukan sahaja isu kesaksamaan gender, tetapi juga asas kepada pembangunan negara yang mampan.

Perlindungan Sosial untuk Wanita

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2024 dianggarkan sekitar 34 juta orang, dengan kira-kira 16 juta daripadanya adalah wanita, bersamaan hampir 48 peratus daripada keseluruhan populasi negara.

Peratusan ini menunjukkan bahawa wanita membentuk hampir separuh daripada rakyat Malaysia dan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Namun begitu, dari sudut ekonomi, wanita masih berdepan beberapa cabaran yang mempengaruhi kesejahteraan hidup mereka.

Statistik menunjukkan bahawa kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia adalah sekitar 55 hingga 56 peratus, iaitu jauh lebih rendah berbanding kadar penyertaan lelaki yang melebihi 80 peratus.

Jurang ini menunjukkan bahawa sebahagian besar wanita masih berada di luar pasaran kerja formal atau terlibat dalam sektor tidak formal yang sering kali tidak menawarkan perlindungan sosial yang komprehensif.

Di sinilah kepentingan sistem perlindungan sosial menjadi sangat penting.

Secara umum, perlindungan sosial merujuk kepada pelbagai dasar dan program yang diwujudkan bagi melindungi individu daripada risiko kehidupan seperti kemiskinan, kehilangan pekerjaan, kecacatan, penyakit dan usia tua.

Di Malaysia, beberapa institusi memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan sosial kepada rakyat termasuk wanita.

Antaranya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyediakan simpanan persaraan kepada pekerja sektor formal melalui caruman pekerja dan majikan.

Simpanan ini amat penting bagi memastikan individu mempunyai sumber kewangan yang mencukupi apabila mencapai usia persaraan.

Bagi memperkukuh keselamatan kewangan wanita, KWSP turut memperkenalkan beberapa inisiatif yang lebih inklusif.

Antaranya ialah i-Suri, iaitu skim caruman sukarela yang disertai dengan insentif kerajaan bagi membantu suri rumah membina simpanan persaraan sendiri.

Selain itu, i-Sayang membolehkan suami memindahkan sebahagian caruman pekerja mereka ke dalam akaun KWSP isteri sebagai langkah memperkukuh kedudukan kewangan wanita dalam keluarga.

Di samping itu juga, skim i-Saraan turut memberi peluang kepada individu yang bekerja sendiri atau terlibat dalam sektor tidak formal, termasuk ramai wanita, untuk mencarum secara sukarela dan menerima insentif kerajaan bagi menggalakkan tabungan persaraan.

Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan lebih ramai wanita mempunyai akses kepada perlindungan kewangan yang lebih terjamin pada masa hadapan.

Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan perlindungan kepada pekerja sekiranya berlaku kemalangan pekerjaan, penyakit pekerjaan atau hilang upaya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, PERKESO turut memperluaskan perlindungan kepada pekerja sendiri serta pekerja ekonomi gig melalui skim Lindung Kendiri.

Satu perkembangan yang menarik dalam landskap perlindungan sosial negara ialah pengenalan Lindung Kasih oleh PERKESO.

Skim ini memberi perlindungan kepada suri rumah daripada risiko kemalangan domestik dan hilang upaya, sekali gus mengiktiraf peranan wanita yang menguruskan isirumah yang selama ini kurang mendapat pengiktirafan formal dalam sistem ekonomi.

Bagi golongan wanita yang berada dalam keadaan lebih rentan seperti ibu tunggal, warga emas atau keluarga berpendapatan rendah, bantuan sosial turut disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta beberapa program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), serta beberapa inisiatif di bawah pakej rangsangan ekonomi negara.

Walaupun pelbagai inisiatif perlindungan sosial telah diwujudkan, wanita masih berdepan cabaran ketara untuk menikmati kehidupan sejahtera.

Jurang penyertaan mereka dalam pasaran kerja kekal besar akibat tanggungjawab penjagaan keluarga serta kekurangan kemudahan penjagaan kanak‑kanak berkualiti dan mampu milik.

Hal yang demikian menjadi faktor utama yang membataskan keterlibatan wanita dalam ekonomi.

Ramai juga bekerja dalam sektor tidak formal seperti perniagaan kecil, kerja sambilan atau ekonomi gig tanpa perlindungan sosial mencukupi.

Selain itu, gangguan kerjaya menyebabkan simpanan persaraan wanita lebih rendah, sekali gus meningkatkan risiko kemiskinan apabila meniti usia tua.

Realiti ini menuntut pendekatan dasar yang lebih sensitif gender dalam merangka sistem perlindungan sosial negara.

Dalam hal ini, Malaysia juga boleh mengambil inspirasi daripada beberapa negara yang berjaya memperkukuh kesejahteraan wanita melalui dasar sosial yang progresif.

Perkasa Langkah Kesejahteraan Wanita

Negara-negara Nordik seperti Sweden dan Norway, misalnya, terkenal dengan sistem kebajikan yang komprehensif.

Kerajaan menyediakan cuti ibu bapa yang panjang, subsidi penjagaan kanak-kanak serta perlindungan sosial universal yang membolehkan wanita terus aktif dalam pasaran kerja tanpa mengabaikan tanggungjawab keluarga.

Singapura pula memperkenalkan beberapa insentif bagi menggalakkan wanita kembali bekerja selepas melahirkan anak, termasuk program latihan semula dan sokongan penjagaan kanak-kanak.

Pengalaman negara-negara ini menunjukkan bahawa dasar perlindungan sosial yang inklusif bukan sahaja melindungi wanita daripada risiko sosial, malah mampu meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi negara.

Bagi Malaysia, beberapa langkah strategik boleh dipertimbangkan untuk memperkasakan kesejahteraan wanita pada masa hadapan.

Pertama, memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada pekerja sektor tidak formal yang kini semakin berkembang.

Kedua, memperkukuh sokongan penjagaan keluarga melalui penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang lebih meluas dan mampu milik.

Ketiga, meningkatkan program literasi kewangan dan perancangan persaraan khusus untuk wanita supaya mereka lebih bersedia menghadapi kehidupan selepas persaraan.

Keempat, memastikan setiap dasar sosial dan ekonomi yang digubal mengambil kira perspektif gender agar tiada golongan wanita yang tercicir daripada sistem perlindungan sosial negara.

Akhirnya, sambutan Hari Wanita Sedunia seharusnya bukan sekadar tarikh yang diraikan begitu sahaja.

Ia sepatutnya menjadi peringatan bahawa kesejahteraan wanita merupakan tonggak kepada kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

Apabila wanita dilindungi daripada risiko kemiskinan, penyakit, kehilangan pekerjaan dan ketidakstabilan ekonomi, mereka mampu menyumbang dengan lebih aktif kepada pembangunan keluarga, komuniti dan negara.

Dalam erti kata lain, memperkukuh perlindungan sosial wanita bukan sekadar membantu separuh daripada populasi negara.

Ia sebenarnya merupakan pelaburan penting bagi menjamin masa depan Malaysia yang lebih inklusif, adil dan sejahtera.

Kerana apabila wanita sejahtera, negara juga akan turut sejahtera.

-- BERNAMA

Dr Suhaimi Abd Samad Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban

Dr Shamshimah Samsuddin Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Shah Alam.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)