Oleh: Dr Kartini Kamaruzzaman dan Dr Eizan Azira Mat Sharif
Naratif MADANI mengejar matlamat Malaysia sebagai sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati dan menyemai sikap ihsan antara satu sama lain. Ia juga menerapkan laungan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam menyumbang kepada kesejahteraan negara dan bangsa, baik secara fizikal mahupun aktiviti yang dilakukan di dalam talian. Agenda untuk membangun Malaysia Madani dan menumpukan aktiviti-aktiviti yang dapat menyelesaikan masalah dalam memenuhi keperluan masyarakat. Ini termasuklah mengenal pasti potensi aktivisme yang baik dan memperkasakan masyarakat agar proaktif, berdaya cipta dan kreatif.
Aktivisme dalam talian pula boleh ditakrifkan sebagai aktiviti melalui penggunaan teknologi dan komunikasi elektronik. Aktivis dalam talian boleh menggunakan Internet dan gajet sebagai wadah untuk menyebarkan maklumat dan mengajak pengguna untuk melakukan tindakan memandangkan keupayaannya untuk menjangkau khalayak ramai merentasi sempadan dengan serta-merta. Pelbagai aktiviti dalam talian yang positif dapat menyumbang kepada pemerkasaan aktivis digital seperti mendokong aktiviti kemanusian, pengumpulan dana bagi yang memerlukan ketika berlaku bencana alam, serta menyebarkan kesedaran tentang sesuatu perkara seperti kepentingan menjaga kesihatan mental.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh bahagian penyelidikan Statista pada tahun 2022, 91.7 peratus rakyat Malaysia adalah pengguna aktif media sosial. Ia menunjukkan jumlah yang besar kerana terdapat anggaran 29.9 juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia adalah pengguna media sosial. Justeru, penggunaan media digital termasuklah media sosial perlu dimanfaatkan sebaiknya.
Jika ditelusuri maksud media sosial, ianya ditakrifkan sebagai aplikasi berasaskan Internet yang dibina dengan asas pemikiran dan teknologi Web 2.0. Tujuannya bagi membolehkan penciptaan dan pertukaran isi kandungan sesama pengguna. Dalam erti kata lain, pengunaan media sosial dapat memudahkan pelbagai bentuk aktiviti seperti perkongsian idea, mendapatkan maklumat dan memberikan pendapat bersama komuniti maya. Justeru, apa yang kita lihat adalah keupayaan dan kepelbagaian aktiviti yang dilakukan secara dalam talian dengan menggunakan teknologi sangat berkait rapat dengan bentuk-bentuk aktivisme.
Tingkatkan Peranan Aktivis dan Pengguna Platform Digital
Walaupun aktivisme dalam talian banyak dibincangkan dengan isu seperti ‘hacktivism’ yang merujuk kepada penggodaman, terdapat aktivisme yang menjurus kepada perubahan masyarakat yang positif. Oleh yang demikian, aktivisme boleh disesuaikan dengan tujuan untuk memperkasakan masyarakat. Contohnya, dengan adanya kemudahan alat teknologi seperti telefon pintar dan Internet, setiap individu berupaya memainkan peranan sebagai agen barisan hadapan dalam konteks media digital.
Dalam erti kata lain, aktivis yang bergiat memperjuangkan hak asasi manusia kebiasannya didorong oleh tanggungjawab sosial dan perspektif untuk membentuk masyarakat yang lebih baik. Bentuk aktivisme seperti ini sudah tentu banyak mendapat tempias cabaran dalam aspek sosial ketika mereka berhadapan dengan isu dan permasalahan masyarakat. Di tahap tertinggi, aktivis memainkan peranan dalam memperjuangkan suara masyarakat dan berusaha mempengaruh polisi dan dimensi sosio-politik. Oleh yang demikian, adalah penting bagi seorang aktivis untuk mengimbangkan aktivisme yang dilakukan termasuklah keselamatan dalam penggunaan media digital.
Perlu diketahui bahawa penggunaan platform dalam talian seperti media sosial bagi tujuan aktivisme meliputi aspek mendapatkan pendapat awam dan reaksi pengguna dalam talian. Bagaimapun, aktiviti yang berlaku di alam maya ini boleh mengundang ancaman kepada kesejahteraan sosial kerana aktiviti interaksi yang berlaku di alam maya adalah sukar untuk dibendung. Data dari Pusat Penyelidikan Pew 2021, menyatakan ulasan dan pendapat terhadap sesuatu isu yang dilontarkan pengguna media sosial boleh bertukar menjadi penghinaan, ugutan dan gangguan jika dibiarkan tanpa tindakan.
Perkara ini lebih merisaukan apabila individu boleh melindungi identiti akaun media sosial yang digunakan dan menyebabkan maklum balas boleh diberikan oleh orang yang tidak dikenali atau tidak mempunyai identiti digital. Implikasinya boleh menyebabkan pengguna tidak mengambil tanggungjawab terhadap apa yang telah mereka lontarkan. Pada tahap yang lebih serius, individu boleh menjadi ekstreme dalam memberikan pendapat dan seterusnya memberi implikasi kepada kestabilan dan keharmonian masyarakat. Proses ini boleh mengakibatkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan kerana perbezaan pendapat yang tidak sihat yang mengakibatkan pecah belah, pergaduhan dan konflik.
Kitaran dari proses tersebut juga boleh mengakibatkan berlakunya ‘mentaliti mob’ yang menyumbang kepada pengaruh negatif kepada pengguna dalam talian apabila pengguna mula mempunyai kecenderungan untuk hanya memihak kepada satu pandangan dan menyerang pengguna dalam talian yang lain. Oleh yang demikian, aktivis dan individu yang mempunyai kecenderungan untuk melakukan aktivisme perlu memperjuangkan isu yang dapat merubah situasi masyarakat ke arah yang positif. Meskipun mempunyai harapan untuk mengubah pendapat individu lain, aktivis digital perlu melakukannya dengan kaedah yang berhemah agar keharmonian dan keselamatan masyarakat masih terbela. Ia seiring dengan rasional Malaysia MADANI yang menekankan sikap saling menghormati dan meraikan pendapat seperti melalui dialog peradaban.
Usaha Kolektif Pelihara Ketamadunan
Usaha kecil ini dapat membuka peluang kepada orang ramai untuk turut berfikir secara kritis tetapi positif di samping mengamalkan nilai-nilai murni sesama individu. Interaksi sosial melalui media digital tidak seharusnya melesapkan kualiti manusia yang positif dan menjunamkan erti ketamadunan. Sebaliknya, ia perlu diperkasakan secara kolektif dan berterusan agar aktivisme yang dilakukan adalah bermanfaat dan dapat mendidik masyarakat ke arah pembentukan adab dan akhlak yang baik.
Seperti yang disebutkan menerusi perspektif Islam bahawa akhlak bukan sahaja merujuk kepada budi pekerti, kelakuan, dan tabiat, ini adalah kerana ianya meliputi hubungan individu dengan penciptanya serta sesama makhluk yang lain. Individu yang baik bukan sahaja berkualiti dari sudut akhlak dan peribadi, tetapi berupaya menjadi agen sosial dalam merubah masyarakat ke peringkat yang lebih baik. Dalam dunia siber, pemerkasaan aktivis dan pengguna digital adalah penting dalam melahirkan masyarakat yang berpotensi memainkan peranan yang seimbang dalam dunia realiti dan maya agar tidak hanya dipandu oleh akal fikiran dan didorong hawa nafsu.
--BERNAMA
Dr Kartini Kamaruzzaman ialah Ketua Program bagi Program Komunikasi Media Baharu di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
Dr Eizan Azira Mat Sharif ialah Pensyarah Kanan bagi Program Komunikasi Media Baharu di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.