TINTA MINDA

KETAGIHAN GAJET SEMAKIN MEMBARAH?

08/06/2023 10:08 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Dr Mohd. Anuar Ramli

Perkembangan teknologi membawa pelbagai manfaat dan memberikan kemudahan kepada kehidupan manusia. Di sebalik manfaat tersebut, terselit keburukan apabila ia tidak digunakan secara berhemah. Pada masa kini, ketagihan gajet khususnya telefon pintar semakin parah dalam masyarakat. Ia telah menjadi fenomena biasa dalam berbagai situasi dan lokasi sama ada ketika di meja mesyuarat, meja makan, ruang berbual dan seumpamanya. Malahan ada ketikanya, orang yang tidak memegang gajet akan tampak pelik dan terasing.

Kebiasaannya, ketagihan gajet ini melibatkan peruntukan masa penggunaan gajet secara berlebihan yang membawa kepada kegagalan menjalankan rutin seharian, tidak mampu mengawal diri untuk menggunakan gajet, dan timbul rasa resah gelisah apabila tidak dapat menggunakan gajet. Dalam menggunakan gajet, kelompok yang ketagih biasanya terlibat dalam beberapa aktiviti. Pertama, melayari laman sesawang dan media sosial baharu dalam tempoh yang lama. Laman Youtube dan media sosial baharu seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan Twitter menjadi pilihan para pengguna.

Seterusnya, ketagihan melayari ruang seks siber dan pornografi siber. Ketiga, ketagihan berjudi dalam talian sama ada melibatkan pertaruhan, kasino dan seumpamanya. Keempat, obsesi membeli-belah atau transaksi harian yang ditawarkan dalam pelbagai platform dan akhirnya membuka ruang kepada gejala hutang. Kelima, terjebak dalam permainan “game” dalam talian secara berlebihan. Pada masa kini pelbagai permainan menjadi pilihan, umpamanya Mobile Legends, Clash of Clans, Minecraft, PUBG dan lain-lain.

Gejala ketagihan gajet

Gejala ketagihan ini semakin meruncing kerana ia merangkumi pelbagai peringkat umur. Bukan kanak-kanak sahaja yang terjebak, malah golongan remaja, dewasa dan tua turut terlibat dalam aktiviti gajet. Dalam situasi bersama dengan pasangan masing-masing, anak-anak dan kawan-kawan, kelompok ini turut aktif bermain gajet tanpa mempedulikan orang di sekeliling. Sedangkan ketika pandemik COVID-19 melanda tempoh hari, ramai pihak yang mengeluh kerana tidak dapat berkomunikasi atau berbual secara bersemuka. Namun begitu, nikmat bersemuka ini telah disia-siakan apabila masing-masing duduk bersama tetapi berkomunikasi dengan orang yang tidak berada di depan mata.

Alangkah ruginya nikmat masa bersama insan yang tersayang tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya. Sewajarnya, hargailah apa dan siapa yang berada di depan mata kerana peluang dan kesempatan tersebut tidak akan berulang. Kadangkala, ada orang yang ramah dalam dunia media sosial tetapi menjadi pendiam apabila berada berhadapan. Keadaan ini jika dibiarkan akan menyebabkan suasana komunikasi menjadi hambar, ada pihak yang terasa hati, rasa tidak dipedulikan dan akhirnya hubungan keakraban akan makin longgar dan terlerai.

Selain daripada menimbulkan dampak antisosial, ketagihan gajet juga memberi kesan terhadap kesihatan diri. Pendedahan terhadap radiasi yang dikeluarkan oleh telefon pintar boleh membahayakan kesihatan, sistem kekebalan tubuh dan otak boleh terjejas. Bahkan cahaya yang berlebihan memberi kesan terhadap penglihatan. Ia melibatkan kerosakan saraf mata akibat pendedahan terhadap cahaya dari paparan skrin gajet. Dalam masa yang sama, ia juga boleh menyebabkan peningkatan kes rabun jauh (myopia).

Pada dasarnya, perbuatan ketagihan ini termasuk dalam perkara yang sia-sia. Dalam al-Quran, Allah telah menegaskan ciri-ciri orang yang berjaya, iaitu mereka yang meninggalkan perkara yang sia-sia. Dalam surah al-Mukminun, ayat 1-3, Allah SWT telah berfirman: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (1), Iaitu mereka yang kusyuk dalam sembahyangnya (2), Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia (3).

Dalam hadis Nabi SAW, baginda menegaskan tentang indikator kesempurnaan keislaman seseorang adalah dengan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah. Sabda Rasulullah SAW: Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya). (HR al-Tirmizi)

Di samping itu, ketagihan juga boleh menjerumuskan diri dalam kebinasaan apabila mengakibatkan kesan negatif terhadap hubungan sosial, tanggungjawab, kesihatan tubuh badan dan penglihatan. Dalam surah al-Baqarah, ayat 195, Allah SWT berfirman: dan janganlah kamu mencampakkan diri ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri. Dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Apa yang jelas, ketagihan gajet merupakan satu penyakit sosial yang sedang menular dan ia perlu dirawat. Sebagai pengguna, jangan diperhambakan oleh kepintaran teknologi. Manusia adalah makhluk yang sempurna dan dibekalkan dengan akal. Mereka perlu berperanan sebagai khalifah Allah dan perlu bertindak lebih pintar dari teknologi pintar. Selari dengan itu, literasi kemahiran teknologi pintar yang mampan perlu diperkenalkan kepada para pengguna agar ia mampu menjadi pemangkin kepada generasi celik teknologi dan penyuluh dalam menangani gejala ketagihan gajet.

Selain itu, kepimpinan melalui tauladan perlu ditunjukkan oleh ibu bapa dan mereka yang lebih berusia. Proses sosialisasi primer dalam lingkungan keluarga perlu diperkasa untuk membentuk generasi yang sihat dan pintar teknologi, agar generasi kanak-kanak mampu untuk menguruskan kepintaran teknologi dalam memudahkan urusan kehidupan mereka. Paradoksnya, jika golongan yang lebih berusia turut candu dengan gajet dan tidak mampu menunjukkan contoh yang baik, justeru generasi kanak-kanak gagal mendapat contoh yang baik dalam proses tumbesaran.

Pada masa yang sama, sikap antisosial perlu ditangani dengan sebaiknya agar hubungan baik yang terjalin tidak menjadi hambar. Sepatutnya teknologi menjadi pengerat hubungan, tetapi sebaliknya berlaku. Jadi, hargailah kualiti masa bersama dan fokuslah aktiviti bersama dengan pasangan, anak-anak dan rakan-rakan. Jangan membuka ruang komunikasi lain dalam gajet ketika bersama dengan pihak lain secara fizikal.

Tegasnya, ketagihan gajet ini melibatkan pembaziran masa yang banyak disebabkan peruntukan masa yang berlebihan pada perkara tidak berfaedah, malah boleh menimbulkan rasa gelisah jika tiada gajet di tangan dan boleh mengundang amukan jika tiada talian internet. Sehubungan itu, jadilah warga pengguna yang pintar dalam menguruskan kepintaran gajet agar kesihatan mental kita terpelihara dan kesihatan fizikal turut terjaga.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli ialah Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)