TINTA MINDA

PERPADUAN TERAS MALAYSIA MADANI

20/07/2023 09:27 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: JAKIM

Perpaduan merupakan tunjang kepada Masyarakat Madani, yang maju bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian. Sekiranya Allah berkehendak, nescaya semua manusia dijadikan-Nya satu umat sahaja, namun sebaliknya Allah hendak menguji manusia dengan mencipta segala kepelbagaian. Justeru wujud kepelbagaian keupayaan dan keinginan, profesion dan pekerjaan; dan manusia diseru agar berlumba-lumba berbuat kebajikan (al-Ma’idah, 5:48), bukan merosakan dan bermusuhan antara satu dengan yang lain.

Perbezaan gender dan kepelbagaian bangsa diberikan matlamat yang mulia dalam ayat universal surah al-Hujurat, 49: 13,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)”

Ukuran kemuliaan: Ilmu, akhlak dan jasa

Kriteria kemuliaan ialah ketaqwaan, terdiri daripada ilmu, akhlak, adab dan jasa ikhlas membangun peradaban bangsa. Kuasa, pangkat, harta dan warna kulit bukan ukuran Islam. Dalam praktis Nabi SAW dan para sahabat di Madinah, tidak wujud penganiayaan berdasarkan kaum kelahiran atau warna kulit. Bahkan sejarah merakamkan dengan tinta emas, bagaimana seorang Islam yang berkulit coklat dan berhidung pesek mungkin saja meraih taqwa, kemuliaan, dan kepimpinan masyarakat Madinah, seperti Bilal bin Rabah.

Seorang bekas abdi kulit hitam yang bernama Zayd bin Harithah pula telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW, dan diambil sebagai anak angkat. Beliau satu-satunya sahabat yang mendapat penghormatan namanya disebut secara langsung dalam al-Qur’an (al-Ahzab, 33:37). Hasil perkahwinannya dengan Umm Ayman Barakah yang juga bekas hamba yang dimerdekakan ialah seorang putera yang bernama Usamah. Beliau dilantik Nabi SAW menjelang kewafatannya sebagai pemimpin kepada angkatan tentera yang membariskan tokoh ternama Quraisy seperti Abu Bakar, ‘Umar, Khalid ibnul Walid, Abu ‘Ubaydah, Talhah, dan Zubayr.

Demikian pelaksanaan seruan Perpaduan dalam surah al-Nisa’ (4:1),

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِي وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Ayat tersebut memberikan panduan bahawa meskipun wujud kepelbagaian, namun masing-masing tetap ada kewajiban untuk mengusahakan perpaduan dengan yang lainnya, berdasarkan kepada hakikat sifat kemanusiaan, sama seketurunan dicipta-Nya daripada tanah daripada satu bapa dan ibu iaitu Adam dan Hawa’, sama-sama bersaudara biologikal seolah-olah abang, kakak dan adik beradik.

Masyarakat Madani mampu mencapai kemajuan yang seimbang tanpa perlu membelakangkan orang yang berlainan warna kulit, berlainan kaum, berlainan bahasa, atau berlainan jantina.

Saling Kenal Mengenali (Taʿāruf)

Ke arah memperkukuh masyarakat Madani yang membangun dari segi kecerdasan dan hati, sains, teknologi dan telekomunikasi, kita wajib untuk saling mengenali. Li-taʿārafū, bahawa kesemua suku kaum dan bangsa, individu lelaki dan wanita, semua ialah satu keluarga manusia yang mulia, yang perlu hormat-menghormati dan saling melindungi satu sama lain.

Kita harus menghargai perpaduan manusia yang hakiki, yang lebih utama daripada perbezaan luaran. Perbezaan luaran hanyalah semacam label untuk memudahkan kita mengenal ciri dan sifat-sifatnya, bukan untuk melakukan kezaliman dan penindasan.

Nilai-nilai penting masyarakat seperti keamanan, kedamaian dan ketenteraman adalah antara anugerah tertinggi daripada Tuhan. Islam mewajibkan hubungan sesama manusia berdasarkan rasa belas ehsan, kemesraan dan setia kawan. Ia menggalakkan sifat berlapang dada, saling memaafkan kelemahan, bermurah hati, ramah tamah, dan sukacita apabila orang lain meraih kejayaan dan kemakmuran.

Rasulullah SAW menganjurkan berbelas kasihan dan sopan santun dalam perhubungan. Sabdanya, “Daripada Anas bin Malik Ra, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [Riwayat al-Bukhari (13)].

Dalam kesempatan lain, Baginda SAW menasihatkan, “Sesiapa yang tidak sayang kepada manusia, tidak disayangi (oleh Allah)” (riwayat al-Bukhari) dan,”Hati itu cinta kepada mereka yang baik kepadanya dan benci kepada mereka yang menyakitinya” (riwayat al-Bayhaqi).

Justeru, kata-kata hikmah yang menyebut “Cintakan watan sebahagian daripada iman” tidak lain tidak bukan merujuk kepada faktor belas ehsan kepada golongan fakir miskin yang tidak berdaya dan kasih sayang sesama saudara senegara.

Perpaduan Antara Kaum dan Bahasa

Menurut sejarah, Malaysia terletak dalam kawasan yang dahulunya adalah sebahagian daripada kerajaan Alam Melayu Islam sebelum zaman penjajahan kuasa-kuasa barat seperti Portugis dan Belanda. Mulai akhir abad ke-18 hingga 19, kita dijajah oleh Inggeris (oleh Jepun antara tahun 1942-1945). Dasar utama Inggeris adalah menggalakkan kedatangan kaum Cina dan India untuk bekerja di negara ini, sebagai pembekal barangan keperluan atau komoditi kepada British dan negara-negara barat yang sedang pesat mengalami revolusi industri.

Apabila kita merdeka sebagai Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1957, dan dengan pembentukan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak dalam tahun 1963, maka negara kita sekarang ini mempunyai komposisi kaum yang unik lagi istimewa, yang mencerminkan bangsa besar dunia. Bayangkan bahawa untuk setiap 10 orang di Malaysia terdapat lima orang Melayu, seorang Bumiputera lain (seperti etnik Siam, dan peribumi Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Bajau), dua orang Cina, seorang India, dan seorang lain-lain.

Dari sini terbayang kepelbagaian bahasa: tahukah kita, bahawa warga Malaysia seluruhnya bertutur dalam sejumlah 137 bahasa hidup? Sementara bahasa kebangsaan berperanan menyatukan kita, Malaysia turut diperkayakan dengan bahasa Iban, Dusun, Tamil, dan pelbagai bahasa daerah selatan China seperti Hokkien, Hakka, Kantonis, Teochew, Fuchow dan Hainan. Justeru peranan bahasa kebangsaan yang amat penting untuk menjadi saluran perhubungan yang sejahtera pada peringkat nasional.

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berilmu” (al-Rum, 30: 22).

Mari bersama kita syukuri, dalam kesungguhan mendaulatkan bahasa kebangsaan bahasa perpaduan, tiada bahasa dan bangsa yang dinafikan ruang dan peluang yang seadilnya.

Perpaduan Antara Penganut Agama

Agama-agama lain di dunia juga hidup bertumpu di Malaysia seperti Kristian, Hindu, Buddha, dan ajaran Lao Tzu dan Kung Fu Tzu. Sebagai menghormati kepercayaan yang pelbagai, Perlembagaan Malaysia menjamin kebebasan beragama, sungguhpun Islam selaku agama yang paling ramai penganutnya merupakan agama bagi Persekutuan.

Keamanan dan rukun damai amat penting, kerana untuk tiap 10 orang warga Malaysia terdapat enam orang Islam, dua orang Buddha, seorang Kristian, dan seorang agama-agama lain, seperti Taoisme, Hinduisme, Sikhisme, dan pelbagai lagi. Keadilan dan kesaksamaan turut merangkum kepelbagaian dalam sistem kehakiman: Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah, dan Mahkamah Anak Negeri di Sabah dan Sarawak.

Allah melarang kita daripada menghina benda-benda sembahan penganut agama lain, kerana akan menimbulkan kemarahan, dendam dan kedengkian, hingga mereka membalas menghina Allah secara yang melampaui batas permusuhan dan dengan ketiadaan pengetahuan (al-An'am, 6: 108).

Jelas bahawa sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dalam kezaliman, bermusuhan dan saling membenci tidak wajar digalakkan di bumi bertuah ini. Aset kita yang paling mahal ialah warga Malaysia yang mengutamakan kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran untuk menongkah masa depan, selaras dengan tema pada kali ini, iaitu “Perpaduan Teras Malaysia Madani”.

--BERNAMA

Sumber : JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)