TINTA MINDA

JALUR GEMILANG BERKIBAR MEGAH TINGKAT SEMANGAT KEMERDEKAAN

30/08/2023 09:24 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurulisyaliza Othaman

Ujian dan cabaran datang silih berganti tidak dapat kita tepis. Apa yang perlu kita lakukan adalah menghadapinya dengan tenang dan matang. Pelbagai ujian getir yang perlu dilalui oleh nenek moyang kita sebelum berjaya mencapai kemerdekaan. Kejatuhan negara di tangan penjajah juga sesuatu yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh setiap generasi lama yang melaluinya. Sebagai generasi baharu di zaman serba maju ini janganlah kita melupakan cabaran yang dihadapi mereka di zaman lalu. Jiwa kemerdekaan perlu terus subur dan mekar dalam setiap diri anak bangsa kini.

Tahun ini, tema hari kebangsaan ialah ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil pada 27 Mei 2023. Sehubungan itu, antara perkara utama yang perlu dihayati daripada tema tersebut adalah perpaduan, menyatukan rakyat tidak kira dalam apa jua aspek.

Bersatu teguh, bercerai roboh. Keteguhan ikatan perpaduan juga merupakan tonggak utama kemasyarakatan. Kita telah hidup dalam sebuah negara dengan keunikan berbilang bangsa penuh keharmonian selepas mencapai kemerdekaan. Justeru, bersesuaian dengan tema kemerdekaan 2023, perpaduan amat penting dalam mencapai kesepakatan demi kemakmuran rakyat berbilang bangsa. Satu daripada harapan Malaysia Madani juga adalah perpaduan untuk memastikan rakyat mencapai kemajuan berteraskan pencapaian yang baik melalui budaya bangsa, kesejahteraan dan sikap saling hormat menghormati.

Jalur Gemilang - kemegahan dan kedaulatan

Kibaran Jalur Gemilang tatkala tibanya bulan kebangsaan adalah sangat penting. Lihat sahaja negara-negara lain seperti Indonesia, bendera negara meriah menghiasi sepanjang jalan tidak kira sama ada di bandar atau di kampung ketika sambutan bulan kebangsaan. Jalur Gemilang merupakan kemegahan kita yang patut dikibarkan dengan menghayati maksud sebenar kemerdekaan. Usah hanya mengibarkannya dalam bentuk poster di alam maya. Marilah kita bersama mengibarkannya, tanda kasih sayang dan penghormatan sebagai generasi masa kini terhadap pengorbanan generasi terdahulu demi mencapai sebuah kemerdekaan.

Bagi yang belum maklum tentang nama Jalur Gemilang, sumber daripada Jabatan Penerangan Malaysia menjelaskan Jalur Gemilang adalah nama rasmi yang diberikan kepada Bendera Malaysia. Pengisytiharan nama baharu Bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang telah diadakan pada 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara oleh Perdana Menteri Malaysia keempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Jelasnya, lambang jalur pada bendera menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama rakyat negara ini. Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh itu, Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.

Warna merah pada jalur pula melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan, manakala biru pula melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai. Warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.

Penghormatan yang tinggi harus diberikan kepada setiap Jalur Gemilang yang dikibarkan kerana ia adalah suatu simbolik yang amat kuat dan membawa maksud kemerdekaan buat sebuah negara. Jangan dipandang setiap Jalur Gemilang itu seperti kain biasa yang dikibar sebagai hiasan. Integriti diri kepada setiap Jalur Gemilang harus ada supaya penghormatan terhadapnya terus terpelihara.

Sekiranya terlihat Jalur Gemilang yang dikibarkan terjatuh atau terputus tali pengikatnya, segeralah diangkat dan letakkan ia di tempat yang paling baik di kawasan tersebut. Usah hanya melihat ia terhampar di lantai dan berlalu pergi tanpa perasaan patriotik. Walaupun hanya perbuatan kecil yang mungkin pada masa tersebut tiada penghargaan diberikan, kita sepatutnya berbangga kerana semangat patriotik yang kuat dan subur dalam diri.

Jadikan amalan kibar Jalur Gemilang

Amalan mengibar bendera di bulan kemerdekaan sepatutnya diteruskan dengan lebih giat lagi. Sejak kemerdekaan dicapai, rakyat negara ini memang sudah biasa menyambutnya dengan hiasan bendera yang sangat banyak dipasang terutamanya di premis perniagaan sama ada di bandar atau kampung. Kemeriahan pemasangan Jalur Gemilang itu ada kalanya membuatkan kita tercari-cari pintu kedai dan bangunan yang dikunjungi.

Perkara yang mungkin dianggap remeh hanya berkaitan kibaran bendera, namun sebenarnya membawa seribu makna dan semangat buat rakyat Malaysia. Ibu bapa dan pendidik sepatutnya mengambil peluang ini dengan menerapkan pengetahuan dan semangat kemerdekaan kepada anak-anak kecil daripada kempen kibaran Jalur Gemilang.

Selain itu, kibaran Jalur Gemilang ini juga sebenarnya perlu bermula lebih awal di bulan kemerdekaan iaitu sejak awal bulan Ogos. Ini supaya kita dapat memberi motivasi dan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam diri setiap rakyat Malaysia tanpa mengira golongan. Jalur Gemilang juga merupakan simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia.

Kibaran Jalur Gemilang turut membantu mengukuhkan semangat perpaduan dan nilai-nilai penghormatan terhadap negara yang dicintai. Ia juga menandakan era kemerdekaan akan terus ke hadapan seiring dengan pemikiran sebagai rakyat yang moden dan matang. Rakyat tanpa mengira bangsa dan negara harus kekal teguh dan terus bergerak ke hadapan bagi mencapai inspirasi dan harapan yang gemilang. Segala persengketaan harus dielakkan agar rakyat dan negara terus maju seiring dengan negara-negara maju di luar sana berserta kejayaan dan perpaduan yang teguh.

Ayuh rakyat Malaysia kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat kemerdekaan. Selamat Hari Kemerdekaan Negaraku Malaysia yang ke-66.

--BERNAMA

Nurulisyazila Othaman ialah Guru Bahasa Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)