TINTA MINDA

FUNGSI ICT DALAM KESELAMATAN MAKANAN MASYARAKAT MISKIN BANDAR

11/10/2023 11:16 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Raseeda Hamzah dan Dr Khairunnisa Abd Samad

Keselamatan makanan adalah hak setiap individu untuk memastikan makanan yang diperolehi berkhasiat, selamat dan mudah didapati. Antara sumber makanan yang diperlukan dalam diet seharian manusia adalah sayur-sayuran. Kesibukan warga kota yang terpaksa bekerja dari awal subuh hingga malam mengakibatkan kebanyakan mereka terpaksa memakan makanan yang kurang sihat dan bernutrisi dengan membeli di gerai-gerai makanan. Ini adalah kerana makanan tersebut lebih mudah didapati dan murah.

Hasil pemerhatian mendapati harga sayur-sayuran telah meningkat dengan drastik sebanyak 50 peratus sehingga menyebabkan ia menjadi bukan makanan pilihan penduduk miskin bandar. Bagi mereka, cukuplah sekadar memakan makanan yang mengenyangkan ahli keluarga. Kepentingan nutrisi diabaikan sedangkan ianya penting untuk memastikan setiap rakyat hidup sihat untuk menjalankan aktiviti dan fungsi masing-masing.

Kesihatan rakyat merupakan antara teras yang penting ke arah negara yang lebih maju. Ini kerana setiap rakyat menyumbang tenaga ke arah produktiviti sesuatu organisasi yang menjadi komponen dalam pembangunan negara. Mengikut seorang penyelidik Zahanim Ahmad dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, isu-isu golongan miskin di bandar perlu ditangani dengan lebih serius kerana 60 peratus daripada penduduk negara tinggal di kawasan bandar. Penduduk yang kurang pendapatan, cenderung membeli makanan yang kurang bernutrisi tinggi disebabkan harga yang lebih murah.

Sekuriti makanan

Sekuriti makanan tidak boleh lagi dilihat sebagai satu entiti individu. Ianya perlu penambahbaikkan dengan menggabungkan kepelbagaian kepakaran. Dasar kebangsaan mengenai Industri 4.0 merangkumi teknologi yang menggabungkan data raya, sensor dan hubungan antara sensor serta teknologi kepintaran buatan. Dengan menggunakan satu daripada teknologi yang dinamakan internet of things (IoT) yang terdapat dalam agenda IR4.0 dalam bidang agroteknologi dapat memperkasakan ilmu dan kebolehan golongan miskin bandar untuk memaksimumkan hasil tanaman mereka dengan pemantauan sangat minimum.

Ini kerana, kebolehan utama teknologi IoT adalah pemantauan sesuatu sistem secara automatik. Contohnya, dalam konteks tanaman, IoT dapat membantu petani menghidupkan sistem penyiraman air dan pembajaan pokok dari jauh tanpa perlu berada di kawasan tanaman. Sistem ini telah dijalankan di beberapa negara maju seperti Singapura dan Jepun. Dengan menerapkan model ini, warga bandar dapat menerapkan sistem teknologi tanaman sayuran pintar dan membantu mereka menanam sendiri sayuran serta mengutip hasil tanaman dengan lebih efisien. Selain itu, ia boleh menjadi pendapatan pasif setiap warga kota dengan menjual hasil tanaman.

Satu kajian kes oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melalui kerjasama dengan penduduk pangsapuri Baiduri di Seksyen 7 Shah Alam dari tahun 2019 hingga 2021 dengan memberikan kit tanaman pintar. Kajian itu telah ditaja oleh Malaysian Technical Standards Forum Berhad (MTSFB) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Hasil dapatan menunjukkan penduduk di situ berharap projek itu dapat dikembangkan lagi. Mereka mendapati sistem itu memudahkan mereka memantau tanaman dan sayur-sayuran.

Melalui sistem tanaman pintar, beberapa alat pengesan elektronik telah digunakan untuk mengesan suhu udara persekitaran, kelembapan tanah dan keadaan pokok. Jika tanah terlalu kering, alat pengesan air akan menghantar data suhu ke internet untuk dianalisa. Sistem pintar di internet akan mengarahkan pengawal sistem siraman air untuk menyiram ke tanaman. Di dalam situasi ini, pengguna hanya perlu menekan butang di aplikasi telefon untuk mengarahkan sistem tanaman pintar membuat sesuatu aktiviti.

Walaupun populasi kemisikinan bandar semakin meningkat, dan tuntutan kesibukan bekerja untuk kelangsungan kehidupan tidak dapat dielakkan, ia bukanlah penamat untuk penduduk bandar terus berada dalam kemiskinan. Penduduk miskin bandar dapat meningkatkan keupayaan mendapatkan makanan lebih sihat dengan bantuan tanaman pintar di samping menjana pendapatan sampingan. Dengan teknologi informasi dan telekomunikasi di bawah IR4.0, pelbagai solusi dapat dirancang bagi mengatasi masalah yang timbul.

--BERNAMA

Dr Raseeda Hamzah ialah Pensyarah Kanan di Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka

Dr Khairunnisa Abd Samad ialah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)