TINTA MINDA

POTENSI DAN MASA DEPAN KECERDASAN BUATAN (AI) DALAM PEMBELAJARAN MASA KINI

20/11/2023 09:11 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Nur Hazilah Binti Omar

Kecerdasan Buatan (AI) merujuk kepada kemampuan komputer atau sistem komputer untuk melaksanakan tugas yang biasanya memerlukan kecerdasan manusia. Ia melibatkan penggunaan algoritma dan pemprosesan data untuk membuat komputer menganalisis data, membuat keputusan, menyelesaikan masalah, dan menghasilkan kerja yang optimum dan berkesan tanpa campur tangan manusia secara langsung.

Dalam konteks AI, kecerdasan merangkumi kemampuan seperti pemahaman bahasa manusia, pengenalan pola, pembelajaran, penyelesaian masalah, penjanaan idea, dan adaptasi terhadap persekitaran yang berubah. AI boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi, termasuk penglihatan komputer, pengenalan suara, pemprosesan bahasa semula jadi, robotik, dan banyak lagi.

Pemerkasaan Kecerdasan Buatan (AI)

Malaysia juga tidak ketinggalan dan sentiasa memberikan sokongan dalam pemerkasaan AI yang mana penggunaan AI semakin meluas seperti kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Per bandaran Ipoh menggunakan aplikasi robot dan AI di pasar raya Amanjaya Ipoh.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang juga ada menyatakan kod etika serta tadbir urus itu akan menjadi asas kepada pengawalseliaan AI dalam negara dan dijangka siap pada 2024. Ini termasuk proses pengawalan dan pemantauannya melibatkan pelbagai aspek seperti teknikal, perundangan, etika, polisi serta standard ataupun piawaian dalam penggunaan teknologi AI.

Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 mengandungi Tujuh Prinsip AI yang bertanggungjawab dan Tujuh Prinsip AI tersebut adalah senarai panduan bagi membimbing pembangunan AI yang dipercayai serta bertanggungjawab seterusnya dapat melindungi hak dan privasi seseorang individu daripada penyalahgunaan.

Kepentingan AI dalam pengajaran dan pembelajaran

Dalam konteks pembelajaran masa kini, AI merujuk pendidikan melibatkan penggunaan sistem komputer yang boleh memahami, menganalisis, dan merancang bahan pembelajaran serta pengalaman pembelajaran yang sesuai dengan keperluan individu pelajar. Ia juga merangkumi pembangunan perisian dan aplikasi yang membolehkan pelajar memanfaatkan teknologi AI untuk meningkatkan pemahaman, prestasi, dan pengalaman pembelajaran mereka.

AI boleh digunakan untuk personalisasi pembelajaran, menganalisis prestasi pelajar, memberikan maklum balas, memberikan bahan pembelajaran yang sesuai, dan mengoptimumkan proses pengajaran. Sebagai contoh penggunaan chatbots atau tutor maya untuk membantu pelajar dengan pertanyaan mereka dan memberikan sokongan tambahan selain dapat menjadikan pembelajaran lebih interaktif, dan memberikan akses kepada sumber-sumber pembelajaran yang lebih baik.

Kecanggihan aplikasi AI

Selain itu, aplikasi AI yang canggih mampu mengenal pasti dan menghuraikan ucapan dan tulisan. Ini memudahkan pelajar dengan kesukaran membaca atau mengeja untuk mengakses bahan pembelajaran. AI juga mampu mengenal pasti pelajar yang menghadapi kesulitan dalam pembelajaran dan memberitahu guru supaya mereka dapat memberikan sokongan tambahan pada peringkat yang sesuai. Bukan itu sahaja, dengan adanya AI, pembelajaran menjadi lebih interaktif seperti simulasi dan permainan yang membantu pelajar memahami konsep dengan lebih baik dan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan. Melalui akses kepada kursus dalam talian dan platform e-pembelajaran yang menggunakan AI, pelajar dapat terus meningkatkan pengetahuan mereka sepanjang hayat mereka.

Dalam persekitaran kolej atau universiti, AI dapat membantu pelajar mengoptimumkan jadual pembelajaran mereka dengan mempertimbangkan keutamaan dan keperluan mereka. AI telah membawa revolusi dalam cara kita belajar dan mengajar, ianya juga membolehkan pembelajaran dan pengajaran yang lebih efisien dan berkesan. Ia membantu pelajar meraih potensi maksimum mereka dengan menyediakan bahan pembelajaran yang sesuai dengan tahap mereka dan membantu mengatasi kesulitan yang mungkin mereka hadapi.

Cabaran AI dalam pendidikan

AI dalam pendidikan memberikan pelbagai cabaran dan isu-isu yang perlu diatasi untuk memastikan pengintegrasian yang berjaya. Beberapa cabaran utama dalam AI dalam pembelajaran yang mana sistem yang dibangunkan oleh AI ini menggunakan data yang boleh menyebabkan ‘bias’ terutama sekali dalam pengambilan keputusan. Ini boleh mencerminkan ketidakadilan dalam penilaian khususnya dalam sistem pendidikan.

Penggunaan AI dalam pendidikan melibatkan pengumpulan dan pemprosesan maklumat pelajar, yang mungkin menimbulkan risiko terhadap privasi dan keselamatan data. Keselamatan data peribadi pelajar perlu dijaga dengan cermat. Dari sudut etika dalam AI juga adalah penting. Ini termasuk isu-isu seperti penggunaan maklumat pelajar, kebolehan AI untuk memantau aktiviti pelajar, dan pengambilan keputusan yang berkaitan dengan penalti atau ganjaran. Kualiti perisian AI dalam pendidikan berbeza-beza, dan bukan semua produk AI adalah berkesan. Penggunaan AI dalam pendidikan mungkin memerlukan perubahan dalam peranan guru. Guru perlu berperanan sebagai pembimbing atau pengawas dalam konteks pembelajaran AI.

Ramai individu, terutamanya guru dan pelajar, mungkin memerlukan latihan untuk memahami cara mengintegrasikan AI dalam proses pembelajaran. Pendidikan kesedaran mengenai teknologi ini adalah penting. Kebergantungan dalam teknologi seperti AI ini mengurangkan keupayaan pelajar untuk mengembangkan kemahiran kritikal seperti penyelesaian masalah atau pemikiran secara kreatif dan kritis. Kesan daripada perkembangan AI juga boleh membawa kepada pengurangan pekerjaan dalam sektor pendidikan, terutamanya dalam tugas-tugas pentadbiran, pengurusan atau penilaian. Ini mungkin menimbulkan ketidakstabilan pekerjaan dalam sektor ini.

Teknologi kecerdasan buatan

Kecerdasan buatan merupakan teknologi yang memperlihatkan potensi besar dalam banyak bidang kehidupan, termasuk perubatan, perniagaan, pendidikan, dan penyelidikan. AI memberikan pengaruh kepada masa depan digital menggerakkan perkembangan dalam robotik, otomasi, dan pembelajaran mesin selain melibatkan proses menganalisis data dan pengambilan keputusan. Dalam pendidikan, AI membolehkan pembelajaran yang disesuaikan, membantu setiap pelajar mencapai potensi mereka.

Secara ringkasnya, AI adalah teknologi yang berpotensi untuk mengubah cara bekerja, belajar, dan hidup. Walau bagaimanapun, penggunaan AI memerlukan pertimbangan etika, privasi, dan keselamatan yang teliti, serta kesedaran yang baik dalam kalangan masyarakat. Dalam masa depan, kerjasama antarabangsa dalam mengendalikan teknologi ini dan menjaga kepentingan manusia adalah penting.

-- BERNAMA

Nur Hazilah Binti Omar ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)