NOTA KAMPUS

BELANJA BERHEMAH ELAK SIMPANAN BOCOR

22/11/2023 09:45 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Madya Ts. Dr Md Fauzi Ahmad

Dalam kehidupan yang semakin mencabar, penting bagi semua rakyat untuk menguruskan perbelanjaan dengan bijak dalam menghadapi kenaikan harga keperluan harian. Perbelanjaan berhemah dapat mengelakkan kebocoran simpanan dan menjaga keseimbangan kewangan dalam situasi ekonomi yang mencabar.

Menurut Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), sebanyak 84 peratus rakyat negara ini didapati hanya membuat simpanan jangka pendek dan mengeluarkan semula simpanan pada hujung bulan bagi menampung perbelanjaan harian.

Separuh daripada rakyat Malaysia tidak dapat menyimpan sebanyak RM1,000 untuk kegunaan ketika kecemasan disebabkan kurangnya pemahaman mengenai perancangan kewangan, manakala 76 peratus rakyat Malaysia mempunyai belanjawan, tetapi tidak semua benar-benar mematuhi belanjawan itu. Belanjawan mengurus perlu disusun dengan baik agar pendapatan yang diperoleh berupaya memberi manfaat sepenuhnya kepada seisi keluarga.

Sehubungan itu, rakyat perlu mengambil langkah bijak bagi menguruskan kewangan dengan berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat agar mampu mengawal perbelanjaan dan mengelakkan simpanan bocor dalam menghadapi kenaikan harga barang keperluan.

Simpanan

Pertama sekali, memberi keutamaan kepada simpanan adalah sangat penting. Dengan mengutamakan simpanan dapat memastikan bahawa sebahagian daripada pendapatan yang disimpan untuk kegunaan masa depan. Amalan ‘bayar diri sendiri dahulu’ membantu menghindari keinginan untuk menghabiskan keseluruhan pendapatan yang diperoleh. Selain itu, mengasingkan jumlah tertentu setiap bulan untuk simpanan dapat membina dana kecemasan dan menghadapi ketidakstabilan ekonomi atau keperluan yang mendesak.

Perancangan perbelanjaan

Kedua, penting untuk membuat anggaran perbelanjaan bulanan. Dengan menyediakan anggaran yang terperinci dapat melihat dengan jelas pendapatan dan perbelanjaan bulanan. Anggaran perbelanjaan seharusnya meliputi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pengangkutan, dan utiliti, serta perbelanjaan lain seperti hiburan, pakaian, dan hobi.

Dengan memperuntukkan jumlah yang sesuai untuk setiap kategori perbelanjaan dapat mengelakkan pembaziran dan menguruskan wang dengan lebih berkesan. Sebagai contoh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Aplikasi Mobil Belanjawanku bagi membantu menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan untuk isi rumah yang berbeza. Justeru itu, perancangan dan kawalan pembelian sangat penting supaya tidak boros berbelanja bak bidalan ‘ukur baju di badan sendiri’.

Senarai belanja

Seterusnya, penting untuk membuat senarai barangan sebelum berbelanja. Dengan membuat senarai yang terperinci dan mengikut keperluan sebenar dapat mengelakkan pembelian yang tidak dirancang. Senarai belanja itu membantu menetapkan fokus pada barang-barang yang benar-benar diperlukan dan mengelakkan pembaziran wang daripada membeli barangan yang tidak diperlukan. Perbelanjaan mengikuti senarai belanja itu akan membantu mengawal perbelanjaan dengan lebih baik dan efektif.

Bandingkan harga

Selain itu, penting juga untuk membandingkan harga dan membuat pembelian yang bijak. Sebelum membeli sesuatu barang, membandingkan harga di beberapa kedai atau dalam talian. Mengikut kajian, 75 peratus pengguna di Malaysia menggunakan platform e-dagang untuk membandingkan harga sebelum membuat pembelian.

Selain itu, selidiklah promosi dan tawaran terbaik sebelum membuat keputusan pembelian. Jangan tergesa-gesa atau terpengaruh oleh tawaran yang terlalu menggiurkan. Ambillah masa untuk membuat keputusan dan pastikan anda mendapatkan harga terbaik bagi sesuatu produk yang diperlukan terutamanya barangan keperluan yang mahal. Menerusi pembelian yang bijak, rakyat dapat mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.

Jimat tenaga

Selain itu, penjimatan penggunaan tenaga elektrik dan air perlu juga diberi perhatian. Pembaziran tenaga elektrik dan air dapat menyumbang kepada perbelanjaan bulanan yang tinggi. Rakyat juga perlu mengambil langkah-langkah mengurangkan penggunaan tenaga seperti mematikan peralatan elektronik yang tidak digunakan, menggunakan lampu jimat tenaga dan mengunakan air secara berhemah. Dengan mengurangkan penggunaan tenaga dan air, anda dapat mengurangkan bil-bil bulanan dan menjimatkan wang dalam jangka masa panjang.

Pengangkutan awam

Pengangkutan awam adalah pilihan yang bijak untuk menjimatkan perbelanjaan. Dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, keretapi, atau Transit Aliran Ringan (LRT) dapat mengurangkan kos bahan api, tol, dan bayaran tempat letak kereta. Selain itu, menggunakan pengangkutan awam juga mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan selain menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih berkesan.

Misalnya, bagi penduduk di kawasan bandar, kos dianggarkan bagi penggunaan kereta peribadi termasuk kos bahan api, tol, tempat letak kereta, dan penyelenggaraan boleh mencapai RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Manakala, menggunakan pengangkutan awam seperti LRT atau bas, kos harian boleh berada di bawah RM10 hingga RM20, bergantung kepada jarak perjalanan dan jenis perkhidmatan yang digunakan.

Jimat perbelanjaan makanan

Selain itu, langkah berjimat cermat adalah elemen penting dalam mengawal perbelanjaan. Kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menghabiskan purata RM800-RM1,200 sebulan untuk makanan di luar. Ada pelbagai cara untuk mengurangkan perbelanjaan harian dan menjimatkan wang. Contohnya, memasak di rumah dan membawa bekal ke tempat kerja atau sekolah dapat mengurangkan perbelanjaan makanan di luar.

Satu lagi cara adalah berbelanja mengikut keperluan sebenar dan jumlah yang diperlukan. Menggunakan teknik penyimpanan makanan yang betul, seperti membekukan makanan, juga boleh membantu mengurangkan pembaziran makanan. Kesedaran terhadap pembaziran makanan dapat mengawal perbelanjaan kita dengan lebih efektif.

Langganan dan keahlian yang tidak digunakan

Ramai individu melanggan pelbagai perkhidmatan dan keahlian yang tidak digunakan sepenuhnya. Menurut kajian, hanya 22 peratus rakyat Malaysia yang membuat penilaian semula terhadap langganan mereka. Meneliti semula keahlian ke pusat kecergasan, langganan televisyen kabel, atau perkhidmatan lain yang tidak digunakan sepenuhnya dapat membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan dan mengelakkan kebocoran simpanan.

Menguruskan hutang

Selain itu, jangan lupa untuk menguruskan hutang yang bijak. Hutang yang tidak terkawal boleh menyebabkan simpanan bocor dan memberi tekanan kepada kewangan. Jika mempunyai hutang, berusaha untuk membayarnya dalam masa yang ditetapkan. Elakkan membuat lebih banyak hutang yang tidak perlu dan pertimbangkan cara untuk mengurangkan atau menguruskan hutang yang sedia ada.

Gaya hidup sederhana

Gaya hidup sederhana adalah salah satu cara yang efektif untuk mengawal perbelanjaan dan mengelakkan kebocoran simpanan. Dengan mengamalkan pembelian yang tidak diperlukan kita dapat berjimat dan meningkatkan simpanan.

Mengutamakan keperluan berbanding kehendak, memperbaiki dan menggunakan semula barang, serta mengamal gaya hidup minimalis juga dapat membantu mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Gunakan barang-barang yang dimiliki dengan sepenuhnya. Dengan menjalani gaya hidup sederhana dapat mengenal pasti keperluan sebenar dan melindungi simpanan daripada kebocoran yang tidak diingini.

Gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat tidak hanya memberi manfaat kepada kesihatan, tetapi juga dapat menjimatkan perbelanjaan. Mengikut kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, mengamalkan pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal dapat mengurangkan risiko penyakit kronik seperti jantung, diabetes, dan obesiti. Dengan mengurangkan risiko penyakit dapat mengurangkan kos rawatan perubatan jangka panjang. Mengamalkan gaya hidup sihat bukan sahaja memberi manfaat kepada kesejahteraan diri, tetapi juga kepada kesejahteraan kewangan.

Pendapatan tambahan

Terakhir, penting untuk mencari pendapatan tambahan jika diperlukan. Dalam menghadapi kenaikan harga keperluan, kadang-kadang pendapatan sedia ada mungkin tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang meningkat. Semua rakyat perlu mencari peluang untuk mendapatkan pendapatan tambahan, seperti menjalankan perniagaan sampingan atau mencari pekerjaan separuh masa. Pendapatan tambahan itu dapat membantu menangani kenaikan harga dan menjaga simpanan daripada bocor.

Perbelanjaan berhemah kunci keseimbangan kewangan

Dalam menghadapi kenaikan harga keperluan, perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat adalah kunci untuk menjaga keseimbangan kewangan dan mengelakkan simpanan bocor. Dengan menyediakan anggaran perbelanjaan, membandingkan harga, membuat senarai belanja, mengurus hutang, gaya hidup sederhana, dan mencari pendapatan tambahan dapat menghadapi kenaikan harga dengan lebih bijak. Di samping itu, mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat akan membantu menjaga keseimbangan kewangan dan melindungi simpanan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Setiap individu mempunyai keperluan kewangan yang berbeza-beza berdasarkan keperluan dan gaya hidup masing-masing. Kemampuan kewangan juga berbeza bergantung kepada pendapatan, perbelanjaan, dan tanggungjawab kewangan individu tersebut.

Selain itu, adalah penting untuk menguruskan kewangan dengan bijak dan menyesuaikan dengan kemampuan dan keperluan individu masing-masing. Paling penting, rakyat juga perlu sentiasa mengawasi poket pendapatan agar tidak membuat perbelanjaan melebihi pendapatan yang diterima.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts. Dr Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah Kanan dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)