PENA WANITA

MIGRASI AKIBAT ANCAMAN IKLIM

31/01/2024 09:49 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman

Perubahan iklim merupakan antara cabaran terbesar penduduk di seluruh dunia kerana ia menjejaskan hampir semua aspek dalam masyarakat dan alam sekitar. Kesan perubahan iklim menimpa secara tidak seimbang ke atas negara membangun serta komuniti miskin dan terpinggir, walaupun pada hakikatnya merekalah yang paling kurang menyumbang kepada perkara itu. Pilihan yang ada ialah sama ada bertahan dengan berubah kepada mata pencarian lain yang lebih sesuai dengan ‘iklim baharu’ atau berpindah ke tempat lain untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga April 2021, jumlah penduduk yang bermigrasi akibat ancaman iklim meningkat menjadi 21.5 juta orang. Laporan Bank Dunia berjudul ”Groundswell Part II” turut menyebutkan, tanpa adanya strategi dan tindakan berkesan dalam menangani isu perubahan iklim, pada tahun 2050 dijangkakan sebanyak 216 juta orang di enam wilayah akan bermigrasi. Ini melibatkan 86 juta orang di Sub-Sahara Afrika, 49 juta di Asia Timur dan Pasifik, 40 juta orang di Asia Selatan, 19 juta di Afrika Utara, 17 juta orang di Amerika Latin serta 5 juta orang di Eropah Timur dan Asia Tengah. Laporan yang sama turut menyatakan antara tahun 2008 hingga 2018, berlaku peningkatan migrasi global akibat meletusnya pelbagai bencana yang diakibatkan oleh fenomena perubahan iklim: tanah runtuh dan gempa bumi (0.37%), letupan gunung berapi (0.45%), peningkatan suhu ekstrem (0.4%), kebakaran hutan (0.61%), gempa bumi (12.23%), taufan dan puting beliung (34.5%) dan banjir (50.6%). Namun, isu migrasi yang diakibatkan oleh perubahan iklim ini sering kali terabai dalam strategi menghadapi perubahan iklim.

Ancaman perubahan iklim

Perubahan iklim membawa kesan yang serius kepada dunia. Saintis dari Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) meramalkan menjelang tahun 2100, pemanasan laut dan pencairan glasier kerana fenomena pemanasan global dan perubahan iklim boleh meningkatkan aras laut kepada 7-23 inci. Selain itu, kenaikan suhu permukaan laut membuat terumbu karang rosak dan arah arus laut berubah. Keadaan ini kemudiannya mengubah pola migrasi ikan di laut dan mempengaruhi penghasilan nelayan.

Peningkatan suhu permukaan laut juga menyebabkan genangan air laut meluas dan membuatkan wilayah pesisir lebih sering mengalami hakisan lalu memudahkan kenaikan air laut ke daratan sehingga mengancam penduduk dan hidupan. Lantaran itu di seluruh dunia, masyarakat yang menghuni kawasan persisiran pantai dan infrastruktur yang menyokong mereka seperti bangunan dan rumah, jalan, pelabuhan dan loji rawatan air boleh terjejas kerana berpotensi terdedah kepada banjir atau ribut kuat yang merosakkan. Di kawasan mendatar pula, pantai mungkin beralih beberapa kilometer ke kawasan dalaman manakala bencana seperti banjir dan kemarau boleh menjadi lebih kerap dan teruk.

Perubahan iklim turut mengakibatkan terjadinya pergeseran musim yang menyebabkan bencana kekeringan dan penggurunan yang terjadi akibat musim kemarau akan berlangsung lebih lama dari waktu normalnya. Kesan kekeringan ini telah dirasai terutama di Afrika, Eropah, Amerika Utara dan Australia dengan peningkatan kebakaran hutan dan gelombang haba ekstrem. Malah, peningkatan curahan hujan menjadi sangat tinggi pada saat musim hujan dengan waktu yang lebih singkat dari waktu normalnya, sekali gus menyebabkan bencana banjir dan tanah longsor lebih kerap.

Natijahnya, suhu bumi yang meningkat berdampak pada peningkatan penggunaan tenaga dan perluasan bencana penyakit dalam kehidupan manusia. Perubahan suhu memberi kesan kepada kelembapan tanah yang seterusnya boleh memberi kesan kepada kelangsungan kehidupan manusia merangkumi ekosistem semula jadi, pertanian dan bekalan makanan, hutan, sumber air, penggunaan tenaga dan pengangkutan. Pelepasan wap air yang berlebihan akibat peningkatan suhu juga menyebabkan ketersediaan air di permukaan Bumi menjadi terbatas. Peningkatan penggunaan tenaga dan penurunan penghasilan atau kegagalan tanaman pula dapat menyebabkan meningkatnya ancaman kelaparan.

Migrasi iklim

Pakar dan aktivis alam sekitar telah berulang kali menyuarakan kebimbangan mereka tentang isu pemanasan global. Hakikatnya, dunia kini amat terdedah kepada kesan perubahan iklim iaitu mengalami kesan buruk daripada krisis iklim seperti kemarau, banjir, suhu cuaca ekstrem dan peningkatan paras laut. Siapakah yang berpotensi melakukan migrasi diakibatkan perubahan iklim ini. Mereka adalah kelompok masyarakat menengah bawah, tinggal di kawasan yang tersenarai bakal menerima kesan bahaya perubahan iklim serta yang mata pencarian dan penghidupan mereka bergantung kepada alam.

Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) menganggarkan 1.2 bilion penduduk dunia boleh hilang tempat tinggal menjelang 2050 akibat bencana alam, justeru penghijrahan akibat iklim menjadi isu yang membimbangkan di seluruh dunia. Pada tahun 2022 sahaja, di benua Afrika lebih 7.5 juta pemindahan atau migrasi dalaman akibat bencana iklim direkodkan. Justeru berdasarkan anggaran laporan Bank Dunia 2021, tanpa adanya pelan tindakan iklim, di benua Afrika sahaja sehingga 105 juta orang dikhuatiri menjadi migran dalaman menjelang 2023 akibat pelbagai impak negatif perubahan iklim. Berdasarkan data Internal Displacement Monitoring Centre, sekitar 87.27% perpindahan penduduk antara 2008 hingga 2018 berlaku berkaitan dengan faktor cuaca atau iklim.

Namun Kajian oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik (ESCAP), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, kebanyakan negara di Asia serta Pasifik turut didapati tidak memiliki kelengkapan sewajarnya untuk menghadapi peningkatan cuaca ekstrem dan bencana alam susulan perubahan iklim. Situasi ini amat membimbangkan kerana, menurut Kendra Rinas iaitu Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), memandangkan Asia Tenggara dianggap sebagai antara wilayah yang paling terdedah kepada bencana alam, lebih ramai migran akan berhijrah antara negara di rantau ini mencari perlindungan daripada kesan perubahan iklim. Justeru, sebanyak 164 negara telah menandatangani Perjanjian Migrasi 2018 yang menjurus ke arah strategi mengurangi perpindahan penduduk diakibatkan oleh perubahan iklim. Namun, tidak ada jaminan bahawa perjanjian itu benar-benar dilaksana dan diterapkan.

Malah, di masa hadapan dijangkakan lebih ramai rakyat Malaysia akan berhijrah secara dalamam iaitu antara kawasan dalam negara dan ke luar negara akibat kesan perubahan iklim, menimbulkan kebimbangan sama ada Malaysia bersedia untuk berhadapan dengan cabaran ini. Hal ini kerana, semenjak 10 tahun kebelakangan ini, negara merekodkan peningkatan pelbagai bencana alam daripada segi kekerapan dan keseriusannya melibatkan antaranya tanah runtuh, puting beliung, banjir kilat dan suhu ekstrem.

Menangani isu migrasi iklim

Pelbagai ancaman akibat bencana alam menyebabkan penghijrahan akibat iklim menjadi isu yang membimbangkan di seluruh dunia. Justeru, sesetengah negara telah pun membangunkan dasar dan rangka kerja untuk menangani cabaran yang dikaitkan dengan kesan buruk perubahan iklim terhadap migrasi, tetapi usaha sedemikian secara keseluruhannya masih terhad. Bagi meningkatkan daya tahan dan penyesuaian dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dalam negara, kerajaan disaran melabur dalam infrastruktur, sistem amaran awal dan kesiapsiagaan bencana untuk meminimumkan kesan bencana alam. Memandangkan kebanyakan penghijrahan dan perpindahan berkaitan iklim pada masa ini berlaku dalam negara, kerajaan perlu mengguna pakai pendekatan komprehensif yang menghimpunkan respons secara luaran, termasuk dasar seperti pengurusan sempadan, visa, kemasukan dan penginapan serta penglibatan diaspora, dengan respons tertumpu kepada pengurangan risiko bencana, penyesuaian perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Natijahnya, kesan perubahan iklim semakin dirasai di Malaysia yang kini mengalami fenomena cuaca ekstrem seperti hujan lebat berterusan, panas yang membahang serta penurunan suhu di kawasan-kawasan tertentu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Situasi ini mencetuskan pelbagai bencana seperti banjir, termasuk banjir kilat pada skala besar serta kejadian tanah runtuh yang berlaku di seluruh negara tanpa mengira musim. Pada tahun 2022 misalnya, Malaysia merekodkan kerugian berjumlah RM622.4 juta, iaitu menyamai 0.03 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar akibat bencana banjir. Maka, penyelesaian berasaskan komuniti perlu ditingkatkan, dan bukannya ‘penyelesaian’ palsu yang didorong oleh sektor korporat seperti ‘pertanian pintar iklim’, atau ‘penyelesaian berasaskan alam semula jadi’ atas nama mencapai pengurangan ‘sifar pelepasan. Menyentuh mengenai kesedaran dan pendidikan, rakyat mesti dimaklumkan tentang kepentingan penyesuaian, pembinaan daya tahan, dan keperluan untuk menyokong, mengintegrasikan dan menerima migran iklim. Generasi muda misalnya perlu mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang migrasi, populasi migran, dan perhubungan migrasi dan perubahan iklim. Selain itu, adalah penting bagi belia untuk terlibat dalam perbincangan dan membuat keputusan berkaitan isu ini sebagai pemimpin masa hadapan. Akhirnya, semua lapisan masyarakat tanpa kompromi mesti mengubah cara hidup dengan menjadikan agenda kelestarian sebagai suatu kelaziman dalam kehidupan seharian demi meminimumkan impak perubahan iklim. Selain itu, amat penting untuk orang ramai memahami perubahan iklim, namun buat masa ini masyarakat berdepan cabaran dalam mengakses data yang boleh membantu mereka bersedia menghadapi impak fenomena itu.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman ialah Pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan / Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)