TINTA MINDA

TRANSFORMASI POLITEKNIK JAYAKAN AGENDA MALAYSIA MADANI

07/02/2024 10:36 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Mohd Zahari Ismail

                       

“Graduan kualiti amanah kami, Pensyarah kompeten Iz’zah kami, PolyCC Wadah kami, Memacu Destinasi Malaysia Madani”.

 

Bermula dengan kata-kata dan semangat baharu ini, politeknik dan kolej komuniti Malaysia bingkas bangun melonjak ke hadapan selari dengan arus perkembangan pendidikan tinggi negara. Transformasi politeknik merupakan inisiatif strategik yang bertujuan untuk merevolusikan peranan pendidikan politeknik dan kolej komuniti dalam membentuk landskap ekonomi. Dalam konteks mewujudkan ekonomi MADANI yang berfokuskan kepada kesejahteraan dan keadilan untuk rakyat, hasrat Malaysia MADANI sendiri berperanan penting dalam memupuk pembangunan mampan, keadilan sosial, dan amalan ekonomi yang beretika yang menjadi tonggak keharmonian rakyat.

 

 

Kemahiran praktikal dan latihan vokasional

 

Pendidikan di politeknik dan kolej komuniti yang bertumpu kepada kemahiran praktikal dan latihan vokasional turut berperanan sebagai asas untuk pembangunan ekonomi. Justeru, ke arah menggemilangkan wibawa pendidikan tinggi negara, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menumpukan kepada lima (5) fokus utama iaitu iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara; Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi; Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu; Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi; dan Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya.

 

Ke arah pencapaian gemilang ini, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersiap siaga untuk menjadi aspirasi kepada penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam menerajui penghasilan bakat yang lebih dinamik dan berketerampilan melalui transformasi politeknik. Transformasi Politeknik 2023-2030 yang bertemakan “Politeknik Unggul Pemacu Masyarakat Madani” dibangunkan untuk memperkukuh peranan politeknik Malaysia menjelang tahun 2030 bermula dengan Fasa 1 bagi projek quick wins dan pembangunan kapasiti, diikuti Fasa 2 untuk pengukuhan dan Fasa kelestarian yang bermula 2028 hingga 2030. 

 

 

Keusahawanan dan inovasi

 

Salah satu aspek penting agenda transformasi adalah penekanan kepada  keusahawanan dan inovasi. Politeknik digalakkan untuk memupuk budaya kreativiti dan pemikiran kritis, membolehkan pelajar menjadi pencipta pekerjaan bukan sekadar pencari pekerjaan. Dalam konteks ekonomi MADANI, semangat keusahawanan ini dipadankan dengan amalan perniagaan yang beretika, memastikan aktiviti ekonomi mematuhi prinsip integriti yang kukuh seperti keadilan, ketelusan, dan tanggungjawab sosial. Dengan mengintegrasikan prinsip-prinsip MADANI ke dalam kurikulum, pelajar tidak hanya dilengkapi dengan kemahiran teknikal tetapi juga ditanamkan dengan nilai-nilai etika yang murni di samping mencipta tenaga kerja dan pembangunan bakat holistik.

 

Selain itu, agenda transformasi juga mempromosikan penyelidikan dan pembangunan di politeknik, menggalakkan institusi untuk bekerjasama dengan industri dan menangani cabaran dunia nyata dengan lebih realistik. Ini tidak hanya meningkatkan relevansi praktikal pendidikan politeknik tetapi juga menyumbang kepada pembangunan penyelesaian mampan yang mana menjadi aspek utama dalam ekonomi MADANI. Usaha penyelidikan mengutamakan pertimbangan etika, memastikan kemajuan teknologi selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan dan tidak merosakkan masyarakat atau alam sekitar.

 

Pengukuhan sinergi dan pemindahan teknologi/pengetahuan bersama industri, institusi, komuniti dan badan profesional turut menjadi pemangkin kepada kesejahteraan rakyat kerana melalui intervensi ini, pembudayaan inovasi menjadi penyelesaian kepada masalah komuniti dan industri.

 

 

Tuntutan pasaran kerja

 

Selanjutnya, agenda transformasi menekankan kemahiran yang relevan dalam industri, memastikan graduan tidak hanya cemerlang dari segi akademik tetapi juga bersedia untuk tuntutan pasaran kerja selaras dengan perkembangan teknologi terkini. Kesepadanan antara pendidikan dan keperluan industri adalah penting untuk pembangunan ekonomi sebuah negara, dan dalam konteks ekonomi MADANI, memastikan profesional menyumbang kepada aktiviti ekonomi yang sejajar dengan nilai-nilai murni.

 

Secara keseluruhannya, transformasi politeknik melalui tumpuannya kepada keusahawanan, penyelidikan, inklusiviti, inovasi dan integrasi nilai-nilai murni, memainkan peranan penting dalam menjayakan ekonomi MADANI. Penghasilan para profesional dari politeknik dan kolej komuniti dengan asas etika yang kukuh menjadi daya pendorong untuk pembangunan ekonomi yang mampan dan bertanggungjawab. Agenda transformasi ini bukan hanya tentang membentuk kerjaya; ia adalah tentang membentuk masyarakat dan ekonomi yang dipandu oleh prinsip-prinsip keadilan, etika, dan kelestarian masa hadapan.

 

-- BERNAMA

 

Dr Mohd Zahari Ismail ialah Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi

 

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)