NOTA KAMPUS

MENUAI PENGALAMAN ANTARABANGSA PELAJAR MELALUI GISO

08/04/2024 12:35 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Nurul Amirah Farisha Abd Rahman dan Dr Suria Hani A. Rahman

Kualiti seseorang pelajar universiti tidak hanya bersandarkan pencapaian akademik yang cemerlang sebaliknya, keaktifan mereka melalui aktiviti kokurikulum yang membina kemahiran insaniah pada sepanjang pengajian di kampus dan dengan demikian, mampu menghasilkan graduan yang seimbang dan holistik dalam akademik dan kokurikulum.

Global Islamic Students Outreach atau GISO merupakan sebuah inisiatif Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan mungkin satu-satunya program seumpamanya di negara ini, bertujuan memupuk dan memperkukuhkan kemahiran insaniah dan sahsiah para pelajar di peringkat antarabangsa.

Program berbentuk sukarelawan ini melibatkan empat komponen utama berteraskan Islam, iaitu pemindahan ilmu, libatsama masyarakat, persilangan budaya, dan kelestarian alam sekitar.

Baru-baru ini, penulis dan 26 pelajar tahun akhir dengan diiringi seorang pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM telah menganjurkan program GISO “Kembara Ilmu dan Mahabbah” ke Indonesia selama sembilan hari.

Program tersebut berjaya menjalinkan kerjasama dengan tiga buah universiti iaitu Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta, Universitas Islam Bandung (UNISBA), dan Universitas Telkom di Bandung.

Sebagai nilai tambah, kami turut berpeluang melawat Media Nusantara Citra (MNC Media), iaitu stesen penyiaran media terbesar di Indonesia bagi mendapatkan pendedahan tentang pengurusan penyiaran di sana.

Perkongsian ilmu

Program GISO dilihat membuka peluang kepada pelajar-pelajar bertukar-tukar ilmu pengetahuan dan pengalaman khususnya mengenai aspek akademik, juga perkongsian ilmu oleh pensyarah pengiring bersama komuniti universiti kedua-dua negara.

Sejajar dengan matlamat program, para peserta berjaya menyertai beberapa sesi perkongsian ilmu dan berinteraksi dengan mahasiswa tempatan. Antara program perkongsian yang telah diadakan termasuk forum, diskusi, dan sesi dialog yang bertajuk “Islamic Broadcasting in the Digital Era”, “Cabaran dan Kesan AI terhadap Pengamal Media”, dan “How to be Creative Content Creator (3C)”.

Sesi perkongsian tersebut menjadi medan dialog para pelajar kedua-dua negara serta saling bertukar pendapat, pengalaman, dan pemikiran tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan media dan Islam.

Hal ini telah membuka ruang kepada peserta untuk memahami perspektif yang berbeza dan menghargai kepelbagaian budaya dan pandangan di antara kedua-dua negara. Program GISO dilihat mampu mengukuhkan hubungan antara para pelajar Malaysia dan Indonesia dalam aktiviti akademik dan kokurikulum.

Program ini dilihat memupuk dan memperkukuh kemahiran komunikasi dan keyakinan diri peserta. Melalui interaksi serta sesi perkongsian ilmu dengan para pensyarah dan pelajar tempatan, mereka menyerlahkan keyakinan diri dengan menyuarakan pendapat dan bertukar idea tentang isu-isu berkaitan media dan Islam. Penglibatan para pelajar dalam aktiviti sosial dan seni budaya tempatan turut membantu mereka dalam aspek komunikasi silang budaya.

Selain itu, dapat menimba pengalaman meneroka budaya dan persekitaran Indonesia dengan memahami keindahan dan keunikan budaya serta alam sekitar negara jiran tersebut.

Budaya

Dalam aspek budaya misalnya, para peserta diperkenalkan kepada kepelbagaian warisan seni dan budaya Islam mereka melalui lawatan ke masjid-masjid yang mempunyai nilai-nilai sejarah tersendiri seperti Masjid Istiqlal di Jakarta dan Masjid Raya Bandung. Para peserta turut tidak melepaskan peluang dengan merasai keenakan makanan tradisional tempatan seperti satay maranggi, lalapan dan pepes ikan.

Melalui perjalanan pelancongan ke kawasan alam semula jadi seperti The Lodge Maribaya, Kawah Putih, dan Keranjang Sultan Rengganis, para peserta dapat menikmati keindahan alam yang menakjubkan sambil menyedari pentingnya menjaga alam sekitar dan menghargai keindahan alam ciptaan Allah S.W.T.

Program GISO dilihat sebagai platform yang sesuai untuk melatih dan melahirkan bakal graduan yang mampu mempromosikan pemahaman Islam dan keharmonian antarabangsa dalam pelbagai bentuk terutama sekali dalam media massa.

Perancangan kewangan

Dari satu segi, program GISO mendorong para pelajar menabung bagi membiayai perjalanan dan keperluan masing-masing. Peserta diberi kesedaran tentang pentingnya merancang kewangan secara bijak selain mengadakan aktiviti penjanaan.

Kumpulan kami berjaya melaksanakan projek jualan secara kecil-kecilan sebagai usaha penjanaan bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan lawatan tersebut. program. Secara tidak langsung, program ini dapat memupuk nilai tambah melalui pengenalan kepada ilmu keusahawanan. Projek jualan mendedahkan peserta kepada aspek perancangan kewangan, pemasaran, dan pengurusan perniagaan.

Hasil pengalaman penulis, amat wajar para pelajar universiti mengambil peluang menyertai aktiviti pengantarabangsaan seumpama GISO ini agar dapat mendedahkan diri serta menimba pengalaman berharga sebagai nilai tambah dalam usaha membina kualiti diri.

Jelas bahawa, program GISO ini tidak sekadar sebuah perjalanan kebudayaan, tetapi dapat menuai pengalaman yang bermakna di peringkat antarabangsa. Program ini memberi peserta peluang memahami tentang Islam dan kebudayaan di Indonesia.

Di samping itu, memperkasa diri dalam aspek komunikasi interpersonal, keusahawanan, dan tabungan bagi membentuk pelajar universiti yang seimbangan dan holistik daripada segi berpengetahuan, berdaya saing, dan bertanggungjawab sebagai persediaan diri untuk kembali dan berkhidmat dalam masyarakat.

Hal ini sejajar dengan hasrat USIM dan negara untuk melahirkan generasi pemimpin masa depan yang seimbang dalam akademik dan kokurikulum, mempunyai kemahiran pelbagai bahasa serta relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.

--BERNAMA

Nurul Amirah Farisha Abd Rahman ialah Pelajar Tahun Akhir Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan manakala Dr Suria Hani A. Rahman ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)