Oleh: Dr Mohd Zamir bin Bahall
Penganjuran Rumah Terbuka sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan Syawal sememangnya telah menjadi tradisi dan budaya murni masyarakat Islam di Malaysia. Selain menjadi medan untuk menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran setelah berjaya menyempurnakan ibadah puasa pada bulan Ramadhan, ia juga wadah terbaik untuk merapatkan hubungan silaturahim dan saling bermaafan sesama insan.
Kita semua sedia maklum bahawa umat Islam dianjurkan untuk bergembira menyambut Hari Raya. Dalam sebuah hadith diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda, kaum jahiliyah dalam setiap tahunnya memiliki dua hari yang digunakan untuk berpesta ria (bergembira). Lalu ketika baginda datang ke Madinah, baginda bersabda: kamu memiliki dua hari yang biasa digunakan berpesta ria (bergembira), sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari tersebut dengan hari yang lebih baik, iaitu Aidul Fitri dan Aidul Adha" (Riwayat Abu Daud dan an-Nasa'i).
Syekh Muhammad Hasyim Asy’ari dalam kitabnya Risalah fil Aqaid menjelaskan bahawa dua hari pada setiap tahun yang digunakan untuk pesta atau perayaan besar oleh kaum jahiliyah ialah hari Nairuz dan Marjaan. Ia diisi dengan pesta mabuk dan menari. Dikatakan hari Nairuz dan Marjaan merupakan hari raya orang Parsi kuno. Setelah turunnya kewajiban puasa Ramadhan, Rasulullah SAW menggantikan Nairuz dan Marjaan dengan Hari Aidul Fitri dan Aidul Adha. Ia bertujuan agar umat Islam mempunyai tradisi yang lebih baik dan bertepatan dengan apa yang disyariatkan oleh Allah SWT.”
Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa Rumah Terbuka adalah tradisi istimewa dan unik bagi masyarakat Malaysia yang tiada di tempat-tempat lain. Ini kerana amalan ziarah dan kunjung mengunjung sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri lazimnya dilakukan oleh semua orang Islam di merata tempat. Namun amat jarang budaya menjemput tetamu yang ramai dan menyediakan sejumlah juadah pada hari atau masa yang tertentu sebagaimana yang diamalkan di negara ini.
Menganjurkan atau memenuhi jemputan Rumah Terbuka berbeza dengan amalan ziarah biasa. Ini kerana amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa asalkan bukan pada waktu yang dilarang. Menurut Syaikh Fu’ad Abdul Aziz As-Syalhub dalam Kitabul Adab bahawa ada tiga waktu dilarang untuk berziarah iaitu sebelum Solat Subuh, waktu tengah hari (menjelang zuhur) dan selepas Solat Isyak kerana waktu ini biasanya untuk beristirahat. Namun waktu larangan ini tidak terpakai untuk Rumah Terbuka jika diadakan pada waktu tersebut kerana dikira sudah mendapat keizinan dan persetujuan tuan rumah. Ibnu Katsir dalam mentafsirkan ayat 58 surat An-Nuur ada menyebutkan perihal keizinan antara sesama kerabat untuk berziarah pada waktu-waktu terlarang.
Tanpa niat yang ikhlas mengharapkan keredhaan Allah SWT, mencontohi Sunnah Nabi SAW dan berpandukan syariat Allah SWT maka sesuatu budaya itu akan sekadar menjadi adat kebiasaan dan tiada nilai di sisi Allah SWT. Justeru, penganjuran Rumah Terbuka wajar dimulakan dengan niat menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, berkongsi rezeki dan kegembiraan Syawal serta mempereratkan lagi hubungan silaturrahim sesama keluarga dan ukhuwwah sesama rakan taulan dan jiran tetangga. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu saling berjabat tangan, melainkan diampuni bagi kedua-duanya sebelum keduanya berpisah”. (Sunan Abi Daud). Dalam hadith yang lain, Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Kewajipan seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya adalah lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Menjaga niat dan menepati tuntutan syariat dalam penganjuran Rumah Terbuka mampu menjaga keberkatan, membawa rahmat, keampunan dan kesejahteraan kepada penganjur dan tetamu. Jika tidak berhati-hati maka tradisi Rumah Terbuka boleh berubah trend menjadi kayu ukur status dan lambang darjat dalam masyarakat. Demi mencapai hasrat ini ada yang sanggup berhutang dan bergolok bergadai. Sedangkan asas dalam agama adalah wasatiyyah atau kesederhanaan mengikut kemampuan masing-masing. Situasi akan bertambah parah apabila ada unsur riak dan menunjuk-nunjuk. Trend negatif sebegini wajar dielakkan lantaran menyumbang kepada perselisihan, adu domba dan perpecahan. Menjadikan Rumah Terbuka sebagai medium membangga diri, mengumpul sokongan dan memburukkan insan lain adalah suatu pencemaran akhlak dan rendahnya akal budi yang berselindung di sebalik ajaran agama iaitu meraikan kegembiraan dan kesyukuran. Akhirnya hilanglah seri, semangat dan sinar Aidil Fitri, sebaliknya semakin subur nafsu ammarah dan adat jahiliyah dalam sanubari.
Trend berhibur di Rumah Terbuka sehingga menimbulkan gangguan bunyi, lagu yang tidak sesuai, aksi korang sopan dan pergaulan bebas wajar diberi perhatian oleh semua pihak. Kegembiraan bukanlah bermakna bebas daripada batasan agama. Ia perlu seiring dan disulami dengan kehalusan budi perkerti dan keindahan akhlak Islam. Selain itu, juadah dan santapan yang disediakan perlulah mengikut kemampuan dan dijamu secara sederhana. Dalam hal ini, ada dua kemungkinan berlaku iaitu pembaziran atau ketamakan. Pembaziran dalam bentuk buang makanan yang berlebihan atau tidak habis dimakan. Manakala ketamakan dalam bentuk mengambil makanan secara berlebihan sehingga tidak tersisa kepada orang lain. Elemen mementingkan diri sendiri dan tidak peduli nasib atau hak orang lain adalah sikap yang sangat merosakkan dalam hidup bermasyarakat. Amatlah malang, kita yang berpakaian cantik, mahal, bergaya dan menarik, tetapi sayang, sikap dan perangai masih mewarisi ciri jahiliyah dan miskin budi.
Oleh itu, tradisi Rumah Terbuka perlu dicanai dan disulam dengan panduan Sunnah dan payung syariat. Ini penting supaya segala kelebihan dan ganjaran yang Allah SWT sediakan kepada mereka yang menjamu orang lain, mempereratkan silaturahim, bersedekah dan berbuat baik dapat diperoleh dengan sebanyak-banyaknya. Mudah-mudahan ganjaran yang diterima dapat mengatasi dan menghapuskan sebarang dosa dan maksiat sekiranya ada. Jadikanlah tradisi rumah Terbuka sebagai medan berbuat amal kebajikan sebagai ekspresi kegembiraan dan kesyukuran Syawal.
--BERNAMA
Dr Mohd Zamir bin Bahall ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAKIM.