TINTA MINDA

KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM: TINDAKAN BERIMPAK BESAR

10/05/2024 10:30 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan

Dalam pengumuman pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan rancangan untuk kenaikan gaji yang signifikan lebih daripada 13 peratus bagi penjawat awam yang akan dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Disember tahun ini.

Kenaikan melalui pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu ini, yang disertai dengan jaminan bahawa pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap penjawat awam mesti lebih daripada RM2,000, dikatakan sebagai kenaikan paling baik dalam sejarah negara.

Kenaikan imbangi pendapatan kelompok gaji

Dalam temu bual khas pada program 'Soal Jawab Perdana Menteri' bersama stesen televisyen tempatan, Perdana Menteri menjelaskan bahawa rancangan ini bertujuan menaikkan untuk mengimbangi pendapatan kelompok bergaji rendah dengan kelompok bergaji tinggi.

Dalam suasana kekangan ekonomi sekarang, rancangan yang akan memakan anggaran kos tambahan sebanyak RM10 bilion kepada kerajaan setiap tahun ini sudah semestinya merupakan satu tindakan berani pihak kerajaan yang akan memberi impak besar kepada negara.

Kenaikan gaji yang besar boleh meningkatkan semangat dan motivasi penjawat awam, membawa kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam. Ini boleh diterjemah kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan lebih teratur.

Tingkat produktiviti

Dalam hal ini, ingatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, bahawa semua penjawat awam perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan masing-masing seiring dengan pengumuman kenaikan gaji amat dialu-alukan.

Kenaikan gaji yang tidak disertai dengan peningkatan produktiviti dan kecekapan pastinya akan memberi banyak kesan negatif. Oleh itu seperti dihasratkan Perdana Menteri wajib dipastikan penjawat awam yang tidak produktif dan tidak cekap tidak akan menerima kenaikan gaji.

Pakej gaji yang lebih kompetitif juga boleh membantu mengekalkan penjawat awam berpengalaman dan menarik bakat baru, khususnya profesional yang mahir, ke sektor awam sekali gus menyuntik perspektif baru dan kepakaran serta meningkatkan kualiti tadbir urus.

Laksana reformasi lebih agresif

Selain akan membantu memastikan reformasi dilaksanakan dengan lebih agresif, pakej gaji yang lebih baik juga akan membantu mengurangkan rasuah, kebocoran dan pembaziran, yang sering berlaku apabila penjawat awam dengan gaji rendah mencari wang dengan cara haram.

Dengan menyempitkan jurang pendapatan antara penjawat awam kelas rendah dan tinggi, kenaikan gaji juga akan menyumbang kepada kesaksamaan pendapatan yang lebih besar dalam sektor awam. Ini akan mewujudkan keadilan serta mempromosikan kesamarataan sosial.

Pada masa yang sama, komitmen kewangan yang besar yang diperlukan untuk membiayai kenaikan gaji menyebabkan tekanan yang signifikan ke atas kewangan kerajaan. Pemberian tambahan RM10 bilion setiap tahun boleh mengalihkan sumber daripada bidang lain.

Suntikan wang ke dalam ekonomi melalui kenaikan gaji juga boleh membawa kepada inflasi. Jika perbelanjaan pengguna melebihi kapasiti pengeluaran, ia boleh membawa kepada peningkatan harga, mengikis kuasa beli pengguna dan memberi kesan kepada kestabilan ekonomi.

Teroka pelbagai cara biayai kenaikan gaji

Soalan timbul: dari mana akan datang RM10 bilion tersebut? Kerajaan boleh meneroka pelbagai cara untuk membiayainya, termasuk mengoptimalkan aliran pendapatan melalui reformasi cukai, peningkatan kecekapan dalam pemungutan cukai atau pengenalan subsidi bersasar.

Seperti dijamin Perdana Menteri, risiko inflasi boleh dikurangkan bila kerajaan memantau secara rapat dinamik permintaan dan penawaran agregat, melaksanakan dasar fiskal yang merangsang kapasiti pengeluaran dan memastikan dasar monetari tetap menyokong harga yang stabil.

Pelaksanaan yang berkesan, pengurusan kewangan yang bijak, dan intervensi dasar yang bersepadu adalah penting untuk memaksimumkan impak positif serta menangani cabaran dari segi kelestarian kewangan dan risiko inflasi sekali gus memastikan kemampanan ekonomi.

Perkuat persepsi awam tehadap Perdana Menteri dan kerajaan

Dari sudut politik, kenaikan gaji ini pastinya akan memperkuatkan persepsi awam terhadap Perdana Menteri dan kerajaannya sebagai responsif dan prihatin terhadap kesejahteraan penjawat awam serta menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kesamarataan sosial dan keadilan.

Walaupun perbezaan politik sering memisahkan parti mengikut garis ideologi, langkah yang memberi manfaat terus kepada rakyat seperti kenaikan gaji juga berpotensi untuk mendapat sokongan bipartisan kerana langkah yang meningkatkan kesejahteraan rakyat susah ditentang.

Pengkritik mungkin melihat pengumuman kenaikan gaji sebagai langkah politik untuk mendapatkan sokongan pengundi dalam pilihan raya, terutamanya mengambil kira waktu pengumuman yang berdekatan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Baharu.

Walaupun begitu, rancangan ini sebenarnya sudah lama dirancang, malah Perdana Menteri sendiri sudah beberapa kali membuat pengumuman bahawa kenaikan gaji akan dilaksanakan pada tahun ini. Pengumumannya bersempena Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 adalah munasabah.

Kritikan yang boleh dibuat oleh pihak pembangkang hanyalah setakat ke atas perkara-perkara teknikal sahaja seperti bahawa kenaikan gaji sebanyak 15 peratus bukan kenaikan tertinggi dalam sejarah kerana dikatakan bahawa pada 1 Julai 2007 pernah ada kenaikan sebanyak 35 peratus.

Walaupun begitu, pengkritik tidak boleh terlalu cepat membuat kesimpulan. Kenaikan sebanyak 35 peratus itu hanya melibatkan Kumpulan Sokongan II berbanding Kumpulan Sokongan I 25 peratus, Pengurusan dan Profesional 15 peratus dan Pengurusan Tertinggi 7.5 peratus.

Kita perlu menunggu perincian lebih lanjut mengenai perkara ini bila ia dibentangkan dalam Belanjawan 2025 nanti tetapi kenaikan gaji sebanyak 15 peratus itu kemungkinan besarnya hanyalah peratusan minima kenaikan yang dicadangkan bagi kumpulan tertentu sahaja.

Kenaikan gaji keputsan berimpak besar

Sebagai kesimpulannya, kenaikan gaji ini adalah satu keputusan yang berimpak besar. Kerajaan harus menjelaskan dengan berkesan mengenai rasionalnya dengan menekankan komitmennya terhadap mengatasi jurang pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan penjawat awam.

Dalam usaha memajukan negara, adalah penting bagi kedua-dua kerajaan dan pembangkang untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat mengatasi pertimbangan partisan. Jika tidak mahu menyokong, maka parti pembangkang harus menyediakan alternatif yang kredibel kepadanya.

--BERNAMA

Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan ialah Naib Canselor di Universiti Utara Malaysia (UUM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)