TINTA MINDA

CABARAN AI DALAM PEROLEHAN PROJEK PEMBINAAN

07/10/2024 12:45 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom

Industri pembinaan di peringkat global mahupun di Malaysia dilihat masih lagi bergantung kepada kaedah tradisional walaupun tuntutan transformasi digital semakin tinggi dengan lahirnya penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).

Gelombang transformasi digital ini bukan sahaja melanda di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan juga negara Eropah, malah ''demam AI'' ini juga kian menular di negara membangun seperti Thailand, Indonesia dan juga Malaysia.

Di Malaysia, sektor pembinaan merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi, dan juga penyumbang tertinggi kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan pekerjaan negara. Ketika negara berusaha untuk mencapai matlamat Wawasan 2030, penggunaan teknologi canggih, termasuk AI, dilihat sebagai langkah kritikal ke arah meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses perolehan pembinaan.

Namun begitu, industri pembinaan di Malaysia menghadapi cabaran yang sama seperti yang dihadapi organisasi di luar negara.

Cabaran Utama AI dalam Perolehan Pembinaan

Cabaran utama di Malaysia ialah pergantungan industri kepada kaedah perolehan tradisional, seperti pembidaan kompetitif dan kontrak secara runding terus, yang sering melibatkan kertas kerja dan proses manual. Penggunaan AI dalam proses ini berpotensi untuk mengurangkan beban pentadbiran, mengautomasikan tugas rutin dan meningkatkan ketepatan ramalan kos dan risiko.

Walau bagaimanapun, peralihan kepada perolehan dikuasakan AI akan memerlukan anjakan budaya yang ketara, kerana ramai pemain industri masih teragak-agak untuk menggantikan amalan biasa dengan penyelesaian secara digital.

Tambahan pula, industri pembinaan di Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menghadapi batasan infrastruktur dari segi kesediaan digital. Masih terdapat banyak syarikat kekurangan alatan dan platform digital yang diperlukan untuk mengumpul dan menganalisis data yang diperlukan oleh sistem AI.

Untuk menangani perkara ini, inisiatif yang diterajui kerajaan, seperti Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2021-2025, menekankan keperluan untuk pendigitalan dan penggunaan teknologi Industri 4.0, termasuk AI. Inisiatif-inisiatif ini penting dalam menyediakan sektor pembinaan Malaysia ke arah mengintegrasi AI dalam perolehan binaan.

Satu lagi pertimbangan yang agak kritikal dalam konteks Malaysia ialah rangka kerja kawal selia yang mengawal perolehan pembinaan. Walaupun Malaysia telah mengorak langkah dalam memodenkan peraturan perolehannya, termasuk usaha untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti, masih terdapat keperluan dalam mewujudkan garis panduan yang jelas untuk penggunaan AI dalam perolehan.

Ini termasuk menangani isu yang berkaitan dengan privasi data, akauntabiliti dan implikasi keputusan undang-undang yang dipacu oleh AI. Komitmen kerajaan Malaysia untuk menggalakkan pendigitalan dan inovasi amat penting dalam mengatasi cabaran kawal selia ini.

Potensi Aplikasi AI

Integrasi AI dalam perolehan projek pembinaan merupakan satu perubahan besar dalam rentak pelaksanaan industri binaan. Menurut laporan kajian yang dijalankan oleh Mckinsey, aplikasi AI berpotensi dalam menyelaraskan proses, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan risiko projek.

Bukan itu sahaja, dengan aplikasi AI melalui analitik ramalan, pengurusan kontrak dan anggaran kos ia mampu menawarkan ketepatan dan kelajuan dalam membuat keputusan.

Walau bagaimanapun di sebalik kelebihan ini, industri pembinaan masih belum bersedia menggunakan AI secara meluas. Salah satu cabaran utama ialah budaya konservatif sektor pembinaan yang masih cenderung dan memihak kepada kaedah perolehan tradisional.

Mereka yang dalam kalangan pembuat keputusan juga sering dan masih ragu-ragu terhadap kemampuan AI, bimbang potensi anjakan pekerjaan dan kehilangan kawalan ke atas proses keputusan dapat dijalankan secara telus. Tambahan pula, kurangnya kemahiran penggunaan teknologi AI dalam kalangan profesional yang terlibat dalam proses perolehan, terutamanya pihak pelanggan.

Cabaran kedua ialah isu ketersediaan dan kualiti data. Keberkesanan AI dalam perolehan bergantung kepada akses kepada sejumlah besar data yang tepat dan berkaitan, seperti sejarah prestasi sesebuah projek, kos bahan dan rekod pembekal.

Dalam kebanyakan kes, firma pembinaan, terutamanya syarikat yang lebih kecil tidak mempunyai infrastruktur digital yang lengkap untuk mengumpul dan menganalisis data tersebut. Ini dilihat telah mengehadkan utiliti penyelesaian AI, kerana ia sangat bergantung kepada set data yang komprehensif untuk menyampaikan cerapan yang tepat.

Selain itu, ketidakpastian undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan aplikasi AI dalam perolehan pembinaan merupakan isu yang perlu dirungkai. Rangka kerja perolehan sedia ada masih belum dilengkapi dengan garis panduan yang komprehensif dalam mengendalikan risiko baru melalui applikasi AI, terutamanya isu-isu berkaitan kelewatan projek atau lebihan kos.

Isu undang-undang yang tidak jelas ini merupakan perkara penting untuk memastikan kejayaan usaha mengintegrasi teknologi AI dalam perolehan pembinaan di peringkat dalam negara mahupun global.

Penggunaan AI dan Strategi Pelaksanaan

Bagi memastikan kesediaan industri pembinaan menghadapi cabaran penggunaan AI, beberapa strategi perlu dilaksanakan secara efektif.

Pertama, terdapat keperluan untuk program latihan komprehensif yang bertujuan meningkatkan celik digital bagi profesional yang terlibat dalam perolehan pembinaan. Ini akan membantu mengurangkan rintangan terhadap penggunaan AI dengan memupuk pemahaman tentang faedah dan potensinya. Agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi pendidikan mempunyai peranan penting dalam membangunkan dan mempromosikan program sedemikian.

Kedua, pelaburan dalam infrastruktur digital adalah amat penting. Firma pembinaan mesti menggunakan sistem pengurusan data moden dan platform berasaskan awan (cloud computing) yang membolehkan pengumpulan dan analisis data yang diperlukan untuk sistem AI berfungsi dengan berkesan. Di Malaysia, inisiatif kerajaan yang berterusan yang bertujuan untuk meningkatkan transformasi digital merentasi pelbagai sektor amat diperlukan.

Akhir sekali, pembangunan rangka kerja kawal selia yang teguh penting dalam menangani ketidakpastian undang-undang yang berkaitan dengan AI terutamanya dalam proses perolehan. Penggubal dasar perlulah bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk mewujudkan garis panduan yang memastikan akauntabiliti, ketelusan dan perlindungan semua pihak yang terlibat dalam keputusan perolehan dipacu AI.

Apa yang jelas, kesediaan untuk menghadapi cabaran aplikasi AI dalam perolehan projek pembinaan adalah berbeza-beza. Walaupun AI menawarkan peluang besar untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan perolehan, budaya konservatif industri, had infrastruktur dan ketidakpastian kawal selia kekal sebagai halangan besar dan perlu diperhalusi oleh semua pihak.

Dengan menangani cabaran ini melalui latihan yang disasarkan, pelaburan infrastruktur dan pembaharuan kawal selia, Malaysia dan industri pembinaan antarabangsa boleh memanfaatkan sepenuhnya potensi transformatif AI dalam perolehan projek. Sudah sampai masa untuk pemain industri berubah dan bukan seperti “katak di bawah tempurung” yang tidak berani menyahut cabaran dan peluang terbentang luas di luar sana.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom, Penyelidik Utama, Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)