Oleh Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
Pada 5 Oktober 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampai satu syarahan yang sangat tajam dan analitikal membicarakan erti kemiskinan secara holistik bertajuk “Seabad Za’ba Pemikiran Kemiskinan”. Ucapan ini sempena Syarahan Za’ba bagi meraikan pemikiran tokoh Melayu iaitu Zainal Abidin Ahmad, lebih dikenali sebagai Za’ba. Za’ba banyak membicarakan perihal cabaran orang Melayu bukan sahaja menentang penjajahan British, malah mempersoalkan isu kemiskinan bangsa yang bermula dengan penjajahan minda, lantas melahirkan kemiskinan material yang dibina penjajah dan elit yang mindanya terjajah. Syarahan ini sangat signifikan kerana diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mula diasaskan pada tahun 1922 sebagai kolej latihan sebelum bertukar kepada Sultan Idris Teachers College (Maktab Perguruan Sultan Idris) yang melahirkan ramai tokoh nasionalis termasuklah Za’ba sendiri. Datuk Seri Anwar telah berhujah dengan panjang lebar mengenai penguasaan elit terhadap minda bangsa dan mengaitkan dengan hujah beberapa tokoh sarjana besar seperti Frantz Fanon, Syed Hussein Al-Atas, Jose Rizal, Ungku Aziz, dan ramai lagi. Tertarik juga ingin diulas mengenai konsep atau pendekatan “miskin akal budi” yang dihujahkan oleh Za’ba.
Kemiskinan Minda
Miskin Akal Budi dalam erti kata lain yang disebut “kemiskinan minda” adalah satu konsep yang sering diabaikan dalam perbincangan mengenai kemiskinan, walaupun ia memberi impak yang mendalam terhadap masyarakat. Istilah ini merujuk kepada keadaan di mana individu atau masyarakat terperangkap dalam pemikiran dan tingkah laku yang membatasi peluang untuk maju, walaupun terdapat sumber atau bantuan yang mencukupi. Fenomena ini berlaku apabila seseorang atau sekumpulan orang tidak dapat mengoptimumkan potensi mereka kerana kekangan psikologi, mental, dan sosial. Kemiskinan minda bukan sahaja berkait dengan kekurangan material, tetapi juga berkait rapat dengan mentaliti, pandangan hidup dan kebolehan untuk memanfaatkan peluang yang ada. Untuk ini, reaksi konstruktif akan dilemparkan kepada beberapa karya agung yang memperdebatkan isu ini.
Sering terbaca ucapan dan penulisan Datuk Seri Anwar sebelum ini, namun di dalam Syarahan Za’ba, Perdana Menteri seakan-akan terlupa untuk menyebut seorang tokoh sarjana yang acapkali disebut beliau iaitu Amartya Sen. Amartya Sen, seorang ahli ekonomi pemenang Hadiah Nobel, dalam bukunya “Development as Freedom”, menyatakan bahawa kemiskinan bukan hanya sekadar kekurangan sumber kewangan, tetapi juga kekurangan kebebasan untuk mencapai potensi sebenar. Menurut beliau, kemiskinan minda timbul apabila individu tidak mampu membuat pilihan yang bijak atau merasa terhalang untuk menggunakan kebebasan yang mereka miliki kerana mereka kekurangan akses kepada pendidikan, kesihatan, dan peluang. Kekangan mental membawa kepada keadaan “unfreedoms” (tiada kebebasan), yang menghalang pembangunan manusia secara keseluruhan. Walaupun bantuan material disalurkan kepada mereka, mereka mungkin tidak akan keluar daripada kemiskinan jika mentaliti dan kemampuan untuk membuat keputusan tidak diperbaiki.
Menyokong kepada hujah untuk menentang kemiskinan minda, Paul Gorski dan Robert Chambers juga melihat kemiskinan sebagai punca sebenar pemasalahan kepada nusa dan bangsa. Menurut Paul Gorski, kemiskinan minda dapat ditangani melalui pendidikan. Menurutnya, kemiskinan minda terjadi apabila individu atau komuniti terdedah kepada mentaliti “defisit,” kerana percaya bahawa mereka tidak mempunyai keupayaan untuk memperbaiki keadaan sendiri. Ini sering berlaku dalam kalangan golongan miskin yang terpinggir dari segi pendidikan dan maklumat. Dalam kajiannya, Gorski mencadangkan bahawa penglibatan dalam program pendidikan yang memberdayakan dan menyokong perubahan minda adalah penting untuk membebaskan individu daripada kekangan mental ini. Gorski juga berhujah bahawa struktur masyarakat yang tidak adil turut memperkukuhkan kemiskinan minda. Ini juga dipersetujui Robert Chambers, dalam kajiannya mengenai pembangunan luar bandar, menyentuh aspek kemiskinan minda melalui konsep “deprivation trap” (Jerat Kemiskinan).
Mitos
Datuk Seri Anwar menyentuh akan pandangan Syed Hussein Al-Atas yang menulis dua karya yang penting, “The Myth of The Lazy Native (Mitos Pribumi Malas)” dan juga “Intellectuals in Developing Societies (Intelek di Negara Berkembang/Membangun)”. Sikap bebal dan yang disebut bebalisme dan fe’el orang akibat dari beberapa rencana penjajah yang menyebabkan pemikiran perancangnya, elitnya, sehinggalah ke rakyat disebut pemikiran yang terperangkap (The Captive Mind). Walaupun pendekatan Pribumi Malas ini dilihat sebagai mitos oleh Syed Hussein, namun ianya boleh menjadi kesedaran palsu (False Consiousness) sekiranya bangsa yang dijajah, mahupun bangsa yang tidak dijajah mempercayainya, yang membawa kepada kemiskinan minda.
Kritikan kepada karya Syed Hussein ini ialah masyarakat pribumi kini seolah-olah menerima bahawa realitinya mereka malas dan tidak berusaha yang dijana oleh sistem penaungan yang wujud, lantas peluang ekonomi sering diambil oleh bangsa luar yang menjadi warganegara negara terbabit yang rajin berusaha seperti orang keturunan Pakistan dan India di United Kingdom (UK) serta bangsa Cina di Thailand, Malaysia dan Indonesia. Kebimbangan seluruh dunia kini sama ada bangsa kulit putih di Eropah, aborigin di Australia, bangsa asal di Asia dan Afrika yang dilihat selesa sebagai bangsa pribumi yang menjadikan mereka malas. Mereka juga memainkan isu Islamaphobia dan anti imigran kerana cemburu melihat bangsa luar dan gagal bersaing dengan bangsa luar yang lebih rajin berusaha dalam ekonomi dan perdagangan. Jadi asal mitos menjadi realiti kepada pribumi malas.
Kepentingan Pendidikan
Secara umumnya, semua sarjana bersetuju bahawa pendidikan memainkan peranan utama dalam menangani kemiskinan minda. Pendidikan bukan sahaja menyediakan pengetahuan asas, tetapi juga membangunkan pemikiran kritikal, keyakinan diri, dan kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Dalam konteks Malaysia, usaha Kerajaan Perpaduan seperti program FELDA, MARA, dan pelbagai lagi program pembangunan luar bandar bertujuan untuk terus membasmi kemiskinan material dan minda dengan menyediakan akses kepada pendidikan dan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, terdapat cabaran yang ditangani Kementerian Pendidikan Tinggi dan juga Kementerian Pendidikan dalam memastikan pendidikan yang berkualiti dan program kementerian sampai kepada kumpulan sasaran, terutamanya di kawasan pedalaman dan masyarakat yang terpinggir. Oleh itu, usaha berterusan diperlukan untuk memastikan masyarakat yang hidup dalam kemiskinan bukan sahaja menerima bantuan material, tetapi juga diberdayakan dari segi mental dan sosial untuk mengambil inisiatif dalam memperbaiki keadaan hidup mereka.
Kemiskinan minda merupakan satu isu yang kompleks dan berlapis-lapis, melibatkan pelbagai faktor psikologi, sosial, dan budaya yang menghalang seseorang atau komuniti daripada maju. Kemiskinan minda bukan sahaja masalah kekurangan material, tetapi juga mencerminkan keterbatasan dalam cara seseorang atau masyarakat berfikir dan bertindak. Oleh itu, usaha membasmi kemiskinan perlu merangkumi strategi yang menyeluruh, termasuk memperkasakan minda dan membina kapasiti mental masyarakat untuk memanfaatkan peluang yang ada, agar kemajuan yang dicapai lebih lestari dan berterusan.
-- BERNAMA
Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ialah Pakar Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.