KETAMADUNAN

MENGAPA SEHINGGA SAAT INI TIADA KAMPUNG TRADISI DIWARTAKAN?

28/10/2024 12:21 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Nor Zalina Harun

Sejak tahun 1980an rakyat Malaysia telah diperkenal bahawa menjelang tahun 2020, negara ini akan menjadi sebuah negara maju yang berdaya saing dan merangkumi pembangunan bandar serta desa.

Penumpuan terhadap usaha pembangunan secara adil dan saksama kepada rakyat dalam konteks perkongsian yang menyeluruh telah berjalan sejak negara ini mencapai kemerdekaan tanpa mengenepikan keperluan dan kehendak masyarakat.

Perhatian turut diberikan kerajaan kepada pembangunan desa

Perhatian yang tidak hanya berat kepada pembangunan bandar dapat dilihat apabila terdapat lebih daripada 10 dasar, polisi serta falsafah di peringkat kebangsaan telah diberikan terhadap pembangunan desa sejak tahun 1957 sehingga hari ini.

Antaranya termasuklah Rancangan Buku Merah, Dasar Ekonomi Baru, Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar dan yang paling terkini ialah Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (2030).

Meskipun hampir sebahagian besar dokumen ini menekankan kepada pemerkasaan ekonomi masyarakat desa, namun pemerkasaan karakter dan pemuliharaan nilai tradisi desa tidak pernah diketepikan.

Sejak merdeka, kita dapat melihat bahawa fokus kerajaan sentiasa tertumpu terhadap pembangunan fizikal yang menerapkan elemen keseimbangan dan kesaksamaan melalui perancangan yang teliti dalam memastikan kemudahan dapat dinikmati semua rakyat.

Dasar Perancangan Fzizikal Desa Negara 2030

Jika kita perhalusi Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara 2030 (DPF Desa Negara) yang telah dihasilkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kita akan mendapati dokumen ini berperanan sebagai pelengkap yang mengambil kira dasar-dasar pembangunan desa sedia ada.

Penyediaannya adalah bagi membantu mengatasi isu desa setempat di samping mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan desa.

Usaha berterusan terutama dari aspek penyediaan kemudahan, infrastruktur, utiliti dan peluang ekonomi, meningkatkan imej dan karektor desa serta menyelaras pengagihan sumber dan projek pembangunan kampung dibentangkan melalui 5 teras utama yang menjadi tonggak kepada gerak kerja pelbagai pihak dalam mencapai matlamat murni dasar ini iaitu ‘ Desa Sejahtera, Negara Sejahtera’.

Namun apa yang membingungkan ialah daripada jumlah besar iaitu 17,571 jumlah desa di Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti dalam laporan dasar ini, tiada satu pun yang diwartakan sebagai kampung tradisi di peringkat kebangsaan.

Lapan kategori kampung dikenalpasti

Untuk maklumat umum, terdapat lapan kategori kampung yang telah dikenal pasti oleh KPKT iaitu kampung tradisional, kampung nelayan, kampung tersusun, kampung atas air, kampung orang asli, petempatan tanah rancangan, kampung baru dan petempatan estet.

Lapan jenis kampung ini diklasifikasi berdasarkan komposisi penduduk, kumpulan etnik, corak petempatan, ciri-ciri fizikal dan lokasi serta fungsi yang khusus.

Adalah lebih menghairankan lagi, apakah tidak ada satu pun satu kategori daripada lapan jenis kampung di Malaysia berhak menerima pengiktirafan dan pemuliharaan sewajarnya.

Senario yang berlaku ini mungkin berpunca daripada jangkaan dan impian yang terlalu tinggi terhadap ciri-ciri kampung warisan itu sendiri. Berkemungkinan ramai diantara kita meletakkan impian aspek fizikal dan budaya asal yang tidak berubah walau sedikit.

Senibina dan pertukangan Melayu tidak kurang hebatnya

Mungkin juga ada diantara agensi pelaksana yang merasakan bahawa kampung yang kita miliki tidak standing dengan Shirakawa Go.

Perkampungan tradisi di Jepun ini telah diangkat di peringkat dunia sebagai kampung warisan yang memiliki rumah gaya Gassho yang unik serta bersifat green building.

Jika itulah penanda aras yang diletakkan oleh kebanyakan kita, senibina Melayu dan teknologi pertukangan kayu kita juga tidak kurang hebatnya.

Sekiranya sungai jernih dan gunung tinggi di wilayah Chubu yang menjadi ukuran keunikan dan kenyamanan persekitaran buat kita, kampung-kampung tradisi sepanjang Sungai Pahang dan Perak juga tidak kurang nyaman suasana dan indah pemandangannya.

Sebenarnya, dua kriteria universal value yang dipenuhi oleh Shirakawa Go yang digariskan oleh UNESCO turut dimiliki oleh perkampungan tradisi yang ada disekeliling kita.

Kampung di Malaysia dibangun atas asas kukuh

Kampung tradisi di negara ini juga memiliki contoh luar biasa bagaimana perkampungan kita disesuaikan dengan sempurna dengan alam sekitar bagi membangunkan sosial dan ekonomi. Morfologi kampung di negara ini turut mempunyai susun atur yang dibangunkan atas asas kukuh serta terkait dengan pelbagai faktor kosmologi dan geografi penting dalam memastikan kesejahteraan, keselesaan dan keselamatan penduduk dapat dicapai.

Sepuluh dasar dan polisi telah pun digubal sejak merdeka, persoalan utamanya sekarang, adakah kita serius dan benar-benar berkehendak untuk memartabatkan desa tradisi sebagai warisan kita?

Sekiranya ya, ianya haruslah bermula dengan gerak kerja yang tersusun serta semangat waja yang tidak mudah padam dalam memastikan sekurang-kurangnya setiap satu daripada lapan kategori kampung yang disenarai dalam Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara 2030 dapat digazetkan dalam jangka waktu terdekat.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Nor Zalina Harun ialah Pensyarah Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)