Oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
Baru-baru ini penulis menghadiri satu sidang majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52 yang berlangsung pada 23 November hingga 1 Disember lepas. Kehadiran di majlis itu bagi meraikan anak penulis yang menerima ijazah sarjana muda kejuruteraan.
Tahniah diucapkan kepada “alma mater” kerana telah berjaya melahirkan lebih 240 ribu alumni tempatan dan luar negara. “Alma mater” merupakan perkataan latin yang bermaksud universiti yang pernah menjadi tempat belajar seseorang, yang telah banyak berjasa kepada rakyat Malaysia termasuk penulis.
Dengan memiliki hampir suku juta alumni termasuk dari lebih 60 buah negara, UKM telah meraih kedudukan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi unggul di Malaysia dengan piawaian dan pengiktirafan bertaraf global.
Naib Canselor UKM ke-13, Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dalam ucapan di konvokesyen tersebut berkata, pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak pernah menghalang kejayaan universiti itu menempa nama di pentas akademik dunia.
Berdasarkan laporan QS World University Rankings 2025, UKM melonjak ke kedudukan 138, naik sebanyak 21 anak tangga dari kedudukan ke-159 pada tahun lepas. Dalam QS Asia University Rankings 2025 pula, univeriti tersebut berada di tempat ke-26, manakala di Malaysia pada kedudukan kedua berbanding universiti awam lain.
Walaupun “ranking” bukan fokus utama, penarafan tersebut adalah contoh kepada kecemerlangan warga UKM yang sentiasa menyumbang kepada masyarakat dan negara, jelas Profesor Dato’ Dr Ekhwan yang juga alumni UKM pertama memegang jawatan Naib Canselor universiti itu.
Pelbagai bidang
Bermula dengan kelahiran sulung sebanyak 167 graduan sarjana muda pada tahun 1973, bilangannya meningkat saban tahun. Pada tahun ini UKM berjaya melahirkan 4,409 graduan dalam pelbagai bidang.
Di peringkat pascasiswazah pula, dengan hanya seorang graduan sarjana pada tahun 1973, universiti itu terus memacu ke depan dalam penghasilan graduan sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) pelbagai bidang. Pada konvokesyen kali ini, UKM berjaya menghasilkan 2,549 sarjana dan 469 Ph.D. Sementara, 3,393 graduan diploma pacasiswazah dan 190 doktor pakar.
Kelahiran ratusan ribu graduan telah meningkatkan kepakaran sumber manusia dalam pelbagai bidang. Di samping itu, menyumbang kepada negara dalam bidang sains sosial, pengajian Islam, pendidikan, sains dan teknologi, perubatan, pergigian, sains kesihatan, kejuruteraan dan alam bina. Semua itu memaparkan kecemerlangan UKM sepanjang lebih 50 tahun yang wajar dibanggakan oleh seluruh warga dan alumninya.
Ramai alumni kini telah berjaya dalam profesion masing-masing termasuk menerajui banyak organisasi di negara ini. Sebagai contoh, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), tempat penulis bertugas, Naib Canselornya, Profesor Dato Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin merupakan alumni UKM.
Sejarah penubuhan
Menoleh sejenak sejarah mengenai bagaimana universiti itu ditubuhkan, penulis merujuk salah satu bahan karya pensyarah UKM, Allahyarham Dr Mohd Ali Kamaruddin berjudul, “Sejarah Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia” terbitan Universiti Malaya (UM).
Kupasannya amat menarik lagi mendalam mengenai hasrat dan cabaran sehingga lahirnya UKM. Dalam bukunya, Mohd Ali menjelaskan bahawa kelahiran universiti itu pada 18 Mei 1970 bukanlah merupakan peristiwa yang baharu dalam sejarah sistem pendidikan tanah air.
Sejak tahun 1920-an lagi hasrat untuk melahirkan sebuah universiti kebangsaan di negara ini telahpun disuarakan oleh sebilangan besar masyarakat Melayu. Tuntutan demi tuntutan telah diperdengarkan dari masa ke masa sehinggalah negara mencapai kemerdekaan. Namun demikian, sebagai bangsa yang ditindas oleh tekanan penjajah Inggeris, maka desakan dan tuntutan tersebut tentulah hilang dalam polisi penjajahan mereka sahaja.
Menurutnya, hasrat mahukan sebuah universiti kebangsaan hanya memperolehi nafas yang baharu apabila negara mula berada di pintu kemerdekaan dan lahirnya satu dasar pelajaran kebangsaan bagi negara.
Penubuhan UKM adalah selaras dengan kehendak Dasar Bahasa dan Dasar Pelajaran Kebangsaan di samping bersesuaian dengan matlamat kemuncak bagi sistem Pendidikan Kebangsaan, tulis Dr Mohd Ali.
Hasilnya, lahirlah UKM dengan Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur sebagai kampus sementara. Sejumlah 192 orang kumpulan pertama mendaftarkan diri sebagai pelajar Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Fakulti Pengajian Islam. Pada Oktober 1977, UKM berpindah ke kampus tetapnya di Bangi, Selangor.
Kewujudannya adalah hasil inspirasi, perjuangan dan semangat nasionalisme para cendekiawan, untuk merangsang ilmu pengetahuan dan pembangunan profesional masyarakat Malaysia, dengan matlamat untuk mencapai kesejahteraan nasional dan sejagat.
Penubuhan universiti itu melambangkan titik mula era baharu dalam pembangunan sistem pendidikan kebangsaan, khususnya dalam memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran peringkat pendidikan tinggi di negara ini.
Falsafah UKM iaitu “Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti,” membuktikan komitmennya untuk menerajui pembangunan masyarakat terpelajar, dinamik dan bermoral.
Jelas bahawa, UKM telah menunjukkan perkembangan yang luar biasa melalui pengukuhan yang berterusan dalam asas penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan. Sehingga kini, universiti itu berjaya mencapai banyak kejayaan yang amat membanggakan rakyat dan negara ini khususnya para pejuang dan pendokongnya.
Kelahirannya adalah atas perjuangan rakyat yang mahu memartabatkan bahasa Melayu di tahap pengajian tinggi yang menjadi sandaran kepada Misi UKM, iaitu menjadi universiti terpilih yang memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmuan beracuankan budaya kebangsaan.
-- BERNAMA
Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Alumni UKM tahun 1990 dan Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.