TINTA MINDA

UNIVERSITI LEBIH DARIPADA SEGULUNG SIJIL, TEMPAT PERKASAKAN INSAN

16/12/2024 12:30 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Profesor Ts Dr Mohd Kamarulzaki Mustafa

Apabila berbicara mengenai universiti, ramai yang menganggap ia sebagai laluan ke arah mendapatkan sekeping sijil yang akan membuka pintu kepada kerjaya. Namun hakikatnya, universiti bukan sekadar institusi yang menyediakan ilmu akademik semata-mata. Ia adalah tempat yang mana minda dibentuk, kemahiran dikembangkan dan yang paling penting sebagai tempat manusia dimanusiakan.

 

Trend membimbangkan

Laporan terbaru menunjukkan satu trend yang membimbangkan di Malaysia — semakin ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Fenomena ini bukan sahaja mengejutkan, tetapi juga memberikan implikasi besar kepada masa depan negara.

Menurut statistik Kementerian Pendidikan pada 2023, kira-kira tiga ratus ribu lepasan SPM memilih untuk tidak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT), dengan alasan yang berbeza-beza seperti kos sara hidup, minat yang berkurangan terhadap pendidikan formal, persepsi bahawa sijil akademik tidak lagi menjadi jaminan kejayaan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif selain daripada tarikan terhadap ekonomi gig.

 

Persepsi yang perlu difahami

Namun, ini adalah persepsi yang perlu difahami secara lebih mendalam. Universiti bukan sekadar tempat untuk memperoleh sijil: ia adalah ruang untuk memperkasa diri, mendapatkan pengalaman hidup dan yang lebih penting, membina insan seimbang yang boleh menyumbang kepada masyarakat.

Universiti beri tumpuan kepada akademik dan perkasa pelajar secara menyeluruh

Universiti-universiti di Malaysia bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, tetapi juga merangka pelbagai aktiviti yang bertujuan memperkasa pelajar secara menyeluruh.

Aktiviti seperti program pembangunan kepimpinan, khidmat masyarakat serta penglibatan dalam kelab dan persatuan, menjadi komponen penting dalam pengalaman di universiti.

Ini semua dirancang dengan tujuan untuk memupuk kemahiran insaniah (soft skills) dan mengajar pelajar untuk menjadi anggota masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan berdaya saing.

Seorang pelajar yang memasuki universiti mungkin memulakan perjalanannya dengan harapan untuk belajar sesuatu yang berguna bagi kerjayanya kelak, namun dia akan keluar bukan sahaja dengan pengetahuan, tetapi juga dengan wawasan, nilai kemanusiaan dan kemahiran untuk berfikir secara kritis.

Pelajar yang terlibat dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum dapat mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, serta kerjasama dalam pasukan, yang semuanya penting untuk dunia sebenar.

 

Pengalaman bersosial, berkumpulan hadapi tekanan

Selain itu, pengalaman bersosial di kampus, bekerjasama dalam projek kumpulan, dan menghadapi cabaran yang tidak semestinya berkaitan dengan akademik, membantu pelajar belajar erti tanggungjawab, empati dan kecekalan.

Mereka belajar bagaimana untuk menghadapi tekanan, mencari jalan keluar dalam situasi mencabar, serta menghargai kepelbagaian pandangan dan latar belakang rakan-rakan mereka.

 

Universiti lahirkan individu seimbang

Universiti dengan kata lain, adalah platform untuk membentuk pelajar menjadi individu yang seimbang, bukan sahaja mahir dalam bidang akademik tetapi juga bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat.

Ia adalah tempat yang mana pelajar belajar untuk menjadi manusia-manusia yang lebih prihatin, berdaya tahan dan mempunyai keupayaan untuk mengubah dunia di sekeliling mereka.

Penurunan minat menyambung pelajaran perlu jadi panggilan amaran

Fenomena penurunan minat untuk menyambung pengajian ini sepatutnya menjadi panggilan amaran kepada masyarakat dan pihak berwajib.

Pendidikan tinggi masih relevan, bukan sahaja untuk kerjaya, tetapi untuk perkembangan sahsiah dan kematangan individu. Universiti menyediakan platform terbaik untuk mempelajari kemahiran hidup, yang tidak selalu boleh diperoleh dari pengalaman bekerja semata-mata.

 

Bukan sekadar segulung sijil

Oleh itu, bagi mereka yang bercadang untuk melangkah ke dunia universiti, ingatlah bahawa universiti bukan sekadar tempat untuk mendapatkan sekeping sijil.

Ia adalah perjalanan untuk memperkasa diri, membentuk identiti dan mengasah keupayaan untuk menjadi insan yang lebih baik.

Sebagaimana universiti menyediakan pelbagai peluang kepada pelajar, terpulang kepada mereka untuk merebut peluang tersebut dan menjadikan pengalaman itu lebih bermakna.

Kepada seramai lebih empat ratus ribu calon SPM pada tahun ini, pasanglah Impian untuk ke Menara gading atau sekurang kurangnya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi khususnya di institusi TVET. Semoga anda semua mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan yang akan akan ditempuhi.

“Di universiti, anda bukan sahaja sedang belajar untuk menjadi tenaga mahir, tetapi juga sedang belajar untuk menjadi manusia yang sebenar”- Kamarulzaki 

--BERNAMA

Profesor Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa ialah daripada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)