Setiap pasangan pasti memiliki lokasi istimewa yang menjadi pilihan untuk meluangkan masa bagi mencipta kenangan manis dan mengeratkan hubungan. Tidak terkecuali sebuah bandar di timur laut China, Dalian, yang terkenal sebagai hab perdagangan antarabangsa serta digelar sebagai 'Kota Cinta'.
Gabungan pantai yang indah, seni bina klasik, taman hijau yang damai serta keunikan tradisi cinta bandar tersebut menjadikan ia sebagai Kota Cinta yang tiada tandingan. Keindahannya bukan sekadar memanjakan mata, tetapi turut menyentuh hati, menjadikan Dalian destinasi pilihan pasangan untuk meraikan cinta.
Penulis sendiri tidak melepaskan peluang bagi merasai sendiri 'aura' istimewa bandar pelabuhan tersebut. Walaupun Dalian turut menjadi salah satu kawasan pelaburan asing utama di China dalam industri automotif, elektronik, dan teknologi maklumat, sektor pelancongan romantiknya tetap menyerlah.
Iklim Yang Menarik
Iklim monsun sederhana di Dalian menjadi salah satu tarikan utama dan menarik untuk dikunjungi sepanjang tahun. Ketika suhu musim panas di Beijing mencecah 40 darjah Celsius, bandar ini sangat nyaman dan suhunya kekal sederhana antara 24 hingga 27 darjah Celsius. Angin laut yang sejuk membantu menyejukkan udara, menjadikan bandar ini destinasi popular untuk percutian musim panas. Penulis sendiri tidak melepaskan peluang menikmati udara nyaman di pantai Pantai Xinghai dan Golden Pebble Beach.
Pada musim sejuk pula, Dalian tidak menghadapi suhu yang terlalu ekstrem sebaliknya purata sekitar -3 hingga 3 darjah Celsius, jauh lebih baik berbanding bandar-bandar lain di daerah yang sama. Suasana musim sejuk yang ringan ini memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan bandar dalam suasana dingin yang romantis.
Musim bunga di Dalian adalah saat bandar ini berubah menjadi syurga bunga-bungaan, terutamanya dengan mekarnya bunga sakura yang sering diraikan melalui Festival Cherry Blossom. Musim luruh di bandar itu adalah antara waktu paling indah kerana langit biru jernih, udara yang segar, dan dedaunan yang bertukar warna mencipta suasana yang memukau.
Dengan iklim yang sederhana dan menyenangkan sepanjang tahun, bandar ini bukan sahaja menarik perhatian pelancong domestik, tetapi juga menjadi pilihan utama pasangan untuk menikmati suasana romantik di tengah keindahan alam.
Suasana Romantik Di Binhai Road
Jika mengujungi bandar Dalian, rugilah jika tidak menyusuri Binhai Road iaitu laluan sejauh 32 kilometer yang menawarkan pemandangan lautan yang luas terbentang di satu sisi dan kehijauan di sisi berlawanan. Pada waktu pagi, jalan ini diselubungi kabus lembut, memberikan suasana misteri dan romantis, manakala, semasa senja, ia menjadi tempat terbaik untuk berbual mesra sambil menikmati kehangatan matahari terbenam.
Sepanjang jalan ini, penulis berkesempatan melalui di lokasi menarik seperti Tiger Beach (Laohutan) yang merupakan antara tarikan utama dengan patung harimau ikonik dan pemandangan laut yang mengagumkan. Bagi mereka yang gemar menikmati panorama dari ketinggian, Eagle’s Nest Hill adalah lokasi terbaik untuk melihat pemandangan laut yang terbentang luas, terutama ketika matahari terbenam.
Selain itu, pantai seperti Fujiazhuang Beach menjadi tempat perkelahan popular dengan pasir lembut dan air laut yang jernih. Kawasan ini juga dikelilingi hutan kecil yang menawarkan suasana damai untuk berjalan santai atau berbasikal.
Suasana romantik di sepanjang jalan menjadikan Binhai Road sebagai destinasi kegemaran setiap pasangan. Dengan bunyi ombak yang memecah pantai dan cahaya lembut senja, setiap sudutnya mencipta kenangan indah bagi sesiapa yang berkunjung. Tidak hairanlah lokasi ini menjadi pilihan untuk sesi fotografi romantis, terutamanya ketika matahari terbit atau terbenam.
Keindahan Formasi Batuan Golden Pebble Beach
Golden Pebble Beach, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar, adalah destinasi yang menawarkan keindahan semula jadi dan formasi geologi unik. Kawasan ini menawarkan gabungan unik keindahan semula jadi, formasi geologi yang menakjubkan dan pelbagai aktiviti santai yang sesuai untuk pelancong dari semua peringkat umur.
Dengan pantai berpasir keemasan yang bersih dan air laut yang jernih, Golden Pebble Beach telah menjadi simbol keindahan pantai di wilayah timur laut China.
Pantai ini turut menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi seperti perahu layar, jet ski, dan selam snorkel, menjadikannya lokasi menarik untuk pelancong dari semua peringkat umur.
Keistimewaan utama pantai ini terletak pada formasi batuan semula jadi yang dikatakan telah berusia lebih 600 juta tahun. Batuan di sini mempunyai bentuk unik yang menyerupai haiwan dan figura manusia, memberikan nama kreatif seperti ‘Batu Dinosaur’, ‘Batu Ikan Paus’, dan ‘Batu Singa’. Keunikan geologi ini menjadikannya lokasi menarik bagi peminat fotografi dan geologi untuk meneroka keajaiban semula jadi.
Pertama kali melangkah ke pantai ini, ia cukup memukau pandangan penulis dan rakan-rakan. Kami masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan di sini.
Pantai ini juga menawarkan pelbagai aktiviti santai dan rekreasi sambil menikmati angin laut yang menyegarkan. Aktiviti sukan air seperti perahu layar, jet ski, dan selam snorkel turut disediakan bagi mereka yang inginkan pengalaman yang lebih aktif.
Russian Street Tonjol Bangunan Klasik Eropah Timur
Kebanyakan bangunan di Russian Street ini menonjolkan seni bina klasik Eropah Timur, dengan atap melengkung, tingkap besar, dan dinding batu yang elegan. Bangunan-bangunan ini bukan sahaja simbol hubungan budaya antara Rusia dan Dalian, tetapi juga menjadi tarikan pelancongan yang menghidupkan semula suasana nostalgik dan romantik di bandar pesisir ini.
Bangunan Rusia di Dalian merupakan tinggalan sejarah yang mempamerkan seni bina kolonial Rusia dari awal abad ke-20, ketika bandar ini berada di bawah pengaruh pemerintahan Rusia.
Bangunan-bangunan tersebut pada asalnya berfungsi sebagai pejabat pentadbiran, gereja, bank, dan kediaman mewah bagi komuniti Rusia yang menetap di sini. Selepas pengunduran Rusia, bangunan-bangunan ini kekal sebagai bukti sejarah pengaruh luar yang membentuk identiti bandar tersebut.
Kini, Russian Street telah diubah menjadi pusat tarikan pelancongan yang meriah. Bangunan-bangunan lama ini menjadi rumah kepada kafe, restoran, galeri seni, dan kedai cenderamata. Pengunjung boleh menikmati hidangan tradisional Rusia seperti borscht dan pelmeni, atau membeli barangan ikonik seperti matryoshka (anak patung bersarang) sebagai kenangan.
-- BERNAMA
Marfika Adnan Haris Fadzilah ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2024, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Ogos.