Kita sering dengar ungkapan Malaysia kaya dengan kepelbagaian latar belakang masyarakat majmuk, namun jangan lupa kita juga kaya dengan nilai-nilai murni seperti bermurah hati dalam membantu orang lain yang ditimpa kesusahan atau malapetaka. Sifat pemurah anggota masyarakat kelihatan terus menjadi rahsia terbuka apabila semakin ramai tampil sama ada secara individu atau berkelompok termasuk atas platform badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat swasta melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menghulurkan pelbagai bantuan apabila ada sebahagian anggota masyarakat kita berhadapan dengan dugaan dan ujian seperti musibah banjir.
Hakikatnya, tatkala kita sayu dan sedih mengenangkan nasib anggota masyarakat yang ditimpa musibah banjir, jangan lupa ada hikmah tersirat yang boleh dibanggakan berlaku apabila ramai yang tampil menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun ideologi politik.
Bantuan Pelbagai Pihak
Pada ketika pasukan keselamatan dan pelbagai agensi kerajaan bertungkus lumus membantu menyelamatkan dan menyantuni mangsa, kebangkitan gelombang sukarelawan rakyat yang dicetuskan oleh pelbagai pihak mewakili masyarakat sivil, mahasiswa, syarikat korporat, NGO dan orang perseorangan seperti pempengaruh dilihat banyak membantu meredakan kesulitan dan meringankan beban serta kesengseraan mangsa banjir di seluruh negara.
Semangat yang ditonjolkan oleh segenap lapisan anggota masyarakat ini sebenarnya sangat bertepatan dengan rukun ihsan dalam agenda Malaysia MADANI yang bermaksud ambil peduli dengan masalah orang lain serta belas kasihan terhadap golongan yang sedang berada dalam kesusahan.
Semangat kesukarelawanan, kekitaan dan kebersamaan yang ditonjolkan oleh anggota masyarakat baik dari segi menghulurkan bantuan kewangan, barangan keperluan mahupun tenaga untuk membersihkan premis yang ditimpa musibah cukup terserlah dan wajar dibanggakan.
Semangat Perpaduan
Senario ini dengan jelas membuktikan, di sebalik pergeseran politik, perbalahan di media sosial serta pelbagai insiden yang menjentik perpaduan kaum yang berlaku di negara ini, kita sebenarnya ada kisah manis yang menonjolkan semangat perpaduan, kesepakatan serta nilai positif dan murni membabitkan majoriti rakyat yang wajar dibanggakan seterusnya dihebahkan dan disebarluaskan.
Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kisah rakyat berbilang kaum dan agama tampil membantu mangsa banjir perlu dihebahkan sebagai tanda semangat perpaduan di negara ini. Jujurnya ini adalah satu fenomena signifikan yang mencerminkan gelombang kesatuan dan kesepaduan rakyat yang wajar diangkat sebagai satu kelebihan dan perlu dimanfaatkan sewajarnya kerana tidak semua negara memiliki keunikan seperti Malaysia.
Hakikatnya, aktiviti kesukarelawan merupakan satu tugas dan komitmen yang cukup murni, ikhlas dan terpuji. Ini kerana sukarelawan tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan mahupun pulangan di atas sumbangan dan bantuan yang dihulurkan. Ringkasnya tidak ada gaji mahupun ganjaran dibayar kepada mereka yang menyertai aktiviti kesukarelawanan. Malah seringkali kita dengar bahawa sukarelawan sanggup mengeluarkan duit poket sendiri sama ada untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa mahupun untuk membiayai penyertaan mereka dalam aktiviti terbabit. Itulah sikap murni seorang sukarelawan.
Ironinya, semangat ingin membantu orang lain umpama pepatah cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga yang sedang dicetuskan oleh sebahagian besar anggota masyarakat perlu diangkat menjadi platform dan manifestasi penting yang menzahirkan keutuhan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Kesedaran kepada Generasi Muda
Justeru semangat luar biasa ini perlu terus disebarkan secara meluas bagi membangkitkan lagi kesedaran dalam kalangan baki segmen anggota masyarakat khususnya generasi muda. Kelompok ini perlu diasuh, dididik dan dipupuk untuk menghayati semangat kesukarelawanan serta tanggungjawab moral dalam membantu orang lain.
Harus diingat, generasi muda yang bakal menjadi tulang belakang masyarakat dan negara kita perlu disedarkan dan disematkan budaya kesukarelawanan agar mereka mampu tampil menghulurkan bantuan apabila diperlukan. Usaha ini boleh dimulakan di pelbagai peringkat seperti di sekolah, universiti, NGO dan komuniti setempat.
Kelompok anak muda di luar sana boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh mahasiswa universiti. Di peringkat universiti awam misalnya, Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dianggotai oleh semua wakil universiti awam adalah platform yang sering memainkan peranan dan tanggungjawab dalam melatih dan menyediakan sukarelawan yang diperlukan untuk pelbagai misi bantuan seperti misi bantuan banjir di seluruh negara, selain pelbagai aktiviti sukarelawan lain yang dilaksanakan oleh universiti masing-masing termasuk yang menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Tahun ini misi bantuan banjir yang dikenali sebagai Skuad Ihsan MADANI KPT yang dianggotai oleh mahasiswa dan pegawai universiti berjaya turun padang ke hampir semua negeri yang terjejas dengan banjir di mana antara lain mereka menghulurkan bantuan dari segi khidmat pembersihan rumah atau institusi awam seperti sekolah dan masjid, selain menyediakan sokongan kaunseling di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di samping turut menghulurkan bantuan barangan keperluan.
Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, walaupun dalam keadaan sibuk mengendalikan Majlis Konvokesyen UPM ke-48 tetap menzahirkan komitmen dengan menghantar Skuad Ihsan MADANI KPT @ Team Jiwa Putra UPM untuk membantu mangsa banjir di Kelantan dan Perak. Skuad di bawah penyelarasan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) membawa mahasiswa untuk menghulurkan bantuan dari segi kotak sumbangan makanan asas selain khidmat pembersihan.
Jadi semua pihak perlu terus memupuk semangat kesukarelawanan baik di sekolah, universiti, pejabat, mahupun peringkat komuniti atas prinsip kemanusiaan dan kebersamaan sekali gus menzahirkan gelombang sukarelawan rakyat atas nama ihsan madani.
Marilah kita sebar luaskan semangat ihsan madani sekali gus menolak tepi segala perbezaan pandangan dan perselisihan yang ada. Hakikatnya, aktiviti kesukarelawanan merupakan satu tugas dan komitmen yang cukup murni, ikhlas dan terpuji.
Justeru diharap gelombang sukarelawan rakyat ini dapat semarakkan lagi semangat ingin membantu, prihatin dan simpati dengan masalah orang lain selain mengeratkan perpaduan kerana kita membantu tanpa mengira latar belakang mangsa dan ini sekali gus mendidik diri menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Semoga semangat kesukarelawanan dan niat ingin membantu orang lain terus subur dalam diri setiap anggota masyarakat berpaksikan rukun ihsan madani.
-- BERNAMA
Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM)