Oleh Dr Hamidah Mat
Agama berperanan penting dalam membentuk nilai, etika dan undang-undang yang menjadi kerangka kehidupan. Dalam Islam, penjagaan agama atau hifz ad-din merupakan salah satu daripada lima maqasid asy-syariah yang bertujuan memastikan kesejahteraan manusia dengan melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Penjagaan agama merangkumi dua dimensi utama: al-wujud (suruhan) melalui pelaksanaan amalan agama dan al-‘adam (larangan) bertujuan melindungi agama daripada ancaman.
Dalam konteks ini, penjagaan agama dapat dibandingkan antara dua peringkat utama: peringkat individu dan peringkat masyarakat secara kolektif.
Takwa Benteng Agama Bagi Setiap Individu Muslim
Penjagaan agama di peringkat individu memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk memastikan hubungan dengan Allah SWT sentiasa utuh. Hubungan antara hamba dengan Pencipta bergantung kepada kualiti takwa yang dimilikinya.
Allah Taala Maha Pengasih telah menjadikan segala ibadah khusus sebagai penjana takwa bagi seorang hamba. Perkara ini melibatkan pelaksanaan ibadah, pemeliharaan akidah dan pengamalan akhlak yang mulia.
Pelaksanaan ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah asas utama penjagaan agama. Justeru, semua ini terkandung dalam rukun Islam yang lima. Seorang Muslim yang menjaga solat lima waktu, dengan menunaikannya pada awal waktu dan secara berjemaah di masjid dianggap sebagai berusaha menjaga hubungan dengan Allah.
Solat adalah peluang untuk sekalian Muslim memperbaharui keimanan dan ketakwaan secara berkala sebanyak lima kali sehari semalam. Ketika bulan Ramadan pula, umat Islam berpeluang menjana takwa dalam kapasiti yang lebih besar dengan berpuasa selama sebulan.
Begitu juga halnya jika dilihat maqasid atau tujuan ibadah yang lain seperti zakat, haji, sedekah, zikir dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Dalam makna yang lain, ibadah dilakukan kerana Allah demi menjaga hubungan yang baik dengan-Nya.
Manusia sangat memerlukan rahmat dan bantuan Allah SWT pada setiap ketika dan tempat, seperti kata peribahasa Melayu, “Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa.”
Ibadah Sahaja Tidak Cukup
Amal ibadah yang wajib mahupun sunat mestilah didasarkan kepada akidah yang sahih. Akidah yang sahih perlu dipertahankan dan diperbaharui dengan usaha menjauhi syirik, bidaah serta fahaman yang bercanggah dengan Islam.
Kefahaman yang benar tentang Islam amatlah penting demi memelihara diri daripada penyelewengan agama. Dalam hal ini, umat Islam mestilah berhati-hati daripada terjebak dengan gejala ghuluw (melampaui batas) yang berpunca daripada kefahaman yang tidak tepat tentang agama dan Allah SWT.
Kefahaman yang benar tentang agama amat penting bagi memastikan umat Islam tidak terjebak dalam fenomena ghuluw yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Ghuluw seperti takfir, iaitu sikap mudah mengkafirkan orang lain hanya kerana perbezaan dalam perkara cabang agama, adalah satu tindakan yang bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan kasih sayang serta persaudaraan.
Kefahaman yang tepat akan membolehkan umat Islam memahami perbezaan pendapat sebagai rahmat dan bukannya alasan untuk mencetuskan konflik.
Selain itu, kefahaman yang benar juga membantu individu menjaga keseimbangan antara aspek zahir juga rohani. Islam mengutamakan akhlak dan ketakwaan, bukannya penekanan melampau terhadap penampilan luaran yang tidak disokong oleh dalil yang jelas.
Selain itu, kefahaman agama yang benar membantu menghindari sikap fanatik terhadap mazhab, aliran pemikiran atau individu tertentu, yang boleh menghalang dialog ilmiah hingga mencetuskan perpecahan.
Dengan memahami prinsip ijtihad dan perbezaan pandangan, umat Islam dapat bersikap lebih terbuka dan saling menghormati. Hal ini penting dalam menjaga perpaduan masyarakat serta memelihara imej Islam sebagai agama rahmat untuk seluruh alam.
Sikap sederhana yang lahir daripada kefahaman yang benar akan menjadikan umat Islam lebih inklusif, mencerminkan nilai Islam yang sebenar dan menyumbang kepada keharmonian sosial. Tanpa kefahaman ini, umat Islam berisiko terperangkap dalam sikap melampau yang boleh memberi kesan buruk kepada agama dan masyarakat.
Hiasi kefahaman dengan akhlak dan adab
Akhlak dan adab yang baik melengkapkan usaha penjagaan agama. Pepatah Arab ada mengatakan الأدب كالدقيق والعلم كالملح bermaksud “Adab itu bagaikan tepung, dan ilmu itu bagaikan garam.”
Pepatah ini membawa mesej yang sangat penting dengan tafsiran kepada perumpamaannya iaitu untuk buat roti, tepung perlu pada kuantiti yang banyak manakala garam sedikit sahaja. Begitu jugalah manusia, adab itu perlu diperbanyak seganding malah melebihi ilmu.
Adab dan akhlak membina personaliti seseorang, malah adab yang baik mampu menundukkan musuh sekalipun. Sirah Rasulullah SAW menjadi bukti bahawa akhlak Rasulullah SAW menjadikan golongan Quraisy menjadi malu dan menerima dakwah baginda.
Akhlak baginda yang disifatkan sebagai al-Quran juga turut membuatkan sebahagian musuh Islam menjadi malu alah dan akur dengan kebenaran Islam.
Pada hari ini, menjaga agama perlu dimulakan dengan adab terhadap diri sendiri dan terhadap Allah SWT. Penting juga untuk seorang Muslim menjaga adab dengan orang lain, tidak kira sama ada sesama Muslim atau sebaliknya.
Akhlak dan adab menjadi peribadi dan imej seorang Muslim. Adab yang baik perlu diterapkan melalui kata-kata, tingkah laku dan perbuatan, malah hati juga mempunyai adabnya.
Lantaran itu, manusia dianugerahkan akal yang boleh digunakan untuk memilih adab dan akhlak yang baik untuk diamalkan. Prof. Hamka dalam buku beliau “Falsafah Hidup” menekankan pengertian dan tujuan pemberian akal kepada manusia oleh Allah SWT dalam melaksanakan prinsip adab kesopanan.
Bagi sesiapa yang pernah membaca buku ini, mereka akan mendapati bahawa keseluruhan buku tersebut menggesa manusia untuk bersungguh-sungguh menggunakan akal yang waras untuk mempertimbangkan segala kebaikan dan mengamalkan segala yang baik berupa adab dan amal soleh. Oleh itu , Prof. Hamka menamakan bab pertama dalam buku ini sebagai “Akal Untuk Manusia.”
“Akal menyuruh manusia menjaga dirinya dan mengatur peri kehidupannya, jangan meniru orang lain sebelum difikirkan apakah yang ditiru itu sesuai dengan dirinya. Yang lebih utama menurut akal ialah mengukur bayang-bayang diri, mengenal siapa diri dan berusaha memperbaiki mana yang telah rosak…” (Falsafah Hidup: 38).
Penjagaan agama pada peringkat negara dan institusi
Pada peringkat sosial dan negara, penjagaan agama memerlukan usaha kolektif melalui institusi, dasar dan pelaksanaan undang-undang untuk melindungi agama secara menyeluruh. Agama dilihat sebagai satu institusi yang mempunyai haknya iaitu dipelihara, dipertahankan dan diberikan pengiktirafan yang selayaknya.
Sebagai sebuah negara yang berdaulat, undang-undang memainkan peranan penting untuk menyusun atur, mengawal dan menguatkuasakan peraturan yang memangkin agama dalam negara.
Dakwah yang berteraskan amar makruf nahi mungkar dianggap sebagai alat penjagaan agama yang penting. Dakwah adalah mekanisme penting dalam memastikan kefahaman dan amalan agama yang betul. Dakwah bertujuan memperkukuh akidah umat Islam dan menyampaikan ajaran Islam kepada bukan Islam.
Demi penjagaan terhadap agama, kegiatan dakwah mestilah disuburkan dan digalakkan dalam semua peringkat. Jika Prof. Hamka menekankan tentang kepentingan menggunakan akal untuk berakhlak mulia dan berbudi tinggi, maka di peringkat yang lebih luas, kefahaman yang menyeleweng bahkan yang berupa ancaman mestilah diawasi dan dibendung.
Setiap daripada kita memerlukan agama. Agama yang benar ialah Islam semata-mata. Menjaga agama adalah tugas semua. Maka mulakanlah dengan diri sendiri iaitu dengan memupuk takwa yang kuat sehingga melahirkan rasa izzah dan cinta terhadap agama itu sendiri.
Agama yang kita cintai ini perlu dipelihara dengan penuh hormat. Sekiranya kita mahu kaum lain menghormati agama, budaya, bahasa dan adat kita, kita juga perlu menghormati agama, budaya, bahasa serta adat kaum lain.
Selain itu, kita juga perlu peka dalam menjaga sensitiviti bersama, bak kata pepatah Melayu “Serumpun bak serai, sesusun bak sirih.”
-- BERNAMA
Dr Hamidah Mat ialah Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Open University Malaysia (OUM).