TINTA MINDA

CAPAI USIA 40 TAHUN, APA DAN DI MANA KITA

10/01/2025 11:00 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Nurul Hanilah Mohd Ismath dan Abdul Hadi Abd Aziz

Menginjak ke umur 40 tahun adalah satu kemestian dalam perjalanan hidup ini. Ada apa dengan angka 40? Yang menarik, dalam kehidupan manusia, Allah SWT menyebut secara khusus usia 40 tahun ini dalam al-Quran.

Ini menandakan bahawa usia tersebut adalah titik penting dalam kehidupan seseorang, terutama sebagai seorang Islam. Hal ini dikuatkan dengan sejarah kenabian Nabi Muhammad SAW, yang mana baginda menerima wahyu pertama ketika berusia 40 tahun.

Maka, usia 40 tahun mempunyai signifikan tersendiri bagi setiap umat Islam dan penting untuk dibincangkan serta diambil pengajaran daripadanya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahqaf ayat 15:

"Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)."

Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa apabila seseorang telah mencapai usia 40 tahun, dia dianjurkan untuk membaca doa yang dinyatakan pada ayat tersebut.

Berdasarkan buku karangan Fakhruddin al-Razi bertajuk Mafatih al-Ghaib, beliau mengatakan bahawa ketika Umar bin ‘Abd al-‘Aziz mencapai usia 40 tahun, beliau sentiasa berdoa dengan lafaz “allahumma awzi’nii an ashkura ni’matii” hingga akhir hayatnya.

Manakala Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan bahawa seseorang yang mencapai usia 40 tahun diseru untuk memperbaharui taubatnya.

Pengajaran bagi umat Islam

Dari penjelasan ini, apabila seseorang telah mencecah 40 tahun dia hendaklah:

1. Matang dan bijaksana

Seseorang yang mencapai usia 40 tahun seharusnya menjadi lebih matang dan bijaksana dalam bertutur dan bertindak.

Mereka sepatutnya pandai membuat keputusan bijak dengan pertimbangan yang sewajarnya serta mampu memberi keseimbangan dalam semua aspek kehidupan. Nabi SAW pada usia ini menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan dalam menguruskan urusan peribadi, keluarga dan masyarakat, menjadi panduan buat umat Islam.

2. Menuntut ilmu untuk perbaiki diri dan keluarga

Wahyu pertama yang diterima oleh Nabi SAW menekankan pentingnya membaca dan memperoleh ilmu.

Dengan ilmu, manusia dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memahami ajaran-Nya yang terkandung dalam al-Quran.

Pada usia ini, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin untuk membimbing diri supaya menjadi lebih baik, serta untuk mendidik ahli kelurga menjadi yang terbaik dari sebelumnya.

Jadikanlah suasana di rumah sarat dengan ilmu untuk memperoleh pintu-pintu kebaikan.

Mungkin sebelum ini masa banyak dihabiskan dengan gadget dan pelbagai aktiviti tidak berfaedah.

Dan sekaranglah bermulanya bagi seseorang itu untuk memberikan sebanyak-banyak kebaikan kepada anak-anaknya melaui ilmu pengetahuan.

Sentiasa perdengarkan kepada mereka ayat al-Quran dan membimbing mereka sedikit demi sedikit untuk tadabbur dengan ayat yang selalu mereka lazimi terutama ayat-ayat bacaan di dalam solat.

3. Sabar dan tabah

Menghadapi cabaran hidup memerlukan kesabaran dan keteguhan. Sejarah hidup Nabi SAW menjadi inspirasi dalam menghadapi onak duri kehidupan.

Pada usia sebegini, kita perlu lebih bersabar dan tabah menghadapi ujian dalam diri kita. Mungkin sebelum ini agak susah untuk kita menerima sisi baik dalam menerima ujian dalam kehidupan. Seolah-olah ujian yang melanda adalah hanya disebabkan dosa-dosa kita yang terdahulu tetapi kita lupa bahawa dalam surah al-Mulk Allah mengatakan yang bermaksud bahawa Allah ciptakan kehidupan dan kematian ini bertujuan untuk Allah menguji hamba-hambaNya siapakah antara mereka yang paling baik amalannya (semasa diuji).

Adakah menyalahkan taqdir semasa diuji dengan kesusahan? dan adakah lalai semasa diuji dengan kemewahan?

Sekiranya ujian di dunia ini dapat ditempuhi dengan baik (tabah, sabar, reda) maka kematiannya juga adalah baik iaitu menggapai syurgawi. Manakala jika sebaliknya, kematiannya juga dikhuatiri tidak baik. Wa’iyazubillah.

4. Bersyukur dan memperbaiki Ibadah serta bertaubat

Usia 40 tahun juga menjadi titik tolak kepada kita untuk memperkukuhkan hubungan kepada Allah SWT dengan mensyukuri semua nikmat yang banyak dianugerahkan kepada kita.

Mungkin pada fasa ini telah banyak yang diperoleh; rumah, kereta, keluarga, harta benda dan rezeki-rezeki lain. Semoga semua ini dapat meningkatkan kesyukuran kita kepada yang Esa Maha Pemberi.

Perbaiki jugalah amalan dan ibadah harian dengan istiqamah walaupun sedikit seperti tunaikan solat di waktunya dan tidak berlengah-lengah, perbaiki bacaan solat dan memahami serta menghayatinya, tadabbur surah-surah yang sentiasa dibaca serta bertanyalah kepada yang ahli sekiranya tidak pasti tafsiran sesuatu surah itu, lazimi bacaan al-Quran dengan berdisiplin, banyakkan bersedekah, memperbaiki akhlak sesama ibu bapa, pasangan, anak-anak dan orang sekeliling serta menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi dengan lebih baik.

Di usia ini juga digalakkan kita untuk taubat serta perbaharui taubat. Semoga segala dosa-dosa kita dapat diampunkan oleh Allah. Allah sangat suka orang yang bertaubat kerana semua bani Adam membuat salah silap dan sebaik-baik orang yang membuat salah itu adalah orang yang bertaubat.

Jika ditelusuri ayat al-Ahqaf di atas tadi mungkin Allah inginkan kita untuk start fresh. Mungkin kita banyak terleka dengan kehidupan sebelum ini. Jadi di usia 40, kita digalakkan untuk membuat azam yang baharu melalui taubat sebagai persediaan untuk kita menghadapai alam yang seterusnya (kematian).

5. Memberi sumbangan kepada masyarakat

Pada usia 40 tahun, Nabi SAW telah memainkan peranannya yang penting dalam membina masyarakat Islam yang adil dan sejahtera.

Bahkan kita juga, apabila mencapai usia ini, kita seharusnya berusaha sedaya upaya untuk menyumbang kepada masyarakat dengan kelebihan dan kemampuan yang kita miliki. Dengan ilmu dan kepakaran yang ada, kita dapat berkongsi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat demi membantu membina ummah yang lebih baik dan harmoni.

Justeru, usia 40 tahun adalah satu pencapaian yang membawa bersama tanggungjawab yang besar.

Mengambil ibrah dari sirah Nabi SAW, sebagai umat Islam, kita perlu lebih memahami makna kematangan setelah mencapai usia ini di samping mengambil pengajaran dari kehidupan baginda dan menerapkan nilai-nilai tersebut dalam kehidupan kita.

Marilah kita sama-sama mengamalkan doa yang diajar oleh Allah SWT dalam surah al-Ahqaf ini agar hidup kita sentiasa diberkati Allah.

-- BERNAMA

Dr. Nurul Hanilah Mohd Ismath ialah daripada Jabatan Bahasa Arab, Kuliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) manakala Abdul Hadi Abd Aziz ialah daripada Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)