Assalamualaikum
Kreatif, unik dan menakjubkan! itulah perkataan yang boleh digambarkan penulis saat melangkah masuk ke Rice Dream Space di Shenyang, Liaoning, China.
Siapa sangka di atas sawah padi seluas 120 hektar ini terdapat lukisan padi berskala besar yang berjaya memasuki Rekod Dunia Guinness sebagai lukisan padi terbesar di dunia. Lukisan ini bukan sahaja besar, malah, mempunyai reka bentuk tiga dimensi yang memukau, mencipta pemandangan yang sangat menakjubkan.
Apa yang lebih menarik penulis berpeluang menikmati pemandangan ladang padi yang luas dari menara pemerhatian setinggi 27 meter. Saya boleh melihat keseluruhan kawasan Rice Dream Space dan menikmati keindahan semula jadi yang ada di sekitar dan ianya memberikan pengalaman yang sangat berbeza.
Untuk lebih merasai suasana tempatan, penulis dan rakan-rakan dari China International Press Communication Center (CIPCC) juga dibawa menaiki kereta api pelancong yang disediakan di sini bagi mengelilingi kawasan ladang padi sambil menikmati pemandangan yang indah. Ia juga memberi peluang untuk belajar lebih lanjut mengenai budaya dan tradisi tempatan berkaitan dengan penanaman padi.
Lukisan padi ini biasanya dipamerkan semasa musim menuai, yang berlaku antara bulan Ogos hingga Oktober. Jika anda datang pada waktu ini, anda dapat menikmati pemandangan padi yang sedang dituai dan melihat lukisan padi dalam keadaan berbeza.
Jalan Komersial Tertua di China
Selain lapangan padi yang unik, Shenyang juga popular dengan jalan komersial tertua di China yang dikenali sebagai Zhongjie Street. Laluan ini merupakan jalan membeli-belah yang bersejarah dan paling sibuk di Shenyang.
Jalan ini telah wujud lebih 370 tahun sejak zaman Dinasti Ming dan Qing, menjadikannya salah satu jalan komersial tertua di China yang masih digunakan hingga kini.
Pada tahun 1997, jalan ini diubah menjadi kawasan khas pejalan kaki pertama di China, dengan panjang kira-kira 1,500 meter. Hari ini, Zhongjie menjadi pusat komersial moden yang menawarkan pelbagai pengalaman membeli-belah dan pengunjung boleh menemui butik mewah, jenama tempatan, serta pelbagai restoran yang menyajikan hidangan tempatan.
Selain aktiviti membeli-belah dan menjamu selera, jalan ini juga memberikan peluang untuk menghayati sejarah dan budaya melalui seni bina serta suasana uniknya. Zhongjie Street ialah destinasi yang sesuai untuk pelancong dan penduduk tempatan yang ingin menikmati pengalaman budaya dan komersial di Shenyang.
Kilang Era Jepun Diubah Jadi Ruang Kreatif dan Budaya
Penulis juga dibawa ke '1905 Cultural and Creative Park', ia destinasi budaya yang sangat menarik. Dahulunya, bangunan ini merupakan sebuah kilang industri berat yang dibina pada 1935 semasa era Jepun, dan kini ia telah diubah suai menjadi ruang kreatif serta budaya, mengekalkan elemen seni bina industri lama sambil menambah unsur moden.
Di bangunan ini juga ada menempatkan galeri seni, kedai buku, kafe hipster, serta ruang kreatif untuk pelbagai acara seni dan persembahan. Suasana di kawasan ini sangat unik, gabungan antara sejarah dan inovasi, menjadikannya tempat popular untuk pengunjung tempatan dan pelancong.
Menurut penyelia tempat tersebut nama “1905” itu dipilih untuk mengimbau kembali sejarah penting Shenyang, merujuk kepada perkembangan awal perindustrian dan budaya bandar ini. Tempat ini juga sering menjadi lokasi pameran seni moden dan acara budaya antarabangsa.
Di sini juga mempunyai ruang untuk konsert dan persembahan seni. Tempat ini direka sebagai pusat budaya yang serba guna, jadi selain galeri seni dan kafe, ia juga sering menjadi lokasi untuk acara muzik, persembahan teater, dan konsert kecil.
Ruang tersebut mengekalkan elemen industri lama seperti dinding bata dan struktur besi, menjadikan suasana konsert di sini sangat unik dan penuh dengan elemen seni. Ia memberikan pengalaman yang berbeza berbanding tempat konsert biasa, dengan suasana lebih intim dan kreatif.
Banyak artis tempatan dan antarabangsa juga pernah membuat persembahan di sini, menjadikannya salah satu tempat kegemaran bagi peminat muzik dan budaya di Shenyang.
-- BERNAMA
Marfika Adnan Haris Fadzilah ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2024, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Ogos.