Dahulu, universiti mungkin dianggap sebagai tempat utama untuk mendapatkan ijazah, yang menjadi tiket untuk memasuki dunia pekerjaan. Namun, hari ini realiti semakin berubah. Selain ijazah, terdapat pelbagai sijil kemahiran dan profesional yang lebih fleksibel dan praktikal untuk memenuhi keperluan industri.
Ditambah juga dengan perkembangan teknologi dan media sosial yang semakin pesat, sebahagian individu bergantung kepada teknologi sebagai sumber pendapatan. Perubahan ini mungkin memberi tekanan kepada graduan untuk mendapatkan kemahiran yang relevan dalam dunia pekerjaan yang serba canggih dan moden.
Salah satu sektor yang kini sedang berkembang pesat adalah kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai Artificial Intelligence (AI). Negara perlu memastikan pekerja dan graduan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini, yang dijangka akan memberi impak besar terhadap pelbagai sektor termasuklah ekonomi, politik, sains, pengurusan, media dan lain-lain bidang yang berkaitan.
Malaysia, sebuah negara yang bersaing hebat dalam liga industri global. Maka ia memerlukan perancangan dan strategi daripada pelbagai aspek termasuklah sektor pendidikan yang memfokuskan kepada peningkatan kemahiran digital serta kecerdasan buatan untuk memastikan tenaga kerja sentiasa bersedia terhadap perubahan.
Pada masa kini, dunia pendidikan dan pekerjaan sedang mengalami perubahan yang drastik berikutan kemajuan pesat dalam teknologi dan kecerdasan buatan (AI). Graduan bukan sahaja berhadapan dengan cabaran untuk memenuhi kehendak pasaran kerja, tetapi dalam memenuhi kehendak industri sama ada di peringkat lokal mahupun global.
Justeru, institusi pendidikan turut memainkan peranan penting dalam membentuk graduan yang tidak hanya bersedia untuk dunia pekerjaan, tetapi juga mampu memimpin dengan nilai moral dan etika dalam era kecerdasan buatan dan ledakan informasi.
Contohnya, di peringkat universiti, latihan industri merupakan kursus yang ditawarkan dalam struktur kurikulum pengajian menyediakan ruang kepada pelajar untuk membina pengalaman bekerja semasa dalam tempoh pengajian yang berkaitan dengan bidang yang dipelajari sebelum bergraduasi. Ia juga menjadi wadah kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman dalam aspek tanggungjawab kerja, komunikasi, kerja berpasukan dan amalan profesional dalam sektor pekerjaan.
Kebolehpasaran Graduan dalam Era Digital
Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2023 yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2024, terdapat penurunan 0.4 peratus pada kadar kebolehpasaran graduan yang mana kebolehpasaran graduan warganegara pada tahun 2022 adalah 90.2 peratus, manakala tahun 2023 menurun kepada 89.8 peratus.
Bidang perniagaan, pentadbiran dan perundangan merupakan keluaran graduan yang tinggi iaitu sebanyak 28.9 peratus diikuti oleh bidang kejuruteraan (25.0 peratus), sastera dan kemanusiaan (8.7 peratus), teknologi maklumat dan komunikasi (7.5 peratus) dan pendidikan (7.1 peratus).
Bidang lain merangkumi perkhidmatan, kesihatan, sains sosial, matematik, pertanian dan kelayakan generik. Realitinya, kebolehpasaran graduan kini bukan hanya bergantung semata-mata kepada ijazah yang diperoleh, tetapi juga pada kemahiran teknikal yang lebih khusus, seperti kemahiran dalam pengurusan data, analisis data, pembangunan aplikasi atau perisian dan kefahaman mengenai kecerdasan buatan.
Bagi memastikan graduan lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja, penyelarasan yang lebih komprehensif antara sistem pendidikan dan keperluan industri perlu dilakukan.
Kerjasama yang lebih erat antara pihak universiti dan industri seperti lantikan penilai luar industri dan wacana industri di kampus akan membolehkan kurikulum diperhalusi dengan kemahiran yang paling diperlukan oleh majikan pada masa kini.
Ini termasuklah penekanan pada kemahiran yang lebih spesifik, seperti kemahiran teknologi yang menekankan kefahaman mengenai alat digital terkini, kecerdasan buatan serta pengurusan dan analisis data yang dapat meningkatkan kecekapan operasi industri.
Kemahiran keusahawanan seperti pelajar harus dilatih untuk menjadi inovatif dan berdaya saing, terutama dengan semakin berkembangnya sektor perniagaan berasaskan teknologi. Juga kemahiran digital seperti kecekapan dalam penggunaan perisian atau aplikasi, pengendalian platform e-dagang dan kemahiran berkomunikasi dalam dunia maya.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir menerusi perutusan 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi Tahun 2025 menyebut bahawa kemahiran dalam teknologi digital, teknologi kecerdasan buatan dan pemerkasaan industri di kampus merupakan langkah penting dalam membangunkan bakat terbaik negara.
Dalam aspek yang lain, struktur kurikulum juga perlu merangkumi aspek penguasaan teknologi, keusahawanan, kemahiran digital dan kecerdasan buatan yang diterapkan dalam kurikulum pengajian. Justeru, negara perlu memastikan bahawa sistem pendidikan menyediakan peluang kepada pelajar untuk menguasai kemahiran ini melalui kurikulum yang berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri masa hadapan.
Cabaran Generasi Muda dan Graduan
Cabaran sebenar adalah memastikan graduan tidak hanya mempunyai ilmu teori dan kemahiran teknikal semata-mata, tetapi juga memiliki sifat kepimpinan dan integriti yang kukuh. Didikan yang diberikan terhadap graduan tidak hanya berbentuk teori atau amali untuk skor penilaian tugasan dalam kuliah, tetapi berupaya membuat keputusan yang beretika dalam situasi yang melibatkan penggunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan dalam bidang pekerjaan. Dalam dunia yang semakin bergantung kepada data dan algoritma, pentingnya nilai moral dan etika dalam setiap hasil kerja dan keputusan yang dibuat.
Tambahan pula, generasi muda pada masa kini berhadapan dengan informasi berlebihan atau dikenali dengan istilah information overload, mereka sentiasa terdedah kepada maklumat dan teknologi yang pelbagai dan berlebihan. Hal ini sepatutnya menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam memanfaatkan teknologi dan maklumat. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan situasi ini boleh menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada gangguan disebabkan oleh kelajuan dan evolusi teknologi yang pantas dan berterusan.
Generasi muda juga tidak boleh hanya bergantung kepada alat teknologi seperti ChatGPT atau DeepSeek, tetapi perlu melibatkan diri dalam wacana ilmiah yang mampu mengasah minda mereka secara secara kritis dan proaktif. Ini bagi membentuk kemahiran mereka untuk mentafsir, menganalisis, dan menilai maklumat agar tidak hanya sebagai penerima dan pengguna.
Menghadapi cabaran dalam era kecerdasan buatan adalah amat penting bagi mengelak berlakunya kemalasan kognitif dan kebergantungan yang melampau terhadap teknologi digital di mana individu lebih banyak berinteraksi dengan teknologi dan AI untuk bertanya soalan dan mendapatkan penyelesaian masalah. Interaksi secara fizikal dan bersemuka masih kekal penting bagi memperkuat hubungan sosial, membina kepercayaan, empati, dan perasaan kehadiran sesama makhluk.
Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli dalam Membentuk Graduan Pemimpin Beretika
Dalam menghadapi cabaran yang timbul susulan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan, graduan perlu dilatih untuk mengimbangi antara kemahiran teknikal dan nilai-nilai moral. Ilmu naqli dan aqli memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang profesional, tetapi juga memiliki akhlak dan etika yang tinggi dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Ilmu naqli, yang merujuk kepada ilmu yang datang daripada wahyu Allah seperti Al-Quran dan Hadis, memberi panduan kepada individu dalam menjalankan tugas mereka dengan integriti dan tanggungjawab berpaksikan kepada ketauhidan kepada Allah.
Manakala ilmu aqli, iaitu ilmu yang diperoleh melalui akal dan rasional memberi kemampuan kepada individu untuk berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah secara inovatif.
Gabungan kedua-dua ilmu ini akan melahirkan graduan yang seimbang, mampu memberi impak yang positif dalam masyarakat dan mempunyai kemampuan untuk menguruskan teknologi dan maklumat dengan bijaksana dan beretika.
Sebagai contoh, kecerdasan buatan kini banyak digunakan dalam pelbagai bidang, termasuk media, komunikasi, dakwah, kepimpinan, perubatan, perbankan, sumber manusia, dan kaunseling. Walaupun kecerdasan buatan menawarkan pelbagai kelebihan, ia juga membawa cabaran etika seperti kesahihan data dan keaslian hasil kerja.
Graduan yang tidak dilengkapi dengan asas moral yang kuat mungkin akan mudah terjebak dalam penggunaan teknologi dengan cara yang salah dan tidak beretika. Oleh yang demikian, adalah penting didikan itu bukan sahaja untuk memahami bagaimana teknologi berfungsi, tetapi juga mengamalkan nilai moral dan etika yang tinggi dalam setiap keputusan dalam pekerjaan yang dilakukan.
Justeru, pendidikan hari ini tidak boleh hanya menumpukan kepada aktiviti memberi pengetahuan, tetapi membentuk graduan menjadi pemimpin yang proaktif dan didukung dengan akhlak dan adab yang mulia. Generasi muda pada masa kini tidak hanya perlu didorong untuk menjadi individu yang mampu beradaptasi dengan cepat terhadap perubahan teknologi dan sosial, tetapi mampu menjadi graduan dan pemimpin yang berintegriti dalam menghadapi cabaran global serta berupaya memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan negara.
Walaupun negara perlu bersedia menghadapi perubahan yang dibawa oleh kecerdasan buatan dan ledakan informasi, sistem pendidikan turut mendapat tempias untuk tidak berada ditakuk lama. Sistem pendidikan pada hari ini mahu atau tidak perlu berhadapan dengan semakan kurikulum secara berkala bagi menempuhi perubahan yang lebih dinamik dan berkembang seiring kemajuan zaman. Dalam menghadapi cabaran kebolehpasaran graduan untuk mendapat tempat dalam industri, mereka tidak hanya mendapatkan peluang pekerjaan tetapi perlu bersedia untuk kekal relevan dan kompetitif di samping menguasi kemahiran yang diperlukan oleh industri. Pendekatan integrasi ilmu naqli dan aqli dalam pendidikan bertindak sebagai asas utama dalam membentuk graduan yang bukan sahaja mementingkan kemahiran, tetapi karakter dan peribadi yang baik. Dalam dunia tanpa sempadan ini, penting bagi kita untuk mendidik generasi muda dengan adab dan akhlak, agar mereka mampu berfikir secara kritis, berkemahiran dan bertindak dengan penuh tanggungjawab.
-- BERNAMA
Dr Kartini Kamaruzzaman ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.