Oleh Profesor Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom & Dr Ir Uus Mohammad Darul Fadli
Industri pembinaan global kini mengalami gelombang transformasi teknologi yang semakin pesat.
Antara inovasi yang paling berpengaruh ialah penggunaan teknologi imbasan 3D berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang kini menjadi teras kepada pembangunan tapak pintar, pemantauan struktur, dan pengesanan awal risiko bencana.
Dalam konteks negara membangun seperti Malaysia dan Indonesia, teknologi ini tidak hanya meningkatkan daya saing sektor pembinaan, malah menjadi alat strategik untuk memastikan keselamatan, kelestarian, dan kecekapan operasi jangka panjang.
Teknologi imbasan 3D berasaskan AI berfungsi dengan menghasilkan model digital tiga dimensi daripada data yang dikumpul oleh dron, LiDAR dan sensor optik.
Model ini kemudian dianalisis oleh AI untuk mengenal pasti sebarang ketidaktepatan struktur, perubahan geologi, atau risiko tersembunyi seperti kebocoran gas, tekanan tanah yang luar biasa, dan pergerakan mikro yang boleh membawa kepada bencana seperti tanah runtuh atau letupan paip.
Di Malaysia, insiden seperti letupan paip gas di Putra Heights, Subang, Selangor serta kejadian tanah mendap akibat kerja bawah tanah, telah menunjukkan keperluan mendesak untuk pemantauan berasaskan data masa nyata di tapak pembinaan.
Usaha Malaysia ke arah pembinaan pintar semakin ketara melalui inisiatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR).
Agensi seperti CIDB, MDEC dan MIDA telah mula memperkenalkan insentif untuk kontraktor menerapkan teknologi digital termasuk BIM, AI, dan dron dalam pengurusan projek.
Universiti awam seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga sedang melaksanakan penyelidikan dalam bidang keselamatan tapak, pemodelan BIM pintar dan robotik pembinaan.
Walau bagaimanapun, keperluan untuk memperkukuh infrastruktur data, latihan kemahiran dan kerjasama industri-akademia masih menjadi penghalang dan cabaran utama untuk pelaksanaan berskala besar.
Pembinaan Negara Pintar
Di Indonesia pula sedang giat memperkenalkan pendekatan pembinaan pintar dalam projek mega seperti Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur, di mana teknologi pemetaan 3D, pemantauan satelit dan pengesanan AI digunakan untuk mengelakkan kesilapan reka bentuk serta memastikan ketelusan pembinaan.
Melalui kerjasama antara Badan Pengembangan Infrastruktur Wilayah (BPIW) dan agensi penyelidikan seperti BPPT (Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi), Indonesia sedang membangunkan pangkalan data geospasial kebangsaan yang menyokong analitik tapak masa nyata.
Langkah ini penting dalam memastikan pembangunan berskala besar dilakukan secara selamat, telus dan selaras dengan prinsip kelestarian.
Sebagai perbandingan, negara maju seperti Australia, United Kingdom dan Singapura telah jauh ke hadapan dalam menerapkan teknologi ini melalui pusat penyelidikan bertaraf dunia.
Di Australia misalnya, Centre for Smart Modern Construction (c4SMC) di Western Sydney University memfokuskan kepada penyelidikan digital twin, robotik, dan AI dalam mengoptimumkan proses pembinaan, termasuk dalam aspek keselamatan dan pengurusan risiko bencana.
Di United Kingdom, The Bartlett School of Construction and Project Management di University College London (UCL) menjalankan pelbagai kajian kolaboratif dengan firma kejuruteraan untuk membangunkan sistem pemantauan struktur secara automatik yang mampu mengesan perubahan pada tahap ketepatan tinggi.
Singapura pula, melalui Centre for Integrated Building Energy and Sustainability in the Tropics (CiBEST) di National University of Singapore (NUS), telah membuktikan kejayaan dalam menerapkan AI dan sensor dalam bangunan komersial dan infrastruktur awam untuk pemantauan berterusan dan tindak balas bencana yang efisien.
Mencontohi Pendekatan Negara Maju
Kejayaan pusat-pusat penyelidikan ini menjadi penanda aras penting kepada negara membangun dalam memperkukuh kapasiti penyelidikan dan inovasi tempatan.
Malaysia dan Indonesia boleh mencontohi pendekatan mereka dengan mewujudkan pusat penyelidikan bersepadu yang menggabungkan kepakaran kejuruteraan, data, dan kecerdasan buatan untuk menyelesaikan isu bencana pembinaan.
Penubuhan makmal seperti “Smart Site Safety Lab” atau “Centre for Construction Risk Monitoring” di universiti tempatan boleh menjadi platform kolaborasi antara sektor industri, kerajaan dan akademia bagi membina ekosistem pembinaan yang lebih selamat dan pintar.
Teknologi dan Pasaran Pekerajaan
Teknologi imbasan 3D dan AI juga memberi impak besar kepada ekonomi dan pasaran pekerjaan.
Laporan McKinsey & Company menunjukkan bahawa projek yang menggunakan sistem ini mencatat peningkatan produktiviti sebanyak 25% dan pengurangan kos sebanyak 15%.
Di samping itu, peluang pekerjaan baharu dalam bidang visualisasi digital, pengurusan data pembinaan, juruanalisis risiko, dan pengendali dron kini terbuka luas – terutamanya untuk graduan teknikal dan profesional muda di negara membangun.
Dari sudut alam sekitar, pemantauan struktur secara tepat membantu mengelakkan pembaziran bahan binaan, mengurangkan aktiviti pembinaan semula, dan meminimumkan pelepasan karbon daripada jentera berat.
Teknologi ini juga menyokong pengurangan lawatan tapak secara fizikal dan penggunaan tenaga, seterusnya menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 dan 13.
AI-Sosial dan Keselamatan
Dari perspektif sosial dan keselamatan, sistem AI boleh mengenal pasti pekerja yang tidak mematuhi protokol keselamatan, mengesan kehadiran bahan mudah terbakar, dan mengeluarkan amaran awal terhadap risiko bencana—sama ada tanah runtuh, kebocoran gas atau kegagalan struktur.
Ini sekaligus melindungi nyawa pekerja serta komuniti yang tinggal berhampiran kawasan pembinaan.
Namun begitu, cabaran pelaksanaan seperti kos permulaan, kekurangan tenaga mahir, dan kekangan dasar masih perlu ditangani secara strategik.
Negara membangun perlu melihat teknologi ini bukan sebagai beban, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang dalam keselamatan, kelestarian dan kemakmuran ekonomi.
Kesimpulannya, teknologi imbasan 3D berasaskan AI bukan lagi sekadar eksperimen namun ia telah menjadi tulang belakang kepada pembinaan masa depan yang pintar, responsif dan selamat.
Negara seperti Malaysia dan Indonesia, dengan sokongan dasar, pengukuhan penyelidikan, dan kerjasama antarabangsa, mempunyai potensi besar untuk menjadi pemimpin serantau dalam pembangunan teknologi pembinaan pintar dan pengurusan risiko bencana berasaskan data.
-- BERNAMA
Profesor Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom ialah Timbalan Dekan Pembangunan, Penyelidikan dan Penerbitan, dan Penyelidik Utama, Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM dan Dr Ir Uus Mohammad Darul Fadli ialah Wakil Rektor Bidang Kemahasiswaan dan Alumni, Universitas Buana Perjuangan Karawang Indonesia.