TINTA MINDA

HARI GLAUKOMA SEDUNIA 2025: MEMPERKASA PENDIDIKAN INKLUSIF BAGI MURID KETIDAKUPAYAAN PENGLIHATAN

12/03/2025 12:39 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Mohd Norazmi Nordin

Hari Glaukoma Sedunia disambut pada 12 Mac setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global mengenai bahaya glaukoma, yang merupakan antara penyebab utama kebutaan kekal.

Penyakit ini sering berkembang tanpa simptom awal yang jelas, menyebabkan ramai individu hanya menyedari keadaan mereka setelah penglihatan mereka semakin terhad atau hilang sepenuhnya.

Dalam konteks pendidikan khas, murid dengan ketidakupayaan penglihatan akibat glaukoma memerlukan pendekatan pembelajaran yang inklusif, adaptif dan berasaskan teknologi bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang berkualiti.

Glaukoma berlaku apabila tekanan intraokular meningkat, merosakkan saraf optik yang bertanggungjawab menghantar maklumat visual ke otak. Jika tidak dirawat, kehilangan penglihatan akan menjadi semakin teruk.

Kesan Gloukoma

Murid dengan glaukoma sering mengalami penglihatan kabur, kesukaran menyesuaikan diri dengan pencahayaan, penyempitan medan penglihatan, serta kepekaan tinggi terhadap silau.

Oleh itu, sistem pendidikan khas perlu menyediakan persekitaran yang menyokong keperluan penglihatan mereka.

Murid dengan glaukoma berdepan dengan beberapa cabaran dalam pembelajaran, termasuk kesukaran membaca teks kecil dan bahan bercetak biasa, perlu menggunakan pencahayaan khas untuk melihat dengan lebih jelas, keperluan kepada lebih banyak rehat kerana keletihan mata yang cepat, kesukaran bergerak di dalam bilik darjah kerana kehilangan penglihatan periferi dan cabaran dalam menggunakan papan putih atau skrin projektor kerana kesan silau.

Kemajuan Teknologi Pendidikan

Konsep pendidikan inklusif menekankan penyediaan pembelajaran yang boleh diakses oleh semua murid, termasuk mereka yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan.

Ini bermakna pengajaran perlu disesuaikan, termasuk penggunaan bahan berformat besar, audio, Braille dan teknologi bantuan agar murid dengan glaukoma dapat belajar dengan lebih efektif.

Kemajuan teknologi telah banyak membantu murid dengan ketidakupayaan penglihatan.

Beberapa alat yang boleh digunakan termasuk pembesar skrin dan kaca pembesar digital yang membantu membaca teks lebih jelas, perisian pembaca skrin (JAWS, NVDA, VoiceOver) untuk menukar teks kepada audio, aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti Seeing AI dalam membantu mengenal pasti objek dan teks, tablet dan komputer riba dengan mod kontras tinggi untuk mengurangkan ketegangan mata.

Bagi menjadikan ianya realiti dalam penyampaian Pendidikan, guru pendidikan khas perlu mengadaptasi teknik pengajaran agar lebih mesra murid dengan glaukoma, termasuk, menggunakan bahan bercetak berkontras tinggi dan teks bersaiz besar, menggalakkan penggunaan bahan audio dan sentuhan untuk pembelajaran, menyusun susun atur bilik darjah agar memudahkan pergerakan murid dan memberikan rehat mata yang mencukupi semasa sesi pembelajaran.

Diagnosis dan rawatan

Salah satu cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko kebutaan akibat glaukoma ialah dengan pengesanan awal melalui pemeriksaan mata berkala.

Dalam kalangan murid, ujian penglihatan boleh membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan intervensi awal, seperti pemakaian kaca mata khas atau rawatan perubatan.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu anak menyesuaikan diri dengan glaukoma dan cabaran penglihatannya.

Langkah-langkah yang boleh diambil termasuk, memastikan anak mendapat rawatan dan pemeriksaan mata secara berkala, menyediakan persekitaran pembelajaran di rumah yang mesra penglihatan, bekerjasama dengan guru bagi memastikan keperluan pembelajaran anak dipenuhi dan membantu anak memahami keadaannya dan membina keyakinan diri.

Selain cabaran fizikal, murid dengan glaukoma juga berdepan dengan cabaran emosi seperti rendah diri dan kebimbangan tentang masa depan mereka.

Oleh itu, penting untuk menyediakan sokongan psikososial melalui, sesi kaunseling bagi membantu murid menguruskan emosi mereka, program mentor bersama individu yang berjaya walaupun mengalami ketidakupayaan penglihatan dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum yang membantu meningkatkan keyakinan diri.

Selain akademik, murid dengan glaukoma perlu dididik dengan kemahiran hidup agar mereka dapat berdikari.

Ini termasuk, teknik orientasi dan mobiliti menggunakan tongkat putih, kemahiran teknologi untuk mengakses maklumat, serta emahiran komunikasi dan sosial agar mereka dapat berinteraksi dengan lebih baik dalam masyarakat.

Kerjasama antara sekolah, pakar oftalmologi, dan NGO berkaitan ketidakupayaan penglihatan adalah kunci dalam memastikan murid dengan glaukoma mendapat pendidikan yang berkualiti.

Antara langkah yang boleh dilakukan termasuk, pemeriksaan mata percuma di sekolah-sekolah, bengkel kesedaran tentang glaukoma untuk guru dan ibu bapa dan sumbangan alat bantu pembelajaran oleh pihak berkaitan.

Hari Glaukoma Sedunia

Hari Glaukoma Sedunia merupakan platform terbaik untuk meningkatkan kesedaran dan advokasi dalam kalangan masyarakat.

Beberapa program yang boleh diadakan termasuk, kempen pemeriksaan mata percuma untuk pelajar dan guru, forum pendidikan tentang hak dan akses murid dengan ketidakupayaan penglihatan, pameran teknologi bantuan bagi pendidikan khas dan erkongsian kisah inspirasi individu yang berjaya dengan glaukoma.

Dengan kemajuan teknologi dan kesedaran yang semakin meningkat, masa depan pendidikan bagi murid dengan glaukoma semakin cerah.

Penyelidikan dan inovasi dalam teknologi bantuan akan terus berkembang bagi membantu mereka mengatasi cabaran pembelajaran.

Usaha meningkatkan akses pendidikan inklusif bagi murid dengan glaukoma memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak-kerajaan, institusi pendidikan, NGO, dan masyarakat umum.

Dengan kerjasama yang erat, murid dengan glaukoma dapat menjalani kehidupan lebih berdikari dan berjaya dalam akademik serta kerjaya.

Hari Glaukoma Sedunia 2025 adalah peluang untuk menekankan kepentingan pendidikan inklusif bagi murid dengan ketidakupayaan penglihatan.

Dengan sokongan yang betul, penggunaan teknologi, dan kesedaran masyarakat yang tinggi, murid dengan glaukoma dapat terus menjalani kehidupan yang berkualiti, setanding dengan rakan sebaya mereka.

--BERNAMA

Dr Mohd Norazmi Nordin ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Pusat Kajian Pendidikan Dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap ahli jawatankuasa Rantau Asia Timur bagi Majlis Antarabangsa untuk Ketidakupayaan Penglihatan

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)