Oleh Phar Kim Beng
Ketika dunia semakin terbelah antara kuasa-kuasa besar, persoalan utama timbul: ke manakah Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China berpaling untuk melindungi kepentingan mereka, mengekalkan kestabilan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi? Jawapannya, lebih kerap daripada tidak, ialah ASEAN.
Pilihan GCC dan China terhadap ASEAN bukanlah kebetulan atau simbolik semata-mata. Ia bersifat strategik. ASEAN menawarkan sesuatu yang jarang ditemui dalam sistem antarabangsa hari ini - sebuah zon neutral, pragmatisme strategik, dan potensi ekonomi yang mendalam.
ASEAN sebagai Penganjur Neutral dalam Dunia
Dalam era di mana sidang kemuncak global menjadi medan pertembungan ideologi, ASEAN kekal sebagai satu platform yang membolehkan kuasa dari Timur dan Barat, Utara dan Selatan, duduk bersama tanpa sikap menunjuk-nunjuk. Rantau ini tidak bersyarah atau tunduk membuta tuli; sebaliknya, ia memudahkan dialog.
Hal ini amat menarik perhatian GCC dan China yang kini sedang mengharungi hubungan yang berliku dengan Barat. Hubungan GCC dengan Amerika Syarikat kekal bersifat transaksional, kadang kala tegang akibat isu hak asasi manusia dan dasar tenaga. China pula terus terlibat dalam perang perdagangan, sekatan teknologi, dan persaingan geopolitik, terutamanya di Indo-Pasifik.
Dasar tidak campur tangan dan diplomasi konsensus ASEAN menyediakan suasana yang tidak mengancam. Ia menjadi tuan rumah, bukan pemaksa. Ia memanggil semua ke meja rundingan, bukan menekan. Bagi monarki Teluk yang berhati-hati terhadap kritikan, dan bagi China yang sensitif terhadap isu kedaulatan, ASEAN merupakan seni bina diplomatik yang ideal - terbuka, tidak menghakimi, dan berfungsi secara efektif.
Tenaga, Infrastruktur, dan Laluan Sutera Baharu
GCC membawa tenaga, China membawa infrastruktur. ASEAN menghubungkan kedua-duanya.
Bagi negara-negara Teluk, ASEAN ialah pasaran utama bagi minyak, gas, dan pelaburan petrokimia. Negara seperti Malaysia, Indonesia, dan Thailand menawarkan permintaan yang stabil serta industri hiliran yang semakin berkembang. Pada masa yang sama, dana kekayaan berdaulat dari Teluk - daripada Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi hingga ke Qatar Investment Authority - melihat ASEAN sebagai lindung nilai yang pelbagai terhadap turun naik pasaran minyak.
China pula melihat ASEAN sebagai sauh Laluan Sutera Maritim. Pelabuhan, rel kereta api, dan kabel gentian optik China melintasi wilayah ASEAN untuk menjangkau Asia Selatan, Afrika, dan seterusnya. Negara seperti Laos, Malaysia, dan Indonesia telah pun sebati dalam rangka Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China.
GCC dan China faham bahawa kedudukan geografi ASEAN adalah tidak tergantikan. Terletak di persimpangan maritim antara Lautan Hindi dan Pasifik, ASEAN bukan sekadar zon transit - ia adalah poros strategik.
Diplomasi Agama dan Budaya
Bagi negara-negara Teluk, ASEAN juga merupakan sempadan dakwah Islam. Rantau ini menempatkan negara majoriti umat Islam terbesar dunia, Indonesia, serta populasi umat Islam yang signifikan di Malaysia, Brunei, selatan Thailand, dan Filipina. Ini menjadikan ASEAN rakan semula jadi untuk diplomasi Islam dan ekonomi halal.
Negara-negara Teluk tidak melihat ASEAN sebagai pesaing dalam hal-hal berkaitan Islam, tetapi sebagai rakan kongsi dalam memprojekkan imej Islam yang sederhana dan moden. Inisiatif dalam perbankan Islam, pensijilan halal, dan pendidikan berjalan lancar antara kedua-dua pihak.
China, walaupun secara rasmi bersifat sekular, sangat sedar tentang kepentingan simbolik diplomasi peradaban. Melalui institut Confucius, keterhubungan digital, dan biasiswa, China membingkai ASEAN sebagai rantau yang mempunyai keserasian budaya, bukannya konflik. Tidak seperti hubungannya dengan India atau Jepun - yang sering dibayangi sejarah kelam - hubungan China dengan ASEAN berasaskan kepentingan bersama dan beban sejarah yang lebih ringan.
ASEAN sebagai Makmal Multilateralisme Pasca-Barat
GCC dan China semakin sehaluan dalam mencari struktur tadbir urus global alternatif. Kedua-duanya semakin ragu terhadap institusi yang didominasi Barat seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Mereka mencari forum di mana mereka tidak ditindas atau diberi syarahan.
Platform yang diketuai ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur, ASEAN+3, dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menawarkan ruang tersebut. Di sini, agenda tidak ditetapkan di Brussels atau Washington tetapi di Jakarta, Kuala Lumpur, dan Hanoi.
ASEAN membuktikan bahawa model kerjasama bukan-Barat - berlandaskan rasa hormat bersama, pragmatisme dan kemakmuran bersama - boleh berfungsi. Bagi GCC dan China, ini bukan sahaja menyegarkan, malah sangat memberi pelajaran.
Persamaan ASEAN
Dalam dunia yang dibelenggu persaingan ‘zero-sum game’ (situasi membabitkan dua entiti yang bersaing, di mana hasilnya memberi kelebihan kepada satu pihak dan kerugian yang setara kepada pihak satu lagi) dan multilateralisme yang runtuh, ASEAN kekal sebagai pengecualian strategik. GCC dan China melihat ASEAN sebagai rakan pragmatik, koridor penghubung, dan alternatif normatif.
ASEAN bukanlah kuasa besar dalam erti tradisional. Kekuatan ASEAN terletak pada kecekapan dan kelenturannya. Ia bukan pelakon yang paling lantang tetapi sering menjadi yang paling didengar. Bagi GCC dan China, ini bukan soal dominasi, tetapi destinasi sebuah platform di mana ekonomi boleh berkembang, peradaban boleh berdialog, dan dasar boleh dirumus tanpa takut atau pilih kasih.
Dalam segitiga perdagangan, kepercayaan, dan transformasi ini, ASEAN bukan sekadar berada di tengah. ASEAN adalah titik pertemuan.
-- BERNAMA
Phar Kim Beng ialah Profesor Pengajian ASEAN, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pensyarah pelawat, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya