NOTA KAMPUS

Mahasiswa Dan Semangat Korban, Dari Kampus Ke Kepimpinan

09/06/2025 02:55 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Anim Zalina Azizan

Hari Raya Aidiladha bukan sekadar hari sambutan ibadah korban secara fizikal, tetapi membawa makna spiritual yang mendalam kepada seluruh umat Islam.

Ia adalah manifestasi keikhlasan, ketaatan dan kesanggupan manusia berkorban demi nilai yang lebih besar.

Kisah agung Nabi Ibrahim A.S., Siti Hajar dan Nabi Ismail A.S. menjadi teras kepada perayaan ini dan mengandungi hikmah besar yang boleh dijadikan inspirasi oleh golongan muda, khususnya mahasiswa.

Dalam dunia yang semakin mencabar, mahasiswa Madani perlu menghayati roh pengorbanan ini bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga untuk keluarganya dan masyarakat yang bakal dipimpinnya kelak.

Meneladani Kisah Siti Hajar dan Nabi Ismail A.S.: Pengorbanan Tanpa Syarat

Kisah Siti Hajar adalah kisah seorang ibu yang ditinggalkan bersama bayi di tengah padang pasir yang gersang.

Dalam keadaan yang sangat mencabar, beliau tidak berputus asa, bahkan berusaha sehabis daya mencari air dan makanan buat anaknya yang menangi kelaparan.

Usaha beliau yang berulang-alik antara bukit Safa dan Marwah akhirnya menjadi sunnah dalam ibadah haji, dan lebih penting lagi, menjadi lambang bahawa pengorbanan yang disertai dengan usaha dan tawakal akan membuahkan hasil.

Allah S.W.T mengurniakan rezeki teragung ditapak kaki bayi kecil iaitu sumber air Zamzam yang telaganya kekal hingga ke hari ini.

Begitu juga dengan Nabi Ismail A.S. yang dengan hati yang tenang dan jiwa yang penuh taqwa, menyerahkan dirinya untuk disembelih demi memenuhi perintah Allah. Kisah ini mencerminkan ketaatan dan kerelaan berkorban yang tiada tandingan.

Sebagai mahasiswa Madani, semangat Siti Hajar dan Nabi Ismail ini perlu dihidupkan dalam diri.

Mereka menjadi simbol perjuangan yang tidak kenal erti putus asa dan pengorbanan yang dilakukan bukan kerana terpaksa, tetapi kerana keimanan dan harapan yang tinggi kepada rahmat Allah.

Mahasiswa Madani: Korban Keselesaan Demi Harapan

Realiti mahasiswa masa kini tidak lagi semudah yang digambarkan dalam buku-buku motivasi.

Ramai mahasiswa datang daripada keluarga berpendapatan rendah, menghadapi cabaran untuk membayar yuran pengajian, menyara kehidupan harian dan dalam masa yang sama, mengekalkan prestasi akademik yang baik. Dalam situasi inilah, pengorbanan menjadi satu kemestian.

Mahasiswa Madani harus bersedia mengorbankan keselesaan hidup demi mencapai cita-cita.

Ini termasuk mengorbankan masa bersantai, hiburan yang tidak berfaedah, serta gaya hidup mewah yang mungkin tidak mampu ditanggung.

Ramai dalam kalangan mereka yang memilih untuk bekerja sambilan menjadi penghantar makanan, peniaga kecil-kecilan, tutor, bahkan ejen jualan hanya demi menampung kos hidup dan sedikit sebanyak meringankan beban keluarga.

Pengorbanan-pengorbanan kecil inilah yang membentuk kekuatan sebenar dalam diri mahasiswa.

Mereka bukan hanya belajar tentang ilmu akademik, tetapi turut menimba pengalaman hidup sebenar belajar mengurus masa, menangani tekanan, membina jaringan sosial dan memahami nilai setiap sen yang diperoleh.

Usaha Meningkatkan Taraf Ekonomi Keluarga

Dalam masyarakat kita hari ini, terdapat anggapan bahawa tanggungjawab membina ekonomi keluarga hanya terletak pada bahu ibu bapa.

Namun, bagi mahasiswa Madani, pemikiran ini perlu diubah. Mahasiswa perlu melihat diri mereka sebagai aset dan bukan liabiliti.

Penglibatan dalam aktiviti keusahawanan kampus, program pelaburan kecil atau perkhidmatan berasaskan kemahiran seperti reka grafik, penulisan atau pengaturcaraan menjadi antara cara untuk menambah pendapatan.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang mahir dalam bidang seni reka boleh menawarkan servis reka bentuk logo atau poster kepada peniaga kecil.

Seorang pelajar dalam bidang pendidikan boleh mengadakan kelas tuisyen kepada pelajar sekolah. Meskipun pendapatan yang diperoleh mungkin kecil, namun impaknya besar dalam mengurangkan kebergantungan kepada keluarga.

Pengorbanan masa dan tenaga ini bukan mudah, apatah lagi bila ia perlu diseimbangkan dengan bebanan tugasan universiti.

Namun, mahasiswa yang berjaya menguruskan kedua-dua aspek ini telah menunjukkan kematangan luar biasa dan berpotensi besar menjadi pemimpin masa depan yang berdaya tahan.

Pengorbanan Sebagai Latihan Kepimpinan

Setiap pengorbanan yang dilakukan hari ini adalah latihan untuk menghadapi cabaran kepimpinan di masa hadapan.

Pemimpin sejati bukan hanya mereka yang petah berbicara di pentas, tetapi mereka yang pernah merasa susahnya menahan lapar, getirnya berdepan tekanan kewangan, dan pahitnya memilih prinsip daripada kesenangan.

Mahasiswa Madani yang pernah melalui fasa kesukaran ini akan memahami denyut nadi rakyat apabila kelak memegang tampuk kepimpinan.

Mereka lebih empati, lebih berintegriti, dan lebih bersedia untuk membuat keputusan yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berperikemanusiaan.

Dalam sejarah Islam dan tamadun dunia, pemimpin hebat sentiasa lahir dari jiwa yang pernah berkorban.

Nabi Muhammad S.A.W. sendiri pernah menjadi yatim piatu, membesar dalam serba kekurangan, dan menghadapi pelbagai ujian. Namun, baginda membina dunia dengan akhlak, sabar dan semangat perjuangan yang luar biasa.

Mahasiswa, Korban dan Masa Depan

Dalam menghayati Hari Raya Korban, mahasiswa Madani perlu melihat ibrah pengorbanan sebagai sesuatu yang sangat relevan dalam kehidupan mereka.

Semangat Siti Hajar dan Nabi Ismail A.S. bukan hanya cerita sejarah, tetapi cermin bagi setiap mahasiswa untuk bangkit, berusaha dan bertahan.

Mereka yang sanggup mengorbankan keselesaan untuk pelajaran, berkorban waktu rehat demi menambah pendapatan, dan sanggup mengetepikan kepentingan diri untuk kepentingan keluarga merekalah harapan sebenar negara.

Aidiladha menjadi detik muhasabah, bahawa pengorbanan bukan kelemahan, tetapi kekuatan.

Mahasiswa Madani yang memahami erti korban akan menjadi bukan sahaja graduan berjaya, tetapi pemimpin masa depan yang bukan hanya berilmu, tetapi juga berhikmah dan berjiwa besar.

-- BERNAMA

Dr. Anim Zalina Azizan ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)